GRIMSBY: Peminat Grimsby Town berlari ke padang selepas menyaksikan pasukan kesayangan mereka mencipta kejutan besar dengan menyingkirkan Manchester United daripada Piala Carabao.
Walaupun berita utama akhbar nasional bakal menumpukan pada kekalahan United yang dianggap memalukan, ia tidak menarik perhatian peminat Grimsby.
Sebaliknya, mereka teruja kerana pasukan kegemaran mereka berjaya menewaskan salah satu pasukan terbesar dunia dalam perlawanan Piala Liga yang penuh sensasi itu.
Charles Vernam dan bekas pemain muda United, Tyrell Warren, memberi kelebihan 2-0 kepada Grimsby dalam 30 minit pertama, dengan sorakan sekitar 8,600 penyokong pasukan itu di Blundell Park.
United bangkit dalam perlawanan itu melalui jaringan Bryan Mbeumo pada 15 minit terakhir, dan jaringan Harry Maguire pada minit ke-89, menyedihkan peminat Grimsby.
Namun, para peminat kembali bersorak gembira apabila penentuan sepakan penalti yang panjang, tegang dan mencemaskan, berakhir dengan kemenangan 12-11 untuk Grimsby, lapor BBC Sport.
Kedua-dua penjaga gol turut menjaringkan gol, manakala Jaze Kabia dan Darragh Burns dari Grimsby menjaringkan sepakan penalti kedua mereka.
Bagaimanapun, sepakan Mbeumo terkena palang, menghadiahkan kemenangan kepada Grimsby.
“Sungguh luar biasa,” kata pengulas bola sepak BBC, Chris Sutton.
“Peminat Grimsby berlari ke padang, mereka tidak pernah melihat pemandangan seperti ini sebelum ini!
“Menang pada akhirnya, dan dalam banyak aspek mereka memang layak kerana cara mereka bermain sepanjang 90 minit.
“Ini adalah malam yang akan terus diingati oleh peminat yang hadir malam ini.
“Keputusan yang menakjubkan. Ia akan tercatat dalam sejarah kelab ini sebagai salah satu kemenangan terbesarnya,” tambah beliau.
Pengurus Grimsby, David Artell, menyifatkan perlawanan tersebut sebagai “malam yang hebat untuk kelab bola sepak ini, seluruh bandar dan masyarakat di sini”.
“Pasukan ini bermain dengan hebat. Mereka layak menerima pujian dan penghargaan.
“Ia adalah sesuatu yang sudah lama kami usahakan - untuk memulihkan kedudukan kelab ini dalam arena bola sepak.
“Saya faham ini cuma satu malam. Perjalanan kami masih panjang, kami baru sahaja memulakan liga ini – kami tidak tewas musim ini dan malam seperti ini jarang berlaku,” ujar beliau. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg