BRUGES (Belgium): Apabila Tyrone Mings secara tidak sengaja memberikan Club Brugge sepakan penalti dalam fasa kumpulan Liga Juara-Juara pada November, pengurus Aston Villa, Unai Emery, menyebutnya sebagai “kesilapan terbesar yang pernah saya saksikan dalam kerjaya saya”.
Namun pemain pertahanan England itu menebus kesilapannya dengan bermain cemerlang dan membantu Villa melangkah ke suku akhir, lapor BBC Sports.
“Saya sangat gembira dapat kembali ke sini dan bermain di stadium ini lagi kerana saya rasa kami masih ada urusan yang belum selesai,” kata Mings selepas kemenangan meyakinkan Villa 3-1 di Club Brugge dalam perlawanan pertama pusingan 16 terbaik di Belgium.
“Saya sangat bangga dengan apa yang telah kami lakukan malam ini. Saya benar-benar menikmati perlawanan ini. Kami bermain menentang mereka (pada fasa liga) dan tahu sedikit apa yang boleh dijangka.
“Perlawanan ini betul-betul seperti yang kami jangkakan. Kami boleh berasa bangga dengan permainan pertahanan dan serangan kami,” kata beliau.
Pada perlawanan mereka sebelum ini, penjaga gol Villa, Emiliano Martinez, menolak bola keluar dari kawasan sekitar lima meter dan Mings, yang menyangka sepakan gol belum dibuat, mengutip bola tersebut.
Pengadil Jerman, Tobias Stieler memberikan sepakan penalti kerana kesalahan ‘handball’, dan kapten Club Brugge, Hans Vanaken, menjaringkan satu-satunya gol dalam perlawanan itu.
Ia adalah detik mengecewakan bagi Mings, yang digantikan tidak lama selepas itu pada penampilan Eropah pertamanya dan perlawanan kedua selepas 14 bulan kembali daripada kecederaan.
“Kesilapannya benar-benar pelik,” kata Emery selepas perlawanan tersebut.
“Ia hanya berlaku sekali sepanjang hidup saya.”
Pada perlawanan terbaru, Mings memberikan umpan tandukan kepada Leon Bailey untuk menjaringkan gol pada minit ketiga.
Ketika kedudukan 1-1, tandukan Vanaken dari Brugge ke gawang berjaya dipintas oleh Ming.
“Mings sangat luar biasa,” kata kata bekas pemain sayap Scotland, Pat Nevin, yang berada di Stadium Jan Breydel bagi BBC Radio 5 Live.
Mings membuat tujuh ‘clearance’, iaitu paling banyak dalam perlawanan, ketika Villa mencatatkan kemenangan keenam mereka dalam sembilan perlawanan Liga Juara-Juara musim ini.
Memuji persembahan Mings, Emery berkata “beliau bertindak cekap dan menyelamatkan percubaan pasti.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg