MANCHESTER: Ketua jurulatih Manchester United, Ruben Amorim, yakin pasukannya dalam keadaan yang lebih baik tanpa saingan Eropah yang boleh menjejas fokus mereka musim ini.
Disebabkan kedudukan ke-15 dalam Liga Perdana England (EPL) serta kekalahan di final Liga Europa kepada Tottenham Hotspur musim lepas, United terlepas peluang bermain di pentas Eropah.
Ini hanya kali kedua ia berlaku sejak kelab-kelab England kembali ke pertandingan Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) selepas penggantungan lima tahun pada 1990.
Ketiadaan mereka di Eropah juga bermakna United perlu memulakan kempen Piala Carabao lebih awal daripada biasa, dengan perlawanan menentang Grimsby daripada Liga Dua pada 28 Ogos menjadi pertemuan pertama kededua pasukan sejak 1948.
Namun bagi Amorim, ketiadaan saingan Eropah merupakan isu kecil berbanding manfaat lebih besar yang bakal diperoleh dengan masa tambahan untuk membentuk pasukan tanpa gangguan jadual padat.
“Kami belum bersedia bersaing dalam Liga Perdana dan juga Eropah secara serentak,” katanya.
“Kami perlukan masa untuk membina pasukan yang kukuh.”
Kali terakhir United bermula seawal pusingan kedua dalam Piala Carabao adalah pada 2014 – dan perlawanan itu berakhir dengan kekalahan memalukan 4-0 kepada MK Dons, yang ketika itu berada dalam Liga Satu.
Amorim dijangka membuat beberapa pertukaran kepada kesebelasan utama yang seri 1-1 menentang Fulham pada 24 Ogos.
Pemain England seperti Kobbie Mainoo dan Harry Maguire, serta pemain tengah Manuel Ugarte dan penyerang Joshua Zirkzee termasuk dalam kalangan pemain senior yang setakat ini hanya menjadi pemain gantian – atau langsung belum diturunkan, seperti Mainoo dan Zirkzee.
Penjaga gawang United, Andre Onana, juga dijangka diberi peluang beraksi, bersama beberapa pemain muda seperti Ayden Heaven dan Tyler Fredricson.
Pemain pertahanan Morocco, Noussair Mazraoui, pula masih belum kembali selepas mengalami kecederaan semasa pramusim.
Amorim berkata perlawanan di Blundell Park mungkin terlalu awal untuk beliau kembali.
Sementara itu, penyerang Rasmus Hojlund tidak dijangka diturunkan kerana rundingan pinjaman ke juara Liga Italy, Serie A, Napoli, masih berlangsung, dan difahamkan perpindahan itu semakin hampir dimuktamadkan.
Perpindahan beliau dijangka berjalan lebih cepat berbanding kemungkinan perpindahan empat lagi pemain yang dianggap tidak lagi dalam perancangan Amorim, seperti Antony, Jadon Sancho, Alejandro Garnacho dan Tyrell Malacia.
Amorim kini perlu mengambil serius kempen Piala Carabao, memandangkan juara kejohanan itu dapat melayakkan ke pertandingan Eropah – yang juga merupakan sasaran utama kelab musim ini.
Satu musim tanpa gangguan bola sepak Eropah mungkin jadi peluang untuk mereka membina semula asas pasukan.
Tapi jika berlarutan, kesannya dari segi kewangan bakal menjadi sangat berat.
“Kami perlukan masa untuk bina asas yang kukuh, dan bila tiba masanya nanti, kami akan maju dengan lebih mantap,” kata Amorim. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg