Topik diikuti
Pergi ke BHkuRamai mahu M’sia kembali anjur F1
Pengamat: Kehadiran 100,000 penonton dari dalam dan luar negara mampu jana kesan limpahan kepada sektor pelancongan
Ramai mahu M’sia kembali anjur F1
Walaupun timbul pelbagai rungutan awam berhubung kelemahan pengurusan pengunjung, kesesakan luar biasa dan kemudahan pengangkutan awam yang kurang cekap ketika Formula Satu (F1) kembali ke Litar Antarabangsa Sepang Petronas (SIC), Selangor, hujung minggu lalu, ia pada masa sama menghidupkan semula harapan supaya Malaysia kembali menjadi tuan rumah tetap perlumbaan berprestij dunia itu.
Kepulangan F1 menerusi Grand Prix (GP) Bahrain ke SIC sebagai lokasi sementara, menyusuli ketegangan geopolitik di Timur Tengah, bukan sahaja melakar sejarah apabila merekodkan kehadiran penonton lebih 261,000 – paling tinggi dalam sejarah litar itu.
Menurut laporan media Malaysia, jumlah itu merangkumi lebih 261,000 penonton sepanjang hujung minggu perlumbaan yang bermula pada 2 hingga 4 Oktober, dengan sejumlah 103,000 penonton hadir pada hari akhir perlumbaan pada 4 Oktober.
Malah ia menghidupkan semula perbincangan mengenai potensi Malaysia kembali dalam kalendar F1 pada masa depan.
Malaysia yang mula menganjurkan F1 pada 1999 ketika pentadbiran mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menamatkan kontrak penganjuran selepas edisi terakhirnya pada 2017 ketika pentadbiran Encik Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri, berikutan faktor kos dan pulangan yang menurun.
Kesesakan luar biasa yang dialami pada penganjuran F1 di SIC itu selepas sembilan tahun dihentikan, disifatkan ramai sebagai petunjuk kerinduan peminat sukan lumba kereta itu terhadap penganjurannya di Malaysia.
Pakar ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai, berkata Malaysia wajar mempertimbangkan untuk SIC kembali menjadi tuan rumah tetap F1.
Namun mekanisme pembiayaan dan cara mendapatkan semula manfaat ekonomi daripada penganjuran itu perlu dirangka dengan lebih teliti.
F1 POPULARKAN M’SIA PADA PELANCONG
Beliau berkata walaupun penganjuran F1 memerlukan kos tinggi, termasuk bayaran hak penganjuran dan kos operasi litar, pulangan acara berkenaan tidak seharusnya dinilai berdasarkan kutipan tiket semata-mata.
Katanya, kehadiran kira-kira 100,000 penonton misalnya termasuk dari luar negara, mampu menjana kesan limpahan kepada sektor pelancongan menerusi perbelanjaan untuk penginapan, pengangkutan, makanan dan minuman serta aktiviti runcit.
“Kalau kita nak bawa semula F1, kita boleh jual tiket untuk 100,000 tempat dan dengan anggaran harga RM700 satu tiket, kita boleh kutip sekitar RM700 juta.
“Kemudian kita boleh dapat hasil daripada jualan lain seperti barangan cenderamata F1, makanan dan sebagainya. Matlamatnya adalah untuk sekurang-kurangnya mendapatkan kembali sebahagian daripada kos penganjuran,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Bagaimanapun, Profesor Barjoyai berkata perbandingan terus antara hasil kutipan tiket dengan kos penganjuran F1 boleh memberikan gambaran bahawa acara itu tidak berbaloi sekiranya kesan tidak langsung kepada ekonomi tidak diambil kira.
Beliau berkata ketika Malaysia menganjurkan F1 dari 1999 hingga 2012, kos keseluruhan penganjuran dianggarkan sekitar RM2.5 bilion, selain kerajaan menyediakan subsidi kira-kira RM1.9 bilion.
Profesor Barjoyai menambah jika hasrat mengembalikan F1 mahu dipenuhi, Malaysia mungkin boleh melihat mekanisme dilakukan negara jiran, Singapura, yang mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk kerajaan untuk menganjurkan perlumbaan antarabangsa itu.
“Kalau kita hanya melihat perbandingan antara hasil kutipan tiket dengan kos, termasuk bayaran hak F1, memang tidak berbaloi.
“Tetapi kita perlu lihat kesan tidak langsung yang datang daripada 100,000 penonton itu, termasuk ahli keluarga yang datang bersama, pembelian tiket penerbangan, hotel, pengangkutan, makanan, runcit, pelancongan dan pelbagai lagi,” katanya.
Profesor Barjoyai berkata berdasarkan anggaran beliau, kehadiran 100,000 pengunjung pada setiap penganjuran F1 di Malaysia boleh menjana kira-kira RM1.1 bilion dalam pendapatan sampingan kepada sektor berkaitan.
