Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peminat boleh teruja Spurs kian cerah ke Liga Juara-Juara: Postecoglou

Mar 11, 2024 | 9:47 AM
Pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou, berkata peminat boleh teruja dengan kemenangan dan corak permainan pasukannya, dan mereka “semakin hampir kepada peluang bermain dalam Liga Juara-Juara”.
Pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou, berkata peminat boleh teruja dengan kemenangan dan corak permainan pasukannya, dan mereka “semakin hampir kepada peluang bermain dalam Liga Juara-Juara”. - Foto REUTERS

LONDON: Pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou, berkata peminat kelab itu “boleh teruja” selepas peluang pasukan kegemaran mereka itu melangkah ke Liga Juara-Juara semakin cerah setelah mereka menumpaskan Aston Villa 4-0 pada 10 Mac.

Sedang Villa, yang telah bermain 28 perlawanan, kekal di tangga keempat dalam Liga Perdana England (EPL) dengan 55 mata, Spurs berada di tangga kelima tetapi dengan hanya dua mata di belakang pasukan Unai Emery itu dan dengan satu perlawanan dalam tangan.

Jika Spurs memenangi perlawanan ke-28 mereka kelak, pasukan itu akan naik ke tangga keempat liga dengan 56 mata.

“Ia (perlawanan menentang Villa) adalah satu perlawanan penting buat kami,” kata Postecoglou.

“Corak permainan yang dipamerkan pasukan kami adalah sesuatu yang membuat ramai gembira.”

Sekiranya Villa telah memenangi perlawanan itu, mereka berkelebihan lapan mata di hadapan Spurs dan mengukuhkan lagi kedudukan mereka di tangga keempat serta peluang ke pertandingan Liga Juara-Juara musim depan.

Sebaliknya, pasukan pelawat mengawal perlawanan pada separuh masa kedua hingga James Maddison dan Brennan Johnson menjaringkan dua gol bagi Spurs.

Nasib Villa bertambah buruk apabila kapten mereka, John McGinn, dilayangkan kad merah pada minit ke-65 oleh pengadil Craig Kavanagh kerana terjahan ganas terhadap Destiny Udogie.

Pada masa tambahan, Son Heung-min dan pemain gantian Timo Werner masing-masing menambahkan satu gol bagi Spurs.

“Sudah pasti peminat boleh teruja dengan kemenangan dan corak permainan kami.

“Ini bermakna kami semakin hampir kepada peluang bermain dalam Liga Juara-Juara.

“Ramai tidak menjangka kemenangan besar ini. Saya fikir peluang kami terus cerah,” ujar Postecoglou.

Namun, tonggak pertahanan Spurs, Micky Van de Ven, terpaksa digantikan kerana dikhuatiri mengalami kecederaan hamstring – kecederaan yang pernah dialaminya sebelum ini.

Bagaimanapun, Postecoglou berkata kecederaan yang dialami pemain itu tidak begitu serius.

“Saya tidak begitu pasti dan beliau juga rasakan ia tidak begitu serius.

“Namun ia amat mengecewakan kerana beliau begitu cemerlang sejak kembali daripada kecederaannya sebelum ini.

“Mujur pemain gantian Radu (Dragusin) juga beraksi dengan cemerlang dan saya fikir beliau menjalankan tugas yang baik.” – Agensi berita.

Spurs akan berkunjung ke Fulham pada 17 Mac. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg