Walaupun pintu masuk Grand Prix (GP) Singapura Formula Satu (F1) 2024 hanya mula dibuka seawal 1.45 petang pada 21 September, Cik Sofia Idayu Sabtu, 30 tahun, dan Cik Awadah Syahmah Azman, 19 tahun, sudah berada di sekitar Litar Jalanan Marina Bay lebih dua jam sebelumnya.
Seawal 11 pagi, pasangan mak cik dan anak saudara itu cuba mencari dan mengejar pemandu kegemaran mereka bagi mendapatkan tandatangan mereka.
Setelah berjam-jam ke sana-sini dan menunggu di bawah panas terik, misi mereka berjaya dicapai apabila buku nota dan topi yang dibawa diisi dengan kira-kira tujuh autograf daripada pemandu termasuk Alex Albon, Pierre Gasly dan Esteban Ocon.
Cik Awadah berkongsi bahawa ini merupakan kali pertama beliau merancang mendapatkan autograf pemandu di GP Singapura meskipun pernah ke perlumbaan malam itu pada 2023.
“Kami menunggu di luar pintu masuk sejak 11 pagi dan apabila ia dibuka, kami dengan pantas datang ke sini,” kata peminat Albon dari pasukan Williams itu ketika ditemui Berita Minggu (BM) di luar Bangunan Pit F1, yang mana sekumpulan peminat berhimpun untuk menunggu pemandu kegemaran mereka.
“Ia sangat menyeronokkan untuk mengejar para pemandu ini,” tambah pelajar itu.
Makciknya, Cik Sofia, seorang jururawat dan peminat Carlos Sainz dari Ferrari, yang terjebak dalam F1 pada 2023 kerana anak buahnya, menambah: “Keseronokannya sehingga hilang penat. Rasa lapar pun sudah tiada, dan daripada rasa haus jadi tidak haus.”
Seramai 250,000 peminat dijangka ke GP Singapura, yang berlangsung dari 20 hingga 22 September, iaitu bilangan sama pada 2023.
Selain warga tempatan, peminat F1 dari rantau ini turut membuat perjalanan ke Singapura pada hujung minggu ini untuk menikmati suasana perlumbaan malam itu.
Antara mereka adalah peminat pasukan McLaren dari Indonesia, Queisha Syareefa Kamil dan Alya Hafiza, kedua-duanya pelajar berusia 15 tahun.
“Kami sebenarnya terlepas menduduki peperiksaan yang sedang berlangsung di sekolah untuk berada di sini,” kata Queisha, yang meminati Oscar Piastri.
Kededua remaja itu, yang ditemani bapa Queisha yang bukan peminat F1, menghabiskan kira-kira 20 juta rupiah ($1,700) untuk menghadiri GP Singapura, yang termasuk pas perlumbaan sepanjang tiga hari. Mereka berada di sini selama empat hari sejak 20 September.
Meskipun hanya mula mengikuti F1 sekitar 10 bulan lalu, kehadiran mereka di Litar Jalanan Marina Bay bak impian yang menjadi nyata.
Alya, peminat Lando Norris, ketika sudah lebih 30 minit menanti kelibat pemandu kegemaran mereka di luar Bangunan Pit F1, menambah: “Suasana di sini sangat luar biasa. Saya teruja melihat semua pemandu ini di depan mata. Mereka sangat tinggi berbanding apabila ditonton di kaca televisyen.”
Dengan sesi latihan dan kelayakan selesai pada 21 September, persaingan untuk menentukan juara GP Singapura 2024 bermula 8 malam pada 22 September.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg