Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sukan Olimpik Paris buka tirai dengan pelayaran di Sungai Seine

Jul 27, 2024 | 4:27 PM
Kontinjen Singapura di atas kapal yang berlayar di sungai Seine di Paris  sewaktu upacara pembukaan  Sukan Olimpik 2024 pada 26 Julai.
Kontinjen Singapura di atas kapal yang berlayar di sungai Seine di Paris sewaktu upacara pembukaan Sukan Olimpik 2024 pada 26 Julai. - Foto REUTERS

PARIS: Bermandikan cahaya dan suasana pesta, Sukan Olimpik 2024 membuka tirainya di Paris dengan tuan rumah menyambut kehadiran dunia dengan sebuah persembahan seni, budaya dan sejarah. 

Ikon sukan dan hiburan sejagat – legenda bola sepak, Zinedine Zidane; penyanyi pop terkenal, Lady Gaga; serta pelakon, Michelle Yeoh – merupakan antara barisan bintang yang membuat penampilan pada upacara pembukaan Paris 2024.

Seramai 320,000 penonton mengisi ruang upacara, manakala ribuan berbaris di jalan raya sekitar ibu kota Perancis itu dan ramai mengintai dari tingkap bangunan Haussmannian untuk cuba melihat aksi tersebut.

Pemandangan di Trocadero, dengan Menara Eiffel tampak megah di latar belakang semasa bendera Olimpik dinaikkan, semasa upacara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024.
Pemandangan di Trocadero, dengan Menara Eiffel tampak megah di latar belakang semasa bendera Olimpik dinaikkan, semasa upacara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024. - Foto REUTERS

Ia sangat berbeza daripada Tokyo 2020, yang membuka tirainya di stadium negara kosong selepas penangguhan temasya sukan itu selama setahun akibat pandemik Covid-19.

Namun, Paris 2024 tetap dibayangi ketidaktentuan yang terus berlaku pada peringkat sejagat.

Satu tindakan “pengkhianatan terselaras”, termasuk serangan terhadap perkhidmatan kereta api Perancis, mengakibatkan penumpang terkandas di stesen kereta api pada 26 Julai. 

Sekurang-kurangnya 800,000 penumpang dijangka terjejas oleh kejadian itu sepanjang hujung minggu ini. 

Kontroversi juga melanda temasya sukan itu sebelum ia bermula, dengan pencerobohan padang sewaktu perlawanan bola sepak lelaki antara Argentina dengan Maghribi, yang menyaksikan juara dunia itu kalah 1-2, manakala jurulatih pasukan wanita Canada, Beverly Priestman, dan dua kakitangan diundurkan selepas didakwa menggunakan dron untuk mengintip latihan pasukan New Zealand.

Tiada Sukan Olimpik bebas daripada sembarang insiden, tetapi sepanjang 16 hari akan datang diharapkan dunia sukan akan bersatu apabila 10,500 atlet memulakan persaingan mereka di Paris. 

Ini sebagaimana disaksikan pada upacara pembukaan itu, yang turut dihadiri tetamu kehormat utama, termasuk Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron; Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, Encik Thomas Bach; Presiden Singapura, Tuan Tharman Shanmugaratnam dan isterinya, Puan Jane Ittogi.

Presiden Tharman Shanmugaratnam dan isteri, Puan Jane Ittogi mengibarkan bendera Singapura ketika pasukan Olimpik Singapura muncul di skrin di Trocadero semasa upacara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024.
Presiden Tharman Shanmugaratnam dan isteri, Puan Jane Ittogi mengibarkan bendera Singapura ketika pasukan Olimpik Singapura muncul di skrin di Trocadero semasa upacara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024. - Foto ST

Kontinjen Singapura yang terdiri daripada 29 atlet dan pegawai diketuai oleh juara Sukan Asia, Shanti Pereira (olahraga) dan Ryan Lo (sukan layar).

Dengan memakai seragam Team Singapore, atlet warga Singapura itu tetap bersemangat meskipun dibasahi hujan.

Shanti berkata: “Rasa seperti mimpi! Satu penghormatan besar dapat melakukan ini dengan Ryan – cara yang bagus untuk memulakan kempen Olimpik saya dan Pasukan Singapura.

“Detik yang menakjubkan dan saya pasti akan ingat seumur hidup!”

Lo menambah: “Saya berasa sangat bertuah dan bangga dapat mengibarkan bendera Singapura bersama Shanti. Ia adalah satu penghormatan yang besar untuk diberi peluang ini pada acara berprestij, dan saya tidak sabar untuk bertanding di Sukan Olimpik kedua saya.”

Pelari pecut negara, Marc Louis pula berkata: “Ini adalah satu-satunya majlis perasmian apabila kami dapat melihat mercu tanda Paris semasa di atas bot. 

“Sungguh menakjubkan bagaimana orang ramai mengharungi cuaca hujan untuk keluar dan mengalu-alukan kami. Saya tidak sabar untuk pertandingan bermula!”

Selepas pulang dengan tangan kosong dari Tokyo 2020, pasukan Singapura – yang diwakili 23 atlet merentasi 11 sukan di Paris – berharap dapat kembali berkalungkan pingat, dengan juara dunia luncur lelayang atau kitefoiler, Maximilian Maeder, antara pesaing utama bagi pingat emas.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg