SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Pendakwa raya mahu sepina rekod preskripsi ubatan Tiger Woods

Pendakwa raya mahu sepina rekod preskripsi ubatan Tiger Woods

Mengaku tidak bersalah atas tuduhan memandu di bawah pengaruh bahan terlarang
Apr 9, 2026 | 6:00 PM

Pendakwa raya mahu sepina rekod preskripsi ubatan Tiger Woods

Tiger Woods, sepina, kemalangan kereta, golf
Tiger Woods mendakwa dia sedang melihat telefonnya dan menukar stesen radio apabila kenderaan Land Rovernya melanggar belakang sebuah trak. - Foto AFP

FLORIDA (Amerika Syarikat): Pendakwa raya merancang memfailkan sepina untuk rekod ubat preskripsi Tiger Woods daripada sebuah farmasi, menyusuli penangkapan pemain golf itu pada 27 Mac kerana disyaki memandu di bawah pengaruh bahan terlarang.

Woods, 50 tahun, mengaku tidak bersalah di mahkamah Florida atas tuduhan memandu di bawah pengaruh bahan terlarang sehingga menyebabkan kerosakan harta benda dalam satu kemalangan jalan raya di Jupiter Island, Florida, pada 27 Mac.

Ketika kejadian itu berlaku, Woods mendakwa dia sedang melihat telefonnya dan menukar stesen radio apabila kenderaan Land Rovernya melanggar belakang sebuah trak dan terguling ke sisinya.

Pendakwa raya di Martin County berkata pada 7 April bahawa mereka akan mendapatkan maklumat daripada Lewis Pharmacy di Palm Beach, Florida, bagi tempoh awal 2026 hingga akhir Mac, pada 22 April nanti.

Peguam negeri Florida mahu mendapatkan tarikh preskripsi, bilangan pil, jumlah dos dan arahan – seperti amaran tentang memandu semasa mengambilnya – mengikut dokumen mahkamah dalam talian.

Bantahan terhadap sepina itu mesti difailkan dengan Pejabat Peguam Negeri dalam tempoh 10 hari.

Afidavit penangkapan itu menyatakan bahawa ujian pernafasan tidak menunjukkan tanda-tanda ada alkohol, tetapi Woods menolak ujian air kencing untuk mengenal pasti ubat-ubat lain.

Afidavit tersebut menyatakan bahawa Woods “berpeluh dengan banyak”, pergerakannya “lesu dan perlahan”, matanya “merah dan berkaca-kaca”, anak matanya “sangat membesar” dan semasa latihan di padang, Woods “terhincut-hincut dan terhuyung-hayang ke kanan”.

Dua pil hidrokodon ditemui di dalam saku Woods, menurut laporan polis.

Woods mengaku mengambil ubat tersebut, yang dipercayai berkaitan dengan rawatan kesakitan akibat kecederaan berulang sepanjang kerjayanya.

Minggu lalu, Woods telah diberikan keizinan oleh seorang hakim Florida untuk meninggalkan Amerika Syarikat bagi menjalani rawatan pemulihan.

Hakim Daerah Martin, Encik Darren Steele, meluluskan permohonan yang dibuat peguam Woods, Encik Douglas Duncan, yang memetik keperluan bintang golf itu untuk mengikuti “program intensif, disesuaikan secara peribadi dan bersepadu secara perubatan” jauh daripada media dan penelitian awam.

Juara utama 15 kali itu tidak akan bertanding minggu ini di Masters di Augusta, Georgia, kejohanan yang telah dimenanginya lima kali.

Woods juga menarik diri daripada dipertimbangkan untuk menjadi kapten pasukan Piala Ryder Amerika Syarikat bagi 2027 kerana beliau akan berhenti bermain golf untuk satu tempoh masa yang tidak ditentukan. – Reuters.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg