Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Setelah rangkul pingat emas, Soh ingin ke Sukan SEA 2025

Dec 2, 2024 | 4:23 PM
Atlet Singapura, Soh Rui Yong, menjuarai Maraton Standard Chartered Singapura (SCSM) kategori lelaki pada 1 Disember, dan sedang berusaha mewakili Singapura di Sukan SEA Bangkok pada 2025.
Atlet Singapura, Soh Rui Yong, menjuarai Maraton Standard Chartered Singapura (SCSM) kategori lelaki pada 1 Disember, dan sedang berusaha mewakili Singapura di Sukan SEA Bangkok pada 2025. - Foto ST

Garis penamat larian Maraton Standard Chartered Singapura (SCSM) mungkin beralih ke Anderson Bridge pada 2024, namun, kemenangan tetap berpihak kepada Soh Rui Yong.

Selepas meraih kemenangan kelima dalam perlumbaan tersebut dengan masa 2 jam, 46 minit dan 5 saat, Soh kini sedang berusaha bersaing di Sukan SEA Bangkok 2025.

Walaupun Soh terlibat dalam beberapa kontroversi pemilihan dengan Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) sejak beberapa tahun lalu, beliau berharap dapat membuat penampilan keempat pada acara dwitahunan itu.

Atlet berusia 33 tahun itu berkata: “Itulah matlamatnya. Sukan SEA merupakan peluang mewakili Singapura dan bagi pelari seperti kami, ini merupakan acara terbesar yang kami akan lari seumur hidup.”

“Saya telah ke tiga Sukan SEA dan setiap satu merupakan pengalaman baik bersama pasukan saya dan kami mendapat ramai rakan baru.”

Acara tersebut turut menawarkan peluang bagi Soh mendapatkan ‘treble’ maraton selepas merangkul pingat emas pada 2015 dan 2017.

“Kemenangan pertama saya adalah pada 2015. Tahun depan adalah 2025. Jika saya menang dua pingat emas dalam 10 tahun, itu pencapaian yang cukup bagus,” tambah Soh.

Selepas beberapa perselisihan faham dengan SNOC yang mengakibatkan beliau dikecualikan daripada Sukan SEA 2019 dan 2021, akhirnya Soh dipilih bagi edisi 2023 acara itu di Kemboja.

Namun, sebulan selepas Sukan SEA di Kemboja dengan memenangi pingat perak bagi acara 10,000 meter, Soh dikecualikan sekali lagi oleh SNOC daripada Sukan Asia.

Ini kerana SNOC menganggap beliau “gagal menunaikan komitmen” terhadap mereka.

Tetapi Soh tetap bersemangat mewakili Singapura semula di temasya.

Menurut laporan The Straits Times, Soh kini berpangkalan di England mengikuti pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di London Business School dan beliau ke Asia untuk bersaing.

Sebelum acara SCSM, beliau berlumba di Cabaran Jarak Jauh University Tokai 10,000 meter, dan memenuhi masa kelayakan SEA Games dengan masa 31:11:37.

Pada 1 Disember, Soh mendahului Benjamin Khoo yang menduduki tempat kedua (2:46:24) dan Richard Heng di tempat ketiga (2:47:18) di maraton Singapura.

“Jika anda melihat masa yang dicatatkan, saya rasa ia menunjukkan bahawa kejohanan kebangsaan kategori lelaki agak berdaya saing tahun ini (2024).

“Pertaruhan untuk mendapat tempat tiga teratas sungguh sengit dan ia memaparkan masa depan yang baik bagi acara larian maraton di Singapura,” kata Soh, yang berjaya memenangi $10,000 untuk SCSM.

Acara SCSM, yang berlangsung dari 29 November hingga 1 Disember, menarik 55,000 peserta – 44,000 lebih daripada jumlah edisi 2024.

Jumlah itu termasuk hampir 13,000 peserta antarabangsa dari 84 negara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg