Topic followed successfully
Go to BHkuTiger Woods tetap jadi sebutan pemain jelang Masters
Tiger Woods tetap jadi sebutan pemain jelang Masters
Tiger Woods tetap jadi sebutan pemain jelang Masters
GEORGIA (Amerika Syarikat): Tiger Woods tidak akan bersaing di kelab golf Augusta National minggu ini, namun juara Masters sebanyak lima kali itu tetap menjadi bualan utama dalam kalangan 91 pemain yang bertanding.
Woods, 50 tahun, dilaporkan telah mendaftar masuk ke program rawatan di luar Amerika Syarikat susulan satu kemalangan jalan raya yang membawa kepada penahanan beliau atas dakwaan memandu di bawah pengaruh alkohol di Florida pada 27 Mac.
Beliau kemudian mengumumkan tidak akan mengambil bahagian dalam edisi ke-90 kejohanan Masters.
Woods turut menarik diri daripada pertimbangan sebagai kapten pasukan Piala Ryder Amerika Syarikat 2027 kerana ingin mengundurkan diri daripada dunia golf buat tempoh yang tidak ditetapkan.
Pesawat Woods dilaporkan mendarat di Switzerland minggu lalu, beberapa hari selepas peguamnya memberitahu Hakim Daerah Martin bahawa anak guamnya memerlukan “program rawatan intensif, peribadi dan bersepadu secara perubatan” jauh daripada perhatian media serta orang awam.
Woods mengaku tidak bersalah atas tuduhan salah laku selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) miliknya melanggar bahagian belakang sebuah trak berhampiran rumahnya di Jupiter, Florida.
Kereta Woods terbalik ke tepi dan beliau didakwa atas kesalahan memandu secara berbahaya akibat hilang tumpuan.
Pihak polis menemui dua biji pil putih di dalam poket seluarnya, yang kemudian disahkan oleh pihak berkuasa sebagai dadah terkawal hydrocodone.
Woods pernah menyatakan semasa final TGL – tiga hari sebelum kemalangan tersebut – bahawa beliau sedang berusaha kuat untuk cuba beraksi di Masters minggu ini.
Kini, ketiadaan beliau di Augusta National menjadi bualan utama dalam kalangan pemain yang pernah bersaing dengan Woods atau mereka yang membesar dan menjadikan juara Major 15 kali itu sebagai idola.
“Beliau adalah wira saya sejak kecil. Sebab utama saya bermain golf adalah kerana kejohanan ini dan juga Tiger,” kata pemain golf Australia, Jason Day.
Patrick Reed, yang memenangi Masters pada 2018, akan menghadiri majlis makan malam juara pada malam 7 April tanpa kehadiran Woods.
Turut terlepas saingan ialah pemenang enam kejuaraan Major, Phil Mickelson, yang tidak hadir di Masters 2026 kerana sedang menguruskan urusan kesihatan peribadinya.
“Jujur saya katakan, tanpa Tiger Woods dan Phil Mickelson dalam kejohanan ini atau dalam (arena) golf, apabila mereka berdua mengundurkan diri, saya rasa ia menjejas sukan golf ini,” kata Reed.
“Tetapi pada masa sama, kami mahu mereka kembali sihat dan bersedia untuk beraksi semula.”
Ini merupakan kali pertama dalam tempoh 32 tahun kedua-dua Mickelson dan Woods terlepas kejohanan Masters secara serentak.
Kali terakhir Woods terlepas kejohanan Major pertama tahunan adalah pada 2021, ketika beliau sedang dalam proses pemulihan daripada kecederaan serius akibat kemalangan jalan raya di California. – Reuters.

