(1) Pada 1965 apabila Singapura mencapai kemerdekaan, pasukan Persatuan Bola Sepak Singapura mencipta kejayaan besar dengan menjuarai Piala Malaysia.
Kejayaan tersebut merupakan gelaran ke-21 mereka, menjadikan mereka pasukan paling berjaya ketika itu.
(2) Anugerah Sukan Singapura diperkenalkan pada 1968 oleh Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC).
Anugerah ini dilancarkan untuk mengiktiraf pencapaian cemerlang atlet Singapura serta menggalakkan piawaian sukan yang lebih tinggi.
Hingga kini, ia dianggap sebagai pengiktirafan paling berprestij di Singapura.
(3) Penyertaan pertama Singapura di Sukan Olimpik sebagai negara merdeka berlaku pada 1968, apabila Singapura mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik Musim Panas yang diadakan di Mexico City.
Pada temasya tersebutlah pelari legenda Singapura, Canagasabai Kunalan (C. Kunalan) mencatat rekod kebangsaan dalam acara 100 meter dengan masa 10.38 saat.
(4) “Gadis Emas” Patricia Chan memenangi Anugerah Olahragawati Tahunan buat kali kelima berturut-turut selepas mencipta rekod kebangsaan dalam acara renang di Sukan Asia 1970.
Sepanjang kerjayanya, beliau meraih 39 pingat emas di Sukan SEAP antara 1965 dengan 1973.
(5) Syed Abdul Kadir mencipta sejarah dengan memenangi pingat emas tinju pertama Singapura di Sukan SEAP 1971.
Pada tahun berikutnya, beliau turut mencatat satu lagi pencapaian bersejarah apabila menjadi peninju Singapura pertama – dan sehingga kini satu-satunya peninju yang pernah bertanding di Sukan Olimpik.
(6) Pembukaan Stadium Negara lama pada 1973. Stadium yang terletak di Kallang ini mempunyai kapasiti 50,000 tempat duduk, menjadi tempat berlangsungnya pelbagai perlawanan bola sepak legenda dan acara sukan lain.
(7) Chee Swee Lee, pada ketika itu berusia 19 tahun, merupakan wanita Singapura pertama untuk merangkul pingat emas dalam acara olahraga di Sukan Asia pada 1974.
Beliau mencipta rekod baru dalam acara larian 400 meter, mendapatkan beliau gelaran sebagai Ratu Olahraga pertama Singapura.
(8) Singapura menghantar wakil judo pertamanya ke temasya Olimpik apabila Koh Eng Kian mewakili negara di Montreal pada 1976.
Ketika itu baru berusia 20 tahun, beliau turut membawa bendera negara dalam upacara pembukaan, dan menamatkan saingan di kedudukan ke-18 daripada 32 peserta.
(9) Kejohanan bola sepak belia Piala Lion City diperkenalkan buat pertama kali pada 1977.
Edisi sulung pertandingan tersebut dimenangi oleh pasukan Singapura ‘A’, yang menampilkan bintang muda ketika itu, Fandi Ahmad.
Kejohanan itu bukan sahaja menjadi platform bakat muda negara, bahkan memberi inspirasi kepada penubuhan Kejohanan Dunia Bawah 16 Tahun Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) pada tahun-tahun berikutnya.
(10) Junie Sng mencipta sejarah sebagai wanita Singapura pertama memenangi pingat emas dalam acara renang di Sukan Asia pada 1978, dengan meraih dua pingat emas dalam temasya yang diadakan di Bangkok.
Pencapaian itu lebih mengagumkan kerana beliau baru berusia 14 tahun ketika itu.
(11) Di Sukan SEA 1979 yang berlangsung di Jakarta, K. Jayamani merangkul dua pingat emas dalam acara 1,500m dan 3,000m.
Pingat-pingat emas itu merupakan pingat emas wanita terakhir dalam acara larian selama 36 tahun.
(12) Pasukan sepak takraw 1980 Singapura disifat sebagai antara pasukan sepak takraw terbaik dalam sejarah Singapura.
Pasukan tersebut terdiri daripada anggota terkenal seperti Said Yussof, Ahmad Tapri, Ali Abdullah, Md Kamal, Jumaat Salleh, Pangat Adon, Zulkifli Jaafar, M. Sharif, Hamran Zain, Razali Amri, Kassim Maksom, Shukur Sadik, Salleh Nanang, Hassaan Mompasi, Rahim Atan, Misgandi Ponimen dan beberapa pemain lagi.
(13) Singapura meraih pingat pertama dalam acara bola tampar di Sukan SEA pada 1981 apabila pasukan wanita berjaya memenangi pingat gangsa di temasya yang berlangsung di Manila, di belakang juara Filipina dan naib juara Indonesia.
Pasukan wanita itu tidak meraih sebarang pingat lagi selama 34 tahun selepas kejayaan tersebut.
(14) Fandi Ahmad mencipta sejarah apabila menjaringkan gol menentang Inter Milan , gergasi bola sepak Italy, pusingan dua Piala UEFA pada musim 1983/1984.
Beliau merupakan pemain bola sepak pertama dari Singapura yang beraksi di Eropah setelah menandatangani kontrak bersama kelab Belanda, FC Groningen pada 1983.
(15) Adelene Wee mencipta sejarah sebagai pemenang termuda dan rakyat Singapura pertama yang dinobatkan sebagai Juara Dunia Boling di Sukan Dunia 1985.
(16) Jasmie Hussein mencatat sejarah apabila memenangi pingat emas pertama Singapura dalam sukan ski air di Sukan SEA yang berlangsung di Jakarta, menerusi acara slalom lelaki pada 1987.
Pada tahun yang sama, beliau turut menjuarai kategori yang sama di Kejohanan Ski Air Terbuka Asia yang diadakan di Singapura, di Sungai Kallang.
(17) Satu-satunya pingat emas Singapura dalam sukan golf di Sukan SEA setakat ini dimenangi oleh Samson Gimson di Kuala Lumpur pada 1989.
Pemain berusia 25 tahun itu, yang kemudiannya beralih ke arena profesional, menjadikan kemenangan tersebut sebagai penutup ‘sempurna’ kepada kerjaya amatur beliau.
(18) Singapura melahirkan juara dunia pertamanya dalam silat apabila Sheik Alau’ddin Yacoob Marican muncul juara di Kejohanan Jemputan Silat Dunia yang berlangsung di Den Haag, Belanda, pada 1990.
Dikenali sebagai “Raja Silat”, Sheik terus mengharumkan nama negara dengan merangkul satu lagi pingat emas dunia pada 1994.
(19) Sukan skuasy diperkenalkan buat pertama kali di Sukan SEA 1991 dan Singapura mempamerkan dominasi penuh apabila mereka merangkul keempat-empat pingat emas yang dipertandingkan.
Era kegemilangan sukan tersebut diteruskan dengan kejayaan merangkul kejuaraan individu dan berpasukan bagi kategori lelaki dan wanita.
(20) Senaman Hebat Singapura (Great Singapore Workout) ialah satu inisiatif kesihatan yang diperkenalkan pada 1993.
Objektif utamanya adalah untuk menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan rakyat Singapura melalui rutin senaman yang mudah dan menyeronokkan.
(21) Singapura menjadi tuan rumah Sukan SEA 1993 buat kali ketiga dan mencatatkan jumlah pingat terbaik dalam sejarah buat masa itu dengan 164 pingat, termasuk rekod 50 pingat emas.
Joscelin Yeo meraih sembilan daripada pingat tersebut dalam edisi ke-17 Sukan SEA itu.
(22) Liga bola sepak profesional pertama Singapura dilancarkan pada 1996 selepas Persatuan Bola Sepak Singapura membuat keputusan untuk menarik diri daripada pertandingan Malaysia setahun sebelumnya.
Lapan kelab menyertai musim sulung liga tersebut, yang dimenangi oleh pasukan Geylang United yang menampilkan bintang seperti Fandi Ahmad.
(23) Singapura memenangi Piala Tiger (kini dikenali sebagai Piala AFF Mitsubishi Electric 2024) pertamanya pada 5 September 1998, menewaskan Vietnam 1-0 di perlawanan akhir dengan gol kemenangan dijaringkan oleh R. Sasikumar.
(24) Pada 25 Mei 1998, Edwin Siew dan Khoo Swee Chiow mencipta sejarah apabila berjaya mendaki puncak tertinggi dunia, Gunung Everest, yang mempunyai ketinggian 8,848 meter.
Mereka merupakan rakyat Singapura pertama yang berjaya sampai ke puncaknya.
(25) Valerie Teo menjadi juara boling termuda di peringkat antarabangsa setelah beliau memenangi Piala Masters Malaysia 1999 di Petaling Jaya pada usia 14 tahun.
(26) Rekod olahraga kebangsaan yang bertahan selama 33 tahun (10.38 saat bagi acara pecut 100 meter yang dipegang C. Kunalan) telah dipecahkan pada 2001 apabila U.K. Shyam mengikis 0.01 saat daripada catatan sebelumnya.
Masa 10.37 saat yang dicatatkan olehnya kekal sebagai rekod kebangsaan hingga hari ini.
(27) Singapura meraih pingat emas pertamanya dalam sukan badminton di Sukan Komanwel 2002 melalui pemain wanita Li Li, yang baru sahaja menjadi warganegara pada awal tahun tersebut.
Pemain berusia 19 tahun itu menewaskan pilihan tuan rumah, Tracey Hallam, dalam perlawanan akhir perseorangan wanita yang berlangsung selama empat set, sekali gus mencipta sejarah di Manchester.
(28) Hanya setahun kemudian, Li Li mengetuai perjuangan pasukan wanita Singapura meraih pingat emas pertama mereka di Sukan SEA selepas menewaskan Thailand dalam perlawanan akhir.
Bersama Xiao Luxi, Liu Fan, Jiang Yanmei dan Tan Li Si, pemain-pemain badminton wanita ini mencipta kejayaan di Vietnam dengan merangkul satu-satunya pingat emas berpasukan negara pada temasya tersebut.
(29) Sekolah Sukan Singapura dibuka pada 2004 dan menjadi satu-satunya institusi pendidikan di negara yang membolehkan pelajar mendaftar dalam program akademik dan sukan yang bersepadu.
Sekolah tersebut bertujuan memastikan para pelajar-atlet mendapat yang terbaik daripada kededua bidang dalam persekitaran bertaraf dunia.
(30) Joscelin Yeo, ‘gadis emas’ renang Singapura, memenangi pingat emas ke-40 Sukan SEA pada 2005 selepas menjuarai acara renang gaya bebas 50 meter di Manila, Filipina.
Pencapaian itu melepasi rekod Patricia Chan yang mempunyai 39 pingat, dan masih kekal sebagai rekod dalam sejarah kejohanan tersebut.
(31) Hari terakhir Stadium Negara yang lama dibuka untuk orang awam adalah pada 30 Jun 2007.
Stadium tersebut kemudian ditutup dan dimusnah untuk memberi laluan kepada Pusat Sukan Singapura yang baru.
Tetamu terhormat pada majlis penutupan stadium tersebut ialah Presiden Singapura ketika itu, Encik S. R. Nathan. Acara ini dihadiri oleh ahli kabinet, atlet kebangsaan, dan kira-kira 45,000 orang.
(32) Yip Pin Xiu mencipta sejarah di Sukan Paralimpik Beijing 2008 apabila memenangi pingat emas pertama Singapura dalam acara 50m kuak lentang kategori S3.
Kejayaannya tidak terhenti di situ - beliau turut membawa pulang pingat perak dalam acara 50m gaya bebas pada temasya yang sama.
(33) Dari 26 hingga 28 September 2008, Singapura mencipta sejarah apabila menganjurkan perlumbaan Formula Satu malam pertama di dunia, yang berlangsung di litar jalanan Marina Bay.
Acara berprestij tersebut memukau penonton dengan suasana unik.
(34) Sasha Siew Hoon Christian, yang mula berenang pada usia satu tahun dan bermain ski air pada usia tiga tahun, mencipta kejutan apabila dinobatkan sebagai yang terbaik di Asia selepas memenangi Kejohanan Wakeboard Asia di Chuncheon, Korea Selatan.
Kemenangan itu menghadiahkan pingat emas pertama Singapura dalam kejohanan tersebut pada 2009.
(35) Sukan Belia Singapura 2010 menghimpunkan atlet-atlet muda dari seluruh negara dalam suasana penuh semangat, persaingan sihat dan kesukanan.
Acara tersebut menjadi platform untuk meraikan bakat belia serta memupuk perpaduan melalui sukan.
(36) Singapura mencatat pencapaian terbaiknya dalam sejarah Sukan Olimpik apabila meraih dua pingat gangsa dalam sukan pingpong pada tahun 2012.
Feng Tianwei memenangi pingat gangsa dalam acara perseorangan wanita, dan bersama rakan sepasukannya, Wang Yuegu dan Li Jiawei, turut meraih pingat gangsa dalam acara berpasukan wanita selepas menewaskan Korea Selatan.
(37) Mok Ying Ren membawa pulang pingat emas maraton pertama Singapura di Sukan SEA 2013 apabila beliau memintas tiga pelari di hadapan dengan baki enam kilometer di Naypyidaw, Myanmar.
Kemenangan itu menamatkan kemarau selama 30 tahun dalam acara larian bagi Singapura di temasya tersebut.
(38) Hab Sukan Singapura, yang menempatkan Stadium Negara baru, dibina di tapak yang sama dengan stadium lama dan dibuka secara rasmi pada Jun 2014.
Ia menjadi mercu tanda sukan negara, menawarkan pelbagai kemudahan bertaraf dunia untuk acara sukan, hiburan dan komuniti.
(39) Joseph Schooling meraih pingat renang pertama Singapura di Sukan Komanwel apabila memenangi pingat perak dalam acara 100 meter kupu-kupu.
Kemudian, beliau menamatkan kemarau pingat selama 24 tahun dalam acara renang lelaki di Sukan Asia dengan pingat gangsa 200 meter kupu-kupu - sebelum mengatasi pencapaian itu dengan memenangi pingat emas dalam acara 100 meter kupu-kupu, membawa pulang emas lelaki pertama Singapura dalam 32 tahun.
(40)Di Nanjing, pelayar Bernie Chin dan Samantha Yom mencipta sejarah dengan merangkul pingat emas pertama Singapura dalam acara layar di Sukan Olimpik Belia.
Bertanding dalam kategori Byte CII, Chin memenangi gelaran lelaki manakala Yom berjaya dalam acara wanita, kededuanya di Venue Layar Tasik Jinniu pada 24 Ogos 2014.
(41) Pasukan sepak takraw lelaki Singapura meraih pingat pertama mereka selepas lebih dua dekad dengan memenangi pingat perak dalam perlawanan akhir regu lelaki pada 2015.
Kapten pasukan Mohamad Farhan Amran, bersama Muhammad Hafiz Jaafar dan Muhammad Yassin Suhaimi, berjaya menewaskan Filipina.
(42) Joseph Schooling mencipta detik bersejarah apabila memenangi pingat emas Olimpik pertama Singapura dalam acara 100m kuak kupu-kupu di Sukan Olimpik Rio pada 2016.
Dengan catatan masa 50.39 saat, beliau bukan sahaja meraih emas tetapi juga memecahkan rekod Olimpik bagi acara tersebut.
(43) Tahun di mana kejayaan 27 tahun Singapura dalam polo air lelaki berakhir - Sukan SEA 2019 akan dikenang sebagai edisi di mana dominasi Singapura dalam meraih pingat emas polo air lelaki akhirnya terhenti.
Selama 27 edisi berturut-turut sejak 1965, pasukan lelaki Singapura tidak pernah kalah satu perlawanan pun. Namun, di Pusat Akuatik New Clark City, rekod kebanggaan itu akhirnya terhenti dengan mengejutkan setelah mereka tewas kepada Indonesia.
(44) Dalam satu langkah bersejarah untuk bola sepak Singapura, Lion City Sailors menjadi kelab bola sepak tempatan pertama yang sepenuhnya dimiliki secara persendirian.
Bilionair Forrest Li, pengasas Sea Group (syarikat induk Shopee), mengambil alih 100% daripada Home United FC.
Transformasi tersebut membuka era baru bola sepak profesional di Singapura, dengan pelaburan yang lebih besar, tandatangan pemain antarabangsa, serta peningkatan penglibatan dan sokongan daripada peminat.
(45)Singapura membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik Remaja Musim Sejuk 2020 yang diadakan di Lausanne, Switzerland, dari 9 hingga 22 Januari 2020.
Negara diwakili oleh tiga atlet yang bertanding dalam acara hoki ais dan luncur laju trek pendek.
Penampilan tersebut menandakan satu pencapaian penting dalam sejarah sukan Singapura, sekaligus memperluaskan penglibatan negara dalam sukan musim sejuk.
(46) Loh Kean Yew mencipta sejarah sebagai juara dunia badminton pertama dari Singapura apabila beliau berjaya menjuarai Kejohanan Dunia BWF di Huelva, Sepanyol pada 2021.
(47) Sean Tan mencipta sejarah sebagai rakyat Singapura pertama yang menyertai World Wrestling Entertainment (WWE) pada 2021 dan mencatat kemenangan pada penampilan sulungnya.
Beraksi dengan nama pentas Dante Chen, atlet berusia 25 tahun itu menewaskan lawannya dari Amerika, Trey Baxter, dalam masa kurang daripada seminit dalam rancangan gusti profesional WWE NXT.
(48)Nurul Suhaila Mohamed Saiful akhirnya meraih emas selepas tiga kali berturut-turut memenangi gangsa di Sukan SEA, menandakan kemuncak kerjayanya dalam silat pada 2022.
Kemenangan emosional itu bukan sahaja bermakna secara peribadi, malah memberi inspirasi kepada pasukan Singapura untuk menamatkan hari terakhir dengan tiga pingat emas.
(49) Maximillian Ang Wei mencipta sejarah apabila meraih pingat emas pertama Singapura dalam acara 200m kuak dada lelaki di Sukan SEA, sekaligus memecahkan rekod kejohanan dengan catatan masa 2:11.93.
Beliau juga menjadi pelumba pertama di Asia Tenggara yang berjaya mencatat masa bawah 2 minit 12 saat dalam acara tersebut, menandakan pencapaian luar biasa dalam sukan renang serantau.
(50) Dalam Siri Tiga Negara FAS 2022, Singapura menewaskan Malaysia dan Filipina untuk merangkul kejuaraan acara lelaki.
Pemain utama, Ikhsan Fandi, mencetak dua gol penting dalam kemenangan 2-1 ke atas Malaysia, mengukuhkan kedudukannya sebagai penyerang utama negara.
(51)Penjaga gol Singapura, Hassan Sunny, menjadi wira tidak rasmi di China semasa pusingan kelayakan Piala Dunia FIFA 2026 pada 2023.
Beliau mencatat 11 penyelamatan penting dalam perlawanan menentang Thailand, sekali gus menggagalkan kemaraan Thailand dan membantu China layak ke pusingan seterusnya.
Aksi cemerlangnya mendapat pujian luar biasa daripada peminat bola sepak China, yang membanjiri gerai makan miliknya di Singapura dan turut menghantar sumbangan sebagai tanda penghargaan.
(52) Shanti Pereira mencipta tahun yang luar biasa pada 2023, mengukuhkan gelarannya sebagai ratu pecut Singapura.
Beliau memecahkan beberapa rekod kebangsaan pada awal tahun dan di Sukan SEA di Phnom Penh, Shanti mencipta sejarah sekali lagi apabila memenangi kededua acara 100m dan 200m – pencapaian pertama oleh seorang wanita Singapura.
Di Kejohanan Olahraga Asia, di mana beliau meraih dua pingat emas, menamatkan kemarau 16 tahun tanpa pingat bagi Singapura.
(53) Pada 9 Ogos 2024, pelayar layang-layang Maximilian Maeder mencipta sejarah dengan meraih pingat gangsa dalam acara Formula Kite lelaki di Sukan Olimpik Paris — pingat Olimpik pertama Singapura dalam sukan layar dan pingat Olimpik pertama sejak 2016.
Pada usia hanya 17 tahun, beliau menjadi penerima pingat Olimpik termuda negara, memberikan hadiah hari jadi yang sempurna buat Singapura sempena Hari Kebangsaan.
(54) Shawal Anuar adalah salah satu kisah paling menginspirasi dalam bola sepak Singapura pada 2024.
Bermula dari bekerja sambilan, beliau berjaya menonjol bersama Lion City Sailors dan pasukan kebangsaan.
Dalam perlawanan penting pada 18 Jun 2024, beliau menjaringkan gol akrobatik menentang Brunei DPMM dan dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) kelab, selain menjaringkan beberapa gol penting untuk Singapura di Kejohanan AFF.
(55) Di Sukan Paralimpik Paris, Jeralyn Tan meraih tempat kedua dalam acara boccia individu wanita kategori BC1 pada 2 September 2024, menjadikan ini pingat boccia Paralimpik pertama yang pernah dimenangi oleh Singapura.
(56) Di Kejohanan Netball Asia 2024 yang diadakan di Bengaluru, Singapura berjaya meraih kemenangan dramatik dalam masa tambahan menentang Sri Lanka dengan keputusan 67‑64 pada 27 Oktober 2024, sekaligus menamatkan penantian selama 10 tahun untuk gelaran juara benua.
(57) Dalam pencapaian bersejarah, Lion City Sailors menjadi kelab bola sepak Singapura pertama yang berjaya melangkah ke final AFC Champions League Two.
Mereka menempah tempat dalam final selepas menewaskan Sydney FC dengan agregat 2–1 di separuh akhir.
Walaupun tewas 1–2 kepada Sharjah FC di perlawanan akhir, perjalanan mereka menandakan satu mercu tanda penting dalam sejarah bola sepak Singapura.
(58) Skateboard akan kembali dipertandingkan di Sukan SEA 2025, dan Singapura kini sedang mencari atlet berbakat untuk mewakili negara.
Bagi mengesan bakat terbaik, Persatuan Sukan Luncur Roda Singapura (SRF) telah melancarkan Kejohanan Kebangsaan Skateboard , yang menggabungkan tiga acara utama dalam format liga, di mana pemenang dan beberapa peluncur laju terbaik akan dipilih.
(59) Pada 2025, powerlifter Singapura, Farhanna Farid, mencatat pencapaian luar biasa dengan memecahkan rekod dunia baru dalam kategori wanita 52kg di Kejohanan Dunia Terbuka Klasik Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IPF) di Chemnitz, Jerman.
Pada 10 Jun, beliau berjaya mengangkat deadlift seberat 209.5 kilogram, melepasi rekod sebelumnya sebanyak 209 kilogram yang dicatat pada 2024.
Pencapaian ini menandakan kali kesepuluh beliau memecahkan rekod dunia miliknya sejak tahun 2022.
(60) Atlet boccia Singapura, Nurulasyiqah Mohd Taha, mencatat sejarah dengan meraih pingat individu pertamanya dalam Piala Dunia, pada 12 Jun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg