Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pendayung S’pura Saiyidah Aisyah mara walau tiada peluang raih pingat

Jul 28, 2024 | 8:49 PM
Pendayung Singapura, Saiyidah Aisyah Mohamed Rafa’ee, mara ke separuh akhir E/F, yang bermakna tiada pingat untuk dimenangi, dalam acara scull tunggal wanita di Paris 2024.
Pendayung Singapura, Saiyidah Aisyah Mohamed Rafa’ee, mara ke separuh akhir E/F, yang bermakna tiada pingat untuk dimenangi, dalam acara scull tunggal wanita di Paris 2024. - Foto REUTERS

Pendayung Singapura, Saiyidah Aisyah Mohamed Rafa’ee, menduduki tempat ketiga dalam pusingan saring semula (repechage) acara scull tunggal wanita Sukan Olimpik Paris 2024 pada 28 Julai.

Pendayung berusia 36 tahun itu mencatat masa 8 minit 23.03 saat dan menamatkan perlumbaan di Stadium Nautika Vaires-sur-Marne di belakang pendayung Iran, Fatemah Mojallal (7 minit 56.48 saat) dan pendayung Turkey, Elis Ozbay (8 minit). 

Pusingan saring semula diadakan bagi peserta yang gagal dalam pusingan saringan pertama, yang termasuk Saiyidah Aisyah.

Dengan keputusan yang dicapainya dalam saring semula, Saidiyah Aisyah dapat melangkah ke pusingan separuh akhir E/F, yang bermakna tiada pingat akan diberi, acara scull tunggal wanita yang akan diadakan pada 29 Julai.

Ia memberi beliau peluang merebut tempat di pusingan selanjutnya.

Sementara itu, sehari selepas tewas dalam perlawanan pembukaan mereka di Sukan Olimpik Paris, pemain beregu campuran badminton Singapura, Terry Hee dan Jessica Tan, mengalami kekalahan kedua di Arena Porte de la Chapelle pada 28 Julai.

Menentang gandingan pasangan nombor dua dunia dari China, Feng Yanzhe dan Huang Dongping, beregu Singapura, yang menduduki ranking ke-17, tidak dapat mengatasi pesaing mereka dan tewas 21-13, 21-17.

Juara Sukan Komanwel itu berada di belakang selepas tewas dalam perlawanan Kumpulan D kepada pemain Malaysia, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei, sehari sebelumnya, dan perlu memenangi dua perlawanan seterusnya untuk berpeluang layak ke suku akhir.

Harapan itu kini sudah lenyap dan mereka bakal beraksi dalam baki perlawanan peringkat kumpulan menentang pemain Malaysia, Vinson Chiu dan Jennie Gai, pada 29 Julai.

Rakan sepasukan mereka, bekas juara dunia, Loh Kean Yew, akan beraksi dalam perlawanan pembukaan Kumpulan M menentang Jan Louda dari Republik Czech pada hari sama.

Dalam acara tenis meja perseorangan wanita pula, atlet Singapura, Zhou Jingyi, gagal melangkah ke pusingan 32 selepas tewas 4-1 kepada Szocs Bernadette dari Romania.

Perjalanan Olimpik srikandi lawan pedang Singapura, Amita Berthier, juga berakhir pada 28 Julai selepas kekalahan sengit 13-15 kepada pemain nombor 11 dunia, Lauren Scruggs, dalam acara foil wanita.

Meskipun menunjukkan prestasi mantap, Berthier, yang menduduki ranking ke-35 dunia, gagal mara ke pusingan seterusnya.

Ini merupakan penampilan Olimpik kedua Berthier.

Atlet berusia 23 tahun itu memenangi pingat emas Sukan SEA tiga kali dan menjadi atlet Singapura pertama meraih kejuaraan lawan pedang Persatuan Atletik Kolej Nasional (NCAA) di Amerika Syarikat pada 2021. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg