Penampilan sulung wartawan dan penerbit podcast Berita Harian (BH), Natasha Mustafa, di Sukan SEA 2025 tidak berakhir dengan pingat seperti yang diharapkannya.
Atlet lincah berusia 30 tahun itu memberi tentangan sengit, namun tewas dalam kededua pertarungannya bagi acara jujitsu (Newaza – 63kg) di Akademi Tentera Udara Navaminda Kasatriyahiraj, Bangkok pada 12 Disember, masing-masing kepada lawan dari Thailand dan Indonesia.
Beliau tewas tipis 0-2 kepada pesaingnya dari Thailand, Kokkoliou Maria Elissavet dalam perlawanan peringkat suku akhir.
Natasha kemudian berdepan dengan Megawati Ilma Yeni dari Indonesia bagi perlawanan Pusingan Penyingkiran Berganda 1 (Repechage), di mana beliau tewas 0-2 dalam saat-saat terakhir perlawanan.
Walaupun tidak berpeluang meraih pingat kali ini, Natasha tetap ghairah dan bangga dapat menzahirkan tentangan yang sengit di pentas sebesar Sukan SEA.
Bercakap kepada BH selepas pertarungannya, beliau berkata: “Perasaan bertarung di pentas ini memang luar biasa, bila saya dengar sorakan rakan-rakan saya, saya hanya terdorong untuk melakukan yang terbaik.”
“Saya ikut saja rancangan yang diberikan dan saya gembira dengan prestasi saya... Ada saat-saatnya saya memikir saya mampu menang,” tambahnya.
Natasha tersenyum lebar sambil melambai kepada peminat dan rakan sepasukannya yang bersorak untuknya sepanjang pertarungan.
Mengenai keceriaannya, beliau menjelaskan: “Saya sedar ramai pasti berasa sedih setelah kekalahan, tetapi saya tidak menyesal prestasi saya… Saya membuktikan yang saya boleh beraksi dengan terbaik di peringkat antarabangsa.”
Walaupun tersingkir, Natasha tidak membenarkan lawannya mengatasinya dengan begitu mudah sahaja, dan para peminat sekali gus disajikan dengan pertarungan yang tegang.
Natasha mempunyai permulaan memberangsangkan dalam pertarungan pertamanya, dengan menahan Elissavet ke lantai sambil berdiri bagi sebahagian besar pertarungan itu.
Lawannya hanya berjaya mendapat kelebihan pada minit terakhir perlawanan itu.
Natasha kemudian berdepan dengan Megawati Ilma Yeni dari Indonesia bagi perlawanan Pusingan Penyingkiran Berganda 1 (Repechage), untuk terus hidupkan harapan menepati pingat gangsa.
Kededua atlet itu saling berpegang erat, berusaha untuk membanting lawan masing-masing.
Namun, Natasha tewas tipis 0-2 selepas dikenakan penalti kerana keluar dari batasan gelanggang ketika cuba mengelak dibanting oleh Megawati.
Natasha mengaitkan prestasinya itu kepada sokongan berterusan daripada rakan sepasukannya dan ahli keluarga.
Beliau bersyukur atas sikap tolak ansur rakan kerja untuk memudahkan tugas mengimbangi tugas dan latihan.
“Tanpa bantuan mereka (semua), saya mungkin tidak dapat capai tahap ini,” tambahnya.
Namun, kontinjen jujitsu tetap meninggalkan arena dengan sebutir pingat perak pada hari yang sama.
Paul Lim Tian Zhi meraih pingat perak bagi acara Newaza di bawah 77kg, setelah tewas 0-4 kepada atlet tuan rumah, Aunjai Chanwit, dalam pertarungan yang turut sengit.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg