Pemenang pingat Olimpik pertama Singapura, Tan Howe Liang, meninggal dunia pada usia 91 tahun akibat radang paru-paru pada 3 Disember.
Atlet angkat berat itu mencipta sejarah semasa Sukan Olimpik Rome 1960 apabila beliau berjaya merangkul pingat perak dalam kelas ‘lightweight’.
Mengenang sumbangan Tan, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) yang juga Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, berkata altet tersebut memaparkan nilai Olimpik sebenar.
“Pencapaian Howe Liang telah memberi inspirasi kepada pelbagai generasi warga Singapura. Atlet seangkatan dengannya tidak mempunyai sumber yang banyak, tetapi mereka terima apa yang mereka ada dan berlatih bersungguh-sungguh.
“Pencapaiannya di Rome membuktikan bahawa sesuatu matlamat itu boleh dicapai jika seseorang individu itu memberi tumpuan sepenuhnya kepada matlamat tersebut. Beliau juga menunjukkan nilai seorang atlet Olimpik sejati melalui kerendahan hati dan kebaikannya,” kaat Cik Fu.
Anak ketiga dalam tujuh beradik, Tan dilahirkan di bandar Swatow di selatan China pada 1933 dan telah berhijrah ke Singapura bersama keluarganya ketika berusia empat tahun dan menetap di kawasan Chinatown.
Beliau menyertai sukan angkat berat selepas menyaksikan satu pertandingan dan mula berlatih secara serius pada 1952.
Meskipun Tan kurang mendapat sokongan kewangan pada masa itu, ia tidak menghalang usahanya mencapai cita-cita.
Demi membiayai latihan dan pertandingannya di luar negara, Tan telah mencuba pelbagai pekerjaan termasuk sebagai kerani dan teknisyen.
Beliau berjaya meraih gelaran juara nasional dalam tempoh setahun, dan pencapaian itu menjadi titik permulaan kerjayanya yang cemerlang.
Dalam Sukan Komanwel 1958, Tan mencipta rekod dunia dalam acara angkat berat ‘clean-and-jerk’, sebelum meraih emas di acara Sukan Asia dan Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP) setahun kemudian.
Sebelum bersara pada 1967, Tan – yang telah bertanding dalam tiga Sukan Olimpik – berjaya meraih satu lagi emas dalam Sukan Komanwel pada 1962.
Beliau seterusnya membimbing beberapa atlet muda, antaranya pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel, Teo Yong Joo, dan Chua Koon Siong.
Sejak kejayaan Tan pada 1960, atlet Singapura telah meraih sebutir emas, sebutir perak dan tiga gangsa dalam Sukan Olimpik.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg