Pasukan remaja Madrid CFF adalah kelab tempat pemain tengah Sepanyol dan Pemain Emas Eropah 2024, Vicky Lopez, memulakan kerjayanya, dan ia juga menjadi tempat bagi Nur Ain Salleh dari Singapura berharap memulakan perjalanannya menjadi pemain bola sepak profesional.
Selepas menjalani latihan singkat di Sepanyol bersama pasukan remaja Atletico Madrid pada 2022 dan 2023, pemain sayap kanan berusia 14 tahun itu telah diberi anugerah Biasiswa Bola Sepak Luar Negara Unleash the Roar (UTR) dan beliau akan menghabiskan empat tahun akan datang untuk berlatih dan bermain dengan pasukan remaja Madrid CFF.
Ain merupakan pelajar-atlet ke-18 – dan wanita ke-10 – yang memperoleh Biasiswa UTR yang dilancarkan pada 2023.
Beliau sertai kohort 2024 bersama Nadila Nur Danisha dan Charlotte Chong yang telah memulakan penglibatan mereka dengan Madrid CFF.
Biasiswa ini merangkumi perbelanjaan utama termasuk program bola sepak pelajar-atlet, yuran pengajian, penginapan dan insurans.
Ain akan meneruskan pengajian akademiknya di King’s College School Soto de Vinuelas, sebuah sekolah antarabangsa di Madrid.
Langkah ke Sepanyol berlaku selepas tahun 2024 yang penuh kenangan bagi pemain sayap remaja ini.
Menurut laporan The Straits Times pada Julai, Ain menyertai pasukan senior Lion City Sailors – yang bersaing dalam Liga Perdana Wanita Deloitte (WPL) – selepas persembahan mengagumkan bersama pasukan Lelaki Bawah 13 mereka.
Ain menjaringkan lima gol ketika Sailors dinobatkan sebagai juara.
Pada mulanya, Sailors merancang untuk Ain menjalani latihan luar negara pada akhir 2025, tetapi kelab dan jawatankuasa Biasiswa Bola Sepak Luar Negara UTR memutuskan untuk mempercepatkan langkah tersebut, selepas menyedari bahawa bermain di luar negara lebih awal akan memberi manfaat kepada perkembangan dirinya.
Pengurus besar Akademi Sailors, Tan Li Yu, berkata:
“Kami telah mencari peluang untuk menghantar Ain ke luar negara dan kami berasakan ini adalah masa dan langkah yang tepat untuknya.
“Beliau telah menunjukkan secara konsisten bahawa beliau adalah antara yang terbaik dalam kumpulan umurnya, walaupun bermain menentang pemain lelaki. Beliau merupakan bakat yang menarik yang perlu dihargai dan dibimbing dengan baik oleh bola sepak Singapura.
“Kami rasa Sepanyol adalah persekitaran yang sesuai untuknya mempertingkatkan permainannya dan kami tidak sabar dengan apa yang akan datang untuknya.”
Sebagai persediaan untuk berangkat pada 7 Januari, Ain jelas tentang apa yang beliau harapkan untuk capai di Sepanyol – negara juara bertahan Piala Dunia Wanita.
Katanya: “Ia sentiasa menjadi matlamat saya untuk bermain secara profesional di luar negara dan saya mahu bermain di Liga F suatu hari nanti. Sudah pasti, ia tidak mudah. Saya perlu menyesuaikan diri dengan kekuatan fizikal dan teknik permainan di sana, tetapi saya ingin keluar dari zon selesa saya dan membanggakan keluarga saya.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg