Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Setiausaha agung FAS ingin kukuh kepercayaan dalam fraterniti bola sepak S’pura

Sep 15, 2024 | 3:26 PM
Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Lion City Sailors, Chew Chun-Liang, dilantik setiausaha agung baru Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) berkuat kuasa November.
Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Lion City Sailors, Chew Chun-Liang, dilantik setiausaha agung baru Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) berkuat kuasa November. - Foto ST

Membina kepercayaan yang lebih utuh dalam fraterniti bola sepak setempat untuk bersatu demi mencapai matlamat sama.

Itulah antara rancangan setiausaha agung baru Persatuan Bola Sepak Singapura, Chew Chun-Liang, bagi membawa bola sepak Singapura ke hadapan apabila beliau menggalas tugas mencabar dalam kerjayanya menjelang November.

Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Lion City Sailors itu diumumkan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada 13 September sebagai individu yang bakal mengisi kekosongan ditinggalkan setiausaha agung semasa, Yazeen Buhari.

Yazeen, yang telah berkhidmat bersama FAS selama enam tahun, telah mengumumkan pada 5 Julai bahawa beliau akan mengundur diri pada 30 September untuk menyertai keluarganya di Malaysia.

Chew, 48 tahun, sedang menjalani tempoh notis sebagai timbalan ketua bahagian integrasi sistem penjagaan di Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC).

Kurang dua bulan sebelum masuk pejabat barunya, Chew sudah berinteraksi bersama rakan kerja barunya ketika beraksi dalam Piala Lim Kia Tong – pertandingan tahunan dianjurkan sebelum Kongres FAS – di Stadium Jalan Besar pada 15 September.

Berkongsi rancangan awalnya, Chew, beritahu media selepas piala itu, bahawa beliau ingin mengutamakan pembangunan bola sepak Singapura untuk membina kumpulan bakat yang lebih besar dan meningkat daya profesional sukan itu di sini.

Ini akan dapat dicapai dengan mewujudkan lebih kepercayaan dalam kalangan rakan kongsi dan pihak berkepentingan FAS dan menyelaraskan usaha mereka, tambah beliau.

“Walaupun semua orang mempunyai niat baik untuk memajukan bola sepak, tetapi kadang kala kami tidak sehaluan. Jadi, membina kepercayaan adalah sangat penting,” kata Chew.

“Hari ini, anda lihat pelbagai usaha yang dijalankan, tetapi ada yang mungkin bergerak ke arah dan pada kelajuan yang berbeza, dan adakalanya pada bentuk yang berbeza…

“Bagaimana kami dapat membawa mereka semua bersama? Ia pastinya mencabar. Jadi, kadangkala anda mungkin harus mengoptimumkan operasi tertentu dalam organisasi, atau bahagian bagi pengoptimuman yang lebih besar bagi sistem (bola sepak negara),” ujarnya lagi.

Tugas ini akan menjadi pelantikan kedua Chew dalam sukan bola sepak setelah dilantik CEO Sailors pada Disember 2020, iaitu tahun mereka menjadi kelab bola sepak privet pertama Singapura.

Mereka memenangi trofi kejuaraan SPL pertama pada 2021, dan yang satu-satunya setakat kini, dan setahun kemudian, membuka pusat latihan bernilai $10 juta di Mattar Road.

Beliau meninggalkan kelab itu pada Disember 2022 untuk kembali ke Pejabat Generasi Warga Emas AIC, di mana beliau sebelumnya menggalas peranan pengarah operasi selama dua tahun.

Sebelum itu, beliau menghabiskan 22 tahun bersama Angkatan Laut Republik Singapura, memegang pangkat kolonel dan menjadi komander Institut Pakar Angkatan Laut dari 2015 hingga 2018.

Mengakui bahawa penglibatannya dalam bola sepak Singapura hanyalah sebagai peminat, Chew tidak fikir kekurangan latar belakangnya dalam sukan itu akan menghambat keupayaan untuk mengisi “kerusi panas” dalam FAS. Bahkan, bapa dua anak lelaki itu berkata beliau telah membuktikan kalibernya ketika bersama Sailors.

“Saya tidak akan katakan bahawa saya tidak mempunyai permulaan yang baik sebelum memasuki FAS. Daripada pengalaman saya bersama Sailors, saya boleh memahami semua cabaran dan isu dalam bola sepak setempat, serta peluang yang dapat kami manfaatkan,” kongsi Chew.

Ditanya Berita Harian (BH) sama ada peranan barunya di FAS ini adalah tugas paling berat dalam kerjayanya, beliau berkata setiap jawatan yang digalas harus menjadi lebih mencabar berbanding yang sebelumnya.

“Saya boleh katakan saya berani. Ramai yang katakan kepada saya bahawa saya berani untuk ambil jawatan FAS ini. Tetapi, saya sentiasa berkata bahawa jika tugas itu mudah, maka ia tidak berbaloi untuk melakukannya,” tambah Chew.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg