Pemain pool Singapura, Aloysius Yapp, mungkin sukar meraih semula kedudukan teratas menjelang akhir 2025.
Namun, pemain nombor tiga dunia itu cukup gembira pada 10 Ogos apabila memenangi kejuaraan utama keduanya dalam Kejohanan Pool Terbuka Florida.
Pada Mei lalu, beliau mencapai kejayaan besar dalam kerjayanya pada Hari Ibu apabila menewaskan pemain Sepanyol, Jonas Souto, 13-1 dalam perlawanan akhir Terbuka Britain di Telford, England, dengan hadiah utama AS$200,000 ($259,000).
Kemenangan itu menandakan gelaran utama pertamanya dalam Jelajah Sembilan Bola Dunia.
Kali ini, di Pusat Peranginan Caribe Royale, Orlando, Florida, Yapp berjaya bangkit daripada ketinggalan 1-5 untuk menewaskan pemain nombor 12 dunia dari Amerika Syarikat, Shane Van Boening, 13-10, dan membawa pulang hadiah utama sebanyak AS$40,000.
Yapp, 29 tahun, menjadi pemain pertama yang meraih dua kejuaraan utama berturut-turut dalam siri kejohanan tersebut, lapor The Straits Times (ST).
“Ia sukar dipercayai, saya rasa seperti bermimpi.
“Saya memulakan tahun ini (2025) dengan hanya berharap dapat bermain dengan baik dan memenangi satu kejohanan utama.
“Tetapi saya sukar percaya dapat menang dua kejohanan utama,” kata bekas pemain nombor satu dunia itu, yang telah meraih pendapatan lebih AS$236,000.
“Lawan saya membuat kebangkitan hebat pada suku akhir untuk menyamakan kedudukan, sehingga kami terpaksa bersaing dalam pusingan penentuan.
“Saya bernasib baik ketika itu... Saya sebenarnya banyak bergelut dari segi mental ketika bermain sepanjang kejohanan ini, meragui teknik asas permainan dan keputusan yang saya buat.
“Ada masanya saya langsung tidak berasa yakin di meja pool.
“Tetapi jurulatih saya ada di sini, jadi memang baik dapat berbincang dengannya tentang cara mengatasi masalah tersebut.”
Yapp hampir tidak layak ke perlawanan akhir selepas nyaris tewas pada suku akhir.
Beliau gagal mengekalkan kelebihan ketika menentang pemain Austria, Max Lechner, sehingga kedudukan seri 9-9.
Namun, dengan dua bola terakhir dalam perlawanan yang menentukan pemain yang mencapai 10 kemenangan terlebih dahulu, lawannya terlepas pukulan bola nombor lapan, dan Yapp menang 10-9.
Beliau kemudian menewaskan pemain Denmark, Mickey Krause, 11-9 pada separuh akhir untuk melayakkan diri ke pertandingan akhir menentang Van Boening.
Pemain Singapura itu bergelut pada mulanya, ketinggalan 1-5 kepada Van Boening.
Namun, beliau berjaya menyamakan kedudukan 5-5 selepas memenangi empat pusingan berturut-turut.
Beliau kemudian mendahului 9-5 sebelum bekas juara dunia itu bangkit dengan memenangi empat pusingan, memanfaatkan kesilapan yang dilakukan Yapp untuk menyamakan kedudukan 9-9.
Namun, apabila pemain Amerika itu membuat pukulan pembukaan yang gagal memasukkan sebarang bola ke dalam lubang, Yapp mengakhiri perlawanan dengan kemenangan 13-10.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg