Bakal beraksi di empat pentas berbeza pada 2026, BG Tampines Rovers sedar jadual padat menanti mereka.
Jadual perlawanan semakin menimbun. Final Piala Singapura akan berlangsung pada 10 Januari, manakala Liga Perdana Singapura (SPL) pula diteruskan pada minggu berikutnya.
Di peringkat serantau, skuad bergelar Stags itu mara ke peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Dua (ACL2) dan kini mendahului Kumpulan A Kejohanan Kelab Asean.
Seiring jadual yang semakin padat – mengharungi enam perlawanan dalam tempoh 20 hari pada Februari – Tampines tidak menunggu lama untuk memperkukuh pasukan.
Mereka memanfaatkan jendela perpindahan pemain pada Januari bagi melengkapkan satu pembelian berprofil tinggi, dengan mendapatkan bekas pemain nasional Jepun, Yuki Kobayashi.
Pemain tengah berusia 33 tahun itu tidak menyembunyikan hasratnya untuk membantu Stags mencipta kejayaan, lapor The Straits Times (ST).
“Sasaran saya (di kelab ini) ialah untuk menjadi juara,” kata Kobayashi.
“Saya tidak mahu berkata saya ingin menjaringkan 10 gol atau membuat bantuan gol.
“Tidak, saya hanya mahu memenangi setiap perlawanan dan mungkin kami boleh menjadi juara... jika saya diturunkan, saya akan pamerkan mutu saya. Saya akan tunjukkan semangat saya untuk kelab ini.”
Walaupun Kobayashi menyertai Tampines selepas beraksi satu musim di divisyen keempat Jepun bersama Iwate Grulla Morioka, beliau membawa bersama pengalaman luas di Asia dan Eropah.
Beliau mencatat 85 penampilan dalam Liga J1 Jepun bersama kelab seperti Vissel Kobe, Hokkaido Consadole Sapporo – seawal 2024 – dan Jubilo Iwata.
Beliau juga membuat 89 penampilan bersama kelab Eredivisie Belanda, SC Heerenveen, dari 2016 hingga 2019, selain beraksi dalam Liga Pro Belgium bersama Waasland-Beveren, Liga K1 Korea Selatan bersama Gangwon FC, serta Liga Bintang Qatar bersama Al-Khor.
Kobayashi turut membuat lapan penampilan antarabangsa bersama pasukan nasional Jepun, Samurai Blue, dengan penampilan terakhirnya pada 2019.
Ketua jurulatih Tampines, Noh Rahman, berpuas hati dengan penambahan kedalaman dan mutu pasukan menerusi kehadiran Kobayashi, yang mampu beraksi sebagai penggerak utama atau pemain tengah pertahanan.
Beliau berkata:
“Apabila kita melihat jadual pada Januari dan Februari, kita mempunyai sekitar 11 atau 12 perlawanan dalam tempoh itu.
“Biasa untuk kami melakukan penggiliran skuad, jadi kami berasa penting untuk memastikan kami mempunyai bilangan pemain yang mencukupi bagi mengekalkan kesegaran pasukan.”
Walaupun Stags dijangka melalui tempoh mencabar dalam bulan-bulan mendatang, Kobayashi menyatakan kesediaannya.
Pemain berpengalaman itu berkata: “Bermain di negara berbeza bukanlah sesuatu yang mudah.
“Saya pernah melalui detik sukar sebelum ini, tetapi apa yang saya pelajari ialah untuk tidak berputus asa... saya akan memberikan segala-galanya.”
Noh turut memuji sikap profesional Kobayashi sejak beberapa sesi latihan awal.
Bekas pemain pertahanan Lions itu mendedahkan pemain Jepun tersebut tiba hampir sejam lebih awal bagi sesi latihan 7 pagi untuk melakukan senaman regangan dan persediaan sendiri.
“Beliau sudah menyertai kami dalam tiga sesi latihan dan saya sudah pun kagum dengan perwatakan dan personalitinya.
“Beliau seorang yang merendah diri, menghormati orang lain, mudah dibimbing dan sebagai pemain yang banyak mengembara, beliau faham sepenuhnya apa ertinya menjadi profesional, dan telah membuktikannya. Saya gembira dengan apa yang saya lihat setakat ini,” kata Noh.
Tampines turut diperkuatkan dengan kehadiran Raoul Suhaimi.
Pemain berusia 20 tahun yang boleh beraksi di semua posisi pertahanan itu menyertai Stags daripada Young Lions, manakala pemain tengah, Ong Yu En, 22 tahun; dan Rae Peh, 17 tahun, kembali ke Tampines selepas tamat tempoh pinjaman bersama pasukan pembangunan tersebut.
Noh percaya Raoul berpotensi untuk “melangkah lebih jauh dalam kerjayanya”.
Beliau berkata: “Raoul antara pemain terbaik dalam pasukan Young Lions sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan kami berharap beliau boleh menjadi pilihan yang baik di barisan pertahanan.”
Noh berkata kesemua pemain baru itu akan tersedia untuk final Piala Singapura pada 10 Januari, apabila Stags memburu kejuaraan pertama dalam kejohanan kalah mati itu sejak 2019, ketika mereka menentang juara bertahan, Lion City Sailors, di Stadium Jalan Besar.
Tampines, yang kini berada di kedudukan ketiga SPL antara lapan pasukan selepas empat perlawanan, akan meneruskan kempen ACL2 dengan pertembungan dua perlawanan menentang Cong An Ha Noi dari Vietnam pada pusingan 16 terakhir pada Februari.
Mereka akan berkunjung ke Stadium Hang Day untuk perlawanan pertama pada 11 Februari, sebelum menerima kunjungan pasukan Vietnam itu bagi perlawanan timbal balik di Stadium Bishan pada 18 Februari.
Kedua-dua pasukan juga dijadual bertemu dalam satu perlawanan peringkat kumpulan Kejohanan Kelab Asean di Stadium Hang Day pada 4 Februari.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg