LONDON: Pemain remaja sensasi Liverpool, Rio Ngumoha, muncul sebagai wira apabila beliau menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan untuk menewaskan Newcastle United 3-2 dalam aksi Liga Perdana England (EPL) di stadium St James’ Park pada 25 Ogos.
Ngumoha, 16 tahun, menjaringkan gol pada minit ke-100, menjadikan beliau penjaring termuda dalam sejarah Liverpool dan antara pemain termuda yang mencatat gol kemenangan dalam saingan EPL.
Dalam perlawanan tersebut, Liverpool mengatasi Newcastle yang tinggal 10 pemain, selepas seorang pemainnya dilayangkan kad merah.
Pasukan bimbingan Arne Slot itu mendahului perlawanan pada minit ke-35 melalui gol Ryan Gravenberch, sebelum Hugo Ekitike menambah jaringan sejurus selepas separuh masa kedua.
Ketika itu, Newcastle menghadapi tekanan selepas Anthony Gordon dibuang padang pada masa tambahan separuh masa pertama akibat terjahan keras ke atas pemain Liverpool, Virgil van Dijk.
Walaupun beraksi dengan 10 pemain, Newcastle mempamerkan semangat luar biasa.
Dalam suasana riuh-rendah di St James’ Park, Newcastle bangkit menerusi jaringan Bruno Guimaraes yang menanduk masuk gol pertama pada minit ke-57.
William Osula kemudian menyamakan kedudukan pada minit ke-88.
Bagaimanapun, impian Newcastle yang beraksi di padang sendiri, dipadamkan oleh jaringan Ngumoha.
“Inilah juga yang menjadikan Liga Perdana begitu istimewa. Mungkin ini bukan perlawanan terbaik dari segi taktik atau corak permainan, tetapi saya percaya ramai peminat bola sepak di seluruh dunia menikmati perlawanan ini,” kata Slot.
Beliau jelas berbangga dengan keberanian yang dipamerkan Ngumoha.
“Beliau mempamerkan kebolehannya di pentas yang besar ketika tekanan begitu tinggi.
“Ketenangan yang dimilikinya untuk menyempurnakan peluang pada detik itu sangat luar biasa.
“Pada usia semuda ini, beliau sudah membuktikan beliau harus terus bermain dengan pasukan ini,” tambah Slot.
Sementara itu, legenda Newcastle, Alan Shearer, menggelar kad merah Gordon sebagai “terjahan bodoh” yang merugikan pasukan tuan rumah.
Liverpool kini mengukuhkan kedudukannya dalam kelompok teratas liga bersama Arsenal dan Tottenham Hotspur. – Reuters, agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg