Atlet luncur lelayang negara, Maximilian Maeder, dinobat sebagai Olahragawan Terbaik 2025, manakala atlet wushu, Zeanne Law, dipilih sebagai Olahragawati Terbaik 2025.
Ini diumumkan dalam satu majlis Anugerah Sukan Singapura 2025 di Swissotel The Stamford pada 20 Jun.
Anugerah itu mengiktiraf pencapaian cemerlang atlet sepanjang tahun 2024.
Maeder, yang baru berusia 18 tahun, mencipta sejarah apabila merangkul beberapa kejohanan dunia dan terus menunjukkan kematangan luar biasa di pentas antarabangsa.
Beliau mengatasi pesaing hebat seperti Sheik Farhan Sheik Alau’ddin (pencak silat), Aloysius Yapp (sukan kiu), Loh Kean Yew (badminton), dan Jowen Lim Si Wei (wushu) dalam kategori Olahragawan Terbaik untuk merangkul anugerah berprestij itu.
Walaupun tidak dapat hadir kerana sedang menjalani latihan intensif di Perancis untuk menghadapi kejohanan dunia yang bakal tiba, Maeder diwakili kedua ibu bapanya – Hwee Keng Maeder dan Valentin Maeder – yang menerima anugerah itu dalam majlis tersebut.
Sementara itu, Zeanne Law dinobat sebagai Olahragawati Terbaik selepas persembahan mantap dalam pelbagai kejohanan wushu serantau dan antarabangsa.
Beliau mengetepikan pesaing seperti Daphne Tan Shi Jing (boling), Valencia Yip Yin Tung (tinju tendang), Teh Xiu Hong (menembak), Nurdianna Sidek (pencak silat), dan Gan Ching Hwee (renang).
Anugerah Olahragawan Muda Terbaik diberikan kepada atlet terjun udara, Kai Minejima Lee, yang mempamerkan aksi konsisten dalam acara terjun udara tertutup di peringkat antarabangsa.
Calon lain dalam kategori ini termasuk Muhammad Iryan Anaqi Irwan (pencak silat), Chuan Xin Yun (wushu), dan Ethan Chia Han Wei (layar).
Dalam kategori Olahragawati Muda Terbaik, Charlotte Ng Leting (wushu) diumumkan pemenang selepas prestasi baik di peringkat kejohanan dunia.
Beliau mengatasi pencabar seperti Quraifah Aqiffah Muhammad Suria (pencak silat) dan Isabelle Koh Min dari sukan terjun udara tertutup.
Jurulatih Terbaik tahun ini diberikan kepada Yeo Mee Hong, atas dedikasinya dalam membimbing pasukan bola jaring Singapura.
Bagi kategori Pasukan Terbaik (Sukan Berpasukan), Pasukan Bola Jaring Negara muncul sebagai pemenang, mengatasi Pasukan Wanita Perahu Naga yang turut dicalonkan.
Dalam kategori Pasukan Terbaik (Acara) pula, Pasukan Boling Lelaki yang menyerlah di Kejohanan Boling Asia 2024 dipilih sebagai pemenang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg