Pada Disember nanti, genap tiga dekad sejak kali terakhir Singapura memenangi pingat Sukan SEA dalam acara tenis lelaki.
Hakikat yang amat diketahui para pemain tenis kebangsaan Singapura.
Selepas tidak berjaya memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan oleh Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) bagi dua edisi lalu, pasukan lelaki itu kini berpeluang menamatkan kemarau pingat selama 30 tahun, setelah dibenarkan beraksi dalam temasya 9 hingga 20 Disember di Thailand.
Didorong oleh persembahan agak baik baru-baru ini, lima pemain — Michael Jimenez, Shaheed Alam, Jerall Yasin, Bill Chan dan Daniel Abadia – berazam meraih pingat di podium.
Mereka akan disertai pasukan wanita yang dibarisi Audrey Tong, Sophie Chua, Eva Marie Desvignes, Tan Sue Yan dan Deanne Choo.
Sukan tenis pada Sukan SEA 2025 akan merangkumi acara perseorangan, beregu, berpasukan dan beregu campuran, lapor The Straits Times (ST).
Jurulatih kebangsaan, Daniel Heryanto, mengimbas kembali kekecewaan pasukan lelaki pada 2023 apabila mereka tidak terpilih ke temasya dwitahunan itu di Kemboja.
“Memang mereka (pasukan lelaki) sangat kecewa,” kata jurulatih itu.
“Sukan SEA adalah satu sukan yang besar dan mereka semua menantikannya.
“Mereka amat bersemangat untuk edisi akan datang kerana tiada seorang pun daripada mereka pernah memenangi pingat dalam Sukan SEA sebelum ini.
“Saya yakin mereka mahu meraih pingat kali ini untuk membanggakan rakyat Singapura,” tambahnya.
Pingat terakhir tenis lelaki Singapura dalam Sukan SEA – gangsa berpasukan – juga diraih di Thailand, dengan Sherman Lim, Adrian Lam, Chen Chee Yen dan Evan Woo menaiki podium pada edisi 1995 di Chiang Mai, Thailand.
Heryanto, 55 tahun, pemenang pingat emas beregu pada Sukan SEA 1989 bagi Indonesia dan kini penduduk tetap Singapura, menekankan bahawa pertandingan baru-baru ini seperti Piala Davis Kumpulan Asia/Oceania III di Vietnam pada 11-20 Julai, telah meningkatkan keyakinan pasukan itu.
Di Hanaka Paris Ocean Park di utara wilayah Bac Ninh, pasukan lelaki tewas 0-3 kepada Thailand dan 1-2 kepada Arab Saudi, tetapi berjaya menewaskan pasukan tuan rumah, Vietnam, 3-0.
Mereka juga mengalahkan Jordan 2-1 dalam perlawanan penentuan tempat kelima.
Selain kemenangan ke atas Vietnam – yang merupakan pemenang perak pasukan lelaki pada temasya Sukan SEA lalu – persembahan pasukan lelaki itu menentang Thailand juga menunjukkan bahawa jurang prestasi dengan pasukan terbaik rantau ini tidaklah terlalu jauh, walaupun pemain Thailand mempunyai ranking dunia yang jauh lebih tinggi, tambah Heryanto.
Shaheed dari Singapura, yang berada di kedudukan bersama ke-1,996 dalam ranking Persatuan Pemain Tenis Profesional (ATP), tewas 4-6, 2-6 kepada Kasidit Samrej yang berada di ranking dunia ke-346. Samrej pemain wild card dalam Terbuka Australia pada Januari dan menentang pemain bekas nombor 1 dunia, Daniil Medvedev, hingga lima set.
Bill Chan (ranking bersama ke-1,667) pula memberikan saingan sengit kepada Maximus Jones yang berada di ranking ke-367, memenangi set pertama 7-5 sebelum tewas 2-6, 6-7 (5-7).
Pemain Singapura biasanya bertanding dalam acara peringkat rendah di bawah Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg