MADRID: Pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti, berpuas hati dengan ketahanan pasukannya selepas meraih kemenangan 2-1 ke atas Atletico Madrid di Santiago Bernabeu dalam aksi pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara pada 4 Mac.
Gol kemenangan Real Madrid dijaringkan Brahim Diaz pada separuh masa kedua, selepas penyerang Atletico, Julian Alvarez, menyamakan kedudukan susulan gol pembukaan Rodrygo.
Kededua Vinicius Jr dan Kylian Mbappe terlepas peluang memberikan kelebihan lebih besar kepada Real Madrid dalam perlawanan timbal balik.
Namun, Ancelotti enggan terlalu mempersoalkan peluang yang sudah terlepas.
Pengurus dari Italy itu memilih untuk melihat sisi positif, iaitu kemenangan ke atas salah satu pasukan terbaik Eropah musim ini.
Beliau menegaskan pemainnya perlu berusaha lebih keras bagi memanfaatkan kelebihan tipis untuk mara ke pusingan seterusnya dalam usaha mempertahankan kejuaraan.
“Perlawanan ini seimbang. Ia adalah pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara dan boleh dianggap seperti perlawanan akhir atau separuh akhir.
“Atletico antara pasukan terbaik di Eropah dan anda tidak boleh berfikir untuk menamatkan saingan dalam perlawanan pertama,” kata Ancelotti.
“Kami memperoleh sedikit kelebihan yang memberi keyakinan untuk perlawanan timbal balik, tetapi itu sahaja.
“Seperti biasa, ia perlawanan yang sukar. Ia sentiasa begitu apabila menentang Atletico”.
Ancelotti turut mempertahankan prestasi Vinicius dan Mbappe, yang kelihatan kurang menyerlah dalam perlawanan itu.
Beliau memuji kecekapan barisan pertahanan Atletico yang berjaya menyekat dua penyerang bintang Real Madrid.
“Menentang pertahanan Atletico bukanlah tugas yang mudah,” tambahnya.
“Kami tidak mempunyai banyak peluang sepanjang perlawanan dan mereka berdua telah bekerja keras serta berjuang sebaik mungkin.
“Mereka belum berpeluang menunjukkan kualiti sebenar yang kita semua tahu mereka miliki, tetapi mereka masih ada perlawanan timbal balik untuk melakukannya.”
Pemenang pertembungan antara Real Madrid dengan Atletico Madrid dijangka bertemu Arsenal, yang berada dalam kedudukan kukuh untuk ke suku akhir selepas mencatat kemenangan besar 7-1 ke atas PSV Eindhoven. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg