Sukan Olimpik Paris telah menjadi ujian kemahiran, taktik dan yang paling penting, kesabaran bagi pemain lelayang foil Singapura, Maximilian Maeder.
Atlet berusia 17 tahun itu terpaksa menunggu satu hari lagi untuk bertarung merebut tempat di podium selepas angin kencang mengakibatkan perlawanan akhir Formula Kite ditangguhkan. Hanya satu perlumbaan daripada sehingga maksimum enam sesi telah diadakan di Marina Marseille pada 8 Ogos, lapor The Straits Times.
Tetapi, juara dunia dua kali itu menyatakan bahawa menunggu adalah perkara biasa dalam sukan itu.
Sebagaimana katanya: “Anda datang ke acara lelayang dan kadangkala cuaca ‘tidak mahu bekerjasama’ dengan anda, dan kadangkala ia tidak sesuai.
“Jadi anda biasakan diri dan saya telah bertanding cukup lama supaya ia tidak mengganggu saya untuk menunggu. Maksud saya, sudah tentu, ia rasa mengecewakan untuk menunggu.”
Sementara perlumbaan pingat untuk dingi campuran dan berbilang kapal telah selesai pada awal hari itu, pertandingan lelayang foill bermula dengan separuh akhir lelaki dan wanita selepas kelewatan selama dua jam kerana kekurangan angin.
Di bawah terik matahari di Marseille, Maeder kekal tenang dan kelihatan santai di kawasan atlet, mendengar lagu daripada komposer Austria, Johann Strauss, dan membalas mesej sokongan daripada peminat.
Pada separuh akhir, Valentin Bontus dari Austria dan Riccardo Pianosi dari Italy mendapat tempat untuk menyertai Maeder dan Toni Vodisek dari Slovenia di final. Maeder dan Vodisek telah layak terus dari siri pembukaan.
Vodisek, 24 tahun, memasuki final empat atlet dengan dua mata perlawanan, hanya memerlukan satu kemenangan perlumbaan dalam siri format yang mana atlet yang pertama untuk meraih tiga kemenangan akan dinobat pemenang untuk merangkul emas.
Sementara itu, Maedar memerlukan dua mata kerana beliau hanya telah membawa satu mata dari siri pembukaan.
Tetapi, regata itu memberikan satu lagi sentuhan dramatik apabila Bontus mendahului perlumbaan pertama di hadapan Maeder, yang menduduki tempat kedua, untuk menyamakan kedudukan dengan warga Singapura itu pada satu mata perlawanan.
Kekurangan angin melambatkan permulaan perlumbaan akhir kedua, dengan kehadiran bot di sekeliling menyebabkan Vodisek dan Bontus terjatuh ke dalam air sebelum permulaan.
Bontus bergelut untuk menaikkan lelayangnya semula dalam keadaan angin yang lemah dan jawatankuasa penganjur kemudian memutuskan untuk menangguhkan perlumbaan kepada 9 Ogos kerana ia melepasi masa potongan tempatan pada 5.37 petang.
Setakat ini, Vodisek, yang menamatkan perlumbaan terakhir dalam perlumbaan pertama perlawanan akhir, masih mempunyai kelebihan untuk memasuki hari terakhir perlumbaan dengan dua mata perlawanan dalam genggamannya. Beliau hanya perlu memenangi satu perlumbaan untuk merangkul emas.
Bontus dan Maximilian kedua-duanya memerlukan dua kemenangan perlumbaan pada 9 Ogos untuk menduduki tempat teratas podium, manakala Pianosi memerlukan tiga kemenangan.
Regata tamat apabila seorang pemain lelayang mendapat tiga mata perlawanan, dengan kedudukan untuk selebihnya ditentukan terlebih dahulu oleh jumlah kemenangan perlumbaan yang mereka miliki. Jika seri, ia akan ditentukan oleh keputusan perlumbaan akhir.
Jika tiada perlumbaan berlangsung pada 9 Ogos dan keadaan kekal seperti sedia ada, Vodisek akan meraih emas, manakala Bontus dan Maximilian masing-masing akan meraih perak dan gangsa berdasarkan keputusan perlumbaan terkini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg