Pendaftaran bagi Kem Bola Sepak Berita Harian (BH)-Singa Legends, yang bakal memberi peluang kepada kanak-kanak berlatih bersama legenda bola sepak Singapura, kini dibuka.

Kem dua hari itu akan berlangsung pada 24 dan 25 November, dari 8 pagi hingga 12 tengah hari, di Our Tampines Hub (OTH).

Terbuka kepada kanak-kanak berusia antara tujuh dengan 13 tahun, kem tersebut dianjurkan BH dengan kerjasama Singa Legends sempena sambutan ulang tahun ke-70 BH pada 2027.

Antara legenda bola sepak negara yang bakal membimbing peserta ialah Fandi Ahmad, Nazri Nasir, S. Subramaniam dan Steven Tan.

Imbas kod QR untuk maklumat lanjut dan mendaftar.
Imbas kod QR untuk maklumat lanjut dan mendaftar. - Grafik BH oleh Hisyam A Rahman

Peserta berpeluang mempelajari pelbagai kemahiran asas bola sepak, selain menimba pengalaman dan mendapat tunjuk ajar secara langsung daripada bekas pemain yang pernah menyarung jersi skuad nasional.

Kem tersebut bukan sahaja bertujuan memupuk minat dan mencungkil bakat muda dalam sukan bola sepak, malah menyemai nilai disiplin, semangat berpasukan dan kesukanan dalam kalangan peserta.

Sebanyak 40 tempat turut dikhaskan bagi kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan, sebagai sebahagian daripada usaha memastikan kegiatan sukan dapat dinikmati oleh lebih ramai anggota masyarakat.

Keseluruhan hasil kutipan yuran pendaftaran kem itu akan disumbangkan kepada badan amal.

Sebelum ini, Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, berkata penganjuran kem tersebut mencerminkan komitmen akhbar itu untuk terus menyumbang kepada masyarakat yang telah menyokongnya selama hampir tujuh dekad.

Pengerusi Singa Legends, Encik Farehan Hussein, pula berharap pengalaman berlatih bersama bekas pemain negara dapat memberi inspirasi kepada peserta untuk mengejar impian mereka dalam sukan bola sepak.

Penganjuran kem itu sejajar dengan tema sambutan BH70, Kisah Kita, yang meraikan perjalanan bersama masyarakat sambil membuka peluang kepada generasi muda mencipta kisah kejayaan mereka sendiri.

Ibu bapa yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut dan mendaftarkan anak mereka menerusi pautan https://tinyurl.com/singalegendsfootballcampII atau dengan mengimbas kod QR.

Yuran pendaftaran bagi kem 2 hari itu ialah $140 bagi setiap peserta, dan semua hasil kutipan dari yuran tersebut akan disalurkan kepada amal.

Kem bolasepak Berita Harian-Singa Legends dianjurkan sempena sambutan BH70.
Kem bolasepak Berita Harian-Singa Legends dianjurkan sempena sambutan BH70. - Grafik BH oleh Hisyam A Rahman