Provos Universiti Sains dan Teknologi Malaysia itu berkata jumlah itu antaranya merangkumi kira-kira RM200 juta bagi penginapan, RM186 juta untuk pengangkutan, RM123 juta bagi makanan dan minuman serta RM226 juta dalam aktiviti runcit.
Namun, beliau menegaskan angka itu tidak boleh dianggap sebagai hasil yang masuk terus kepada kerajaan kerana kerajaan hanya memperoleh sebahagian daripadanya melalui kutipan cukai.
“Kerajaan hanya akan dapat kutip cukai dan cukai ini datang daripada cukai bilik hotel, cukai lapangan terbang serta cukai syarikat yang memperoleh keuntungan lebih dan membayar cukai lebih,” katanya.
Beliau berkata penganjuran F1 juga boleh dilihat sebagai satu bentuk pelaburan dalam promosi pelancongan kerana kehadiran pelancong asing dan liputan televisyen sedunia mampu memperkenalkan Malaysia kepada khalayak antarabangsa.
Katanya pelancong yang hadir untuk F1 berpotensi kembali ke Malaysia pada masa depan bersama keluarga selepas mengenali destinasi dan tarikan tempatan ketika berada di negara itu.
“Jadi ia seperti satu belanjawan untuk promosi pelancongan dan lebih berkesan,” katanya.
Mengulas langkah memastikan sektor perniagaan yang mendapat manfaat besar daripada F1 turut menyumbang kepada kos penganjuran, Profesor Barjoyai mencadangkan kerajaan mengkaji kemungkinan memperkenalkan mekanisme cukai khas ketika acara berkenaan berlangsung.
Katanya, ia boleh mengambil kira peningkatan luar biasa harga dan permintaan terhadap hotel, restoran serta perniagaan lain sepanjang tempoh F1.
“Ketika F1, hotel menaikkan kadar sewa penginapan kerana tempahan meningkat. Ada hotel yang menaikkan harga daripada RM200 satu malam kepada RM700 satu malam disebabkan permintaan melonjak.
“Jadi hotel sebegitu patut dikenakan cukai durian runtuh kerana peningkatan harga bilik yang berganda,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Cik Chua Yee Ling, berkata penganjuran acara sukan permotoran di Sepang itu bukan sahaja memberi limpahan ekonomi di kawasan berkenaan mahupun Putrajaya.
Malahan juga memberi limpahan ekonomi kepada sektor pelancongan dan perkhidmatan tempatan sehingga sekitar Lembah Klang, apabila banyak hotel dan penginapan habis ditempah.
“Acara ini juga membuka peluang untuk kita mempromosikan pelbagai tarikan negeri, termasuk produk ekopelancongan, warisan budaya dan gastronomi tempatan kepada pasaran tempatan dan antarabangsa.
“Pada masa yang sama, acara seperti festival makanan dan program kebudayaan yang dianjurkan bersempena F1 memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai sendiri keunikan produk pelancongan Malaysia.
“Justeru, nilai sebenar F1 bukan hanya pada jumlah penonton yang hadir, malah bagaimana acara ini membantu menggerakkan ekonomi pelancongan serta memperkenalkan Malaysia kepada pengunjung antarabangsa,” katanya kepada BH.
Kejayaan Malaysia menganjurkan F1 Gulf Air Bahrain kali ini turut mendapat pujian Presiden Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), Encik Mohammed Ben Sulayem, yang tidak menolak kemungkinan untuk Malaysia dipertimbangkan untuk kembali menjadi tuan rumah F1.
M’SIA PERTIMBANG KEMBALI ANJUR F1
Malah, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut berkongsi detik beliau bertemu dengan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif F1, Encik Stefani Domenicali, untuk membincangkan prospek mengembalikan Grand Prix Malaysia dalam kalendar F1 secara tetap.
Ia sekali gus menyambut hasrat peminat sukan itu yang sekian lama menantikan kepulangannya ke SIC.
“Insya-Allah perkara ini akan dibincangkan bersama Jemaah Menteri bagi meneliti ruang dan hala tuju yang bersesuaian, dengan mengambil kira kemampuan Malaysia serta manfaatnya kepada ekonomi dan rakyat,” tulisnya di Facebook.
Pengunjung F1 Gulf Air Bahrain di SIC yang ditemui BH turut menzahirkan keterujaan untuk melihat Malaysia kembali menjadi tuan rumah F1, walaupun mengakui cabaran menempuh kesesakan dan menunggu berjam-jam untuk menaiki bas perantara sepanjang dua hari menghadiri F1.
Bagi peguam, Cik Nur Ezzah Abdullah dan suaminya, Encik Aqwa Alif Jasmi, 30-an tahun, pengalaman pertama menyaksikan F1 secara langsung di SIC hujung minggu lalu tetap menjadi satu pengalaman yang sukar dilupakan, meskipun terpaksa berdepan kesesakan lalu lintas dan tempoh menunggu yang panjang untuk meninggalkan litar.
Pasangan itu, yang masing-masing membayar kira-kira RM800 untuk tiket, berkata kepulangan F1 ke Malaysia selepas sembilan tahun memberi mereka peluang merasai sendiri suasana perlumbaan yang sebelum ini hanya ditonton menerusi televisyen.
Cik Nur Ezzah berkata perjalanan dari Cyberjaya ke kawasan tempat letak kenderaan di Mitsui Outlet Park, Sepang, untuk menaiki bas disediakan pada kedua-dua hari penganjuran mengambil masa kira-kira 55 minit, sementara urusan pergi ke litar berjalan lancar, termasuk ketika mereka tiba lewat sekitar tengah hari pada 3 Oktober.
“Sabtu (3 Ogos) lebih cepat dari segi perjalanan pergi ke SIC. Kami sampai sekitar 12 tengah hari dan terus naik bas, jadi tidak ada masalah.
“Masalahnya adalah ketika hendak balik sebab semua orang keluar serentak. Cuma kami bernasib baik sebab bergerak keluar dari SIC lebih awal dan dapat elak kesesakan,” katanya.
Menurutnya, keadaan lalu lintas pada 4 Oktober juga lebih baik dari segi kawalan trafik, namun beberapa penutupan jalan menyebabkan mereka terperangkap dalam kesesakan untuk tempoh yang agak lama.
Beliau berkata aliran pengunjung selepas acara berakhir dilihat menjadi cabaran terbesar memandangkan jumlah penonton yang mencecah lebih 261,000 orang sepanjang hujung minggu.
“Saya rasa selepas habis perlumbaan, alirannya lebih teruk kerana semua orang keluar pada masa yang sama. Petugas yang mengendalikan keadaan tidak cukup untuk menguruskan jumlah pengunjung yang sangat ramai,” katanya.
Bagaimanapun, Cik Nur Ezzah menyifatkan pengalaman berada di SIC sebagai sesuatu yang surreal (seperti mimpi), terutama kerana sebelum ini beliau hanya mengikuti perlumbaan F1 menerusi televisyen.
Katanya, keadaan cuaca yang berubah daripada panas terik kepada hujan lebat turut menjadikan pengalaman menyaksikan perlumbaan di Sepang lebih istimewa.
“Ini kali pertama kami pergi sebab sekarang baru mampu menggunakan duit sendiri. Bila suami mula tengok F1 semula, kami fikir alang-alang F1 datang ke Malaysia, kenapa tidak kami pergi.
“Kalau pergi ke litar lain, kos pengangkutan dan penginapan tentu lebih tinggi,” katanya.
Encik Sam Carter, 47 tahun, yang berasal dari Britain namun bekerja dan menetap di Malaysia sejak lima tahun lalu, mengakui beliau terpaksa berjalan lebih lima kilometer dari SIC ke tempat letak kenderaan bersama tiga anaknya.
“Walaupun mencabar dari segi cuaca tidak menentu dan kesesakan teruk, kami amat teruja dan tidak mahu lepaskan peluang selepas tahu F1 akan kembali ke SIC.
“Anak-anak saya sangat seronok. Ya, mungkin pada Sabtu (3 Oktober) keadaan agak huru-hara dan kami tidak dapat naik bas kerana orang terlalu ramai, lalu terpaksa berjalan kaki lebih lima kilometer untuk ke SIC.
“Tetapi pada Ahad (4 Oktober) keadaan lebih baik di Mitsui Outlet Park dan kami hanya tunggu lima minit untuk menaiki bas ke SIC,” katanya.
MASALAH DAPAT DITANGANI
Sebelum itu, di media sosial, ramai penonton meluahkan rasa tidak puas hati dengan pengalaman dialami apabila terperangkap dalam kesesakan teruk dan terpaksa berjalan kaki berkilometer untuk ke SIC, berikutan khidmat bas disediakan tidak lancar.
Ketua Penyelaras Tempat Mengambil Penumpang di Mitsui Outlet Park, Encik Sarifuddin Saidin, mengakui keluhan pengunjung, namun menjelaskan masalah itu telah ditangani dan keadaan semakin baik pada 3 dan 4 Oktober.
Beliau berkata tiga lokasi dijadikan tempat mengambil dan menurunkan penonton F1, iaitu di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA); Mitsui Outlet Park dan Bandar Baru Enstek, sepanjang 7 pagi hingga 12 tengah malam.
“Untuk 4 Oktober, Rapid KL dengan kerjasama syarikat bas swasta sediakan lebih 50 bas untuk membawa pengunjung dari Mitsui ke SIC dan sebaliknya bermula 7 pagi hingga 12 tengah malam. Alhamdulillah semua berjalan lancar.
“Kita tak menafikan ada sedikit kekalutan di awalnya kerana isu komunikasi dengan penganjur, tetapi ia dapat diselesaikan kemudian walaupun ambil sedikit masa,” katanya ketika ditemui BH.