Marissa Hafezan, 19 tahun, mengukir sejarah dengan memenangi pingat emas pertama Singapura sejak 1993, selepas beliau menang di final acara Kumite 55 kilogram wanita di Sukan SEA 2025, Thailand.
Ini juga merupakan pingat pertama yang dimenangi pasukan karate negara dalam 14 tahun.
Marissa menumpaskan atlet Vietnam, Nguyen Thi Dieu Ly dalam satu perlawanan sengit di dewan serbaguna Kompleks Kerajaan, Chaeng Watthana pada 12 Disember.
Sebelum itu, beliau membuka tirai kejohanan dengan mudah apabila menewaskan atlet Filipina, Montalvo Maryanne Jenelle, 7-0 di pusingan pertama pada pagi 12 Disember.
Beliau kemudian meneruskan rentak garangnya apabila menewaskan atlet Laos, Sysoubanthong Manyvanh, 8-0, di separuh akhir.
Kemenangan itu sekaligus mengakhiri penantian 32 tahun Singapura untuk pingat emas di Sukan SEA, yang kali terakhir dimenangi Neo Ah Suan dalam acara kumite 60 kilogram di Sukan SEA 1993.
Ia juga merupakan pingat pertama yang dibawa pulang Singapura dalam sukan itu sejak Tay Qinyuan, yang memenangi pingat gangsa di acara Kumite 55 kilogram di Sukan SEA 2011.
Sebelum itu di perlawanan pingat gangsa, seorang lagi atlet negara, Chua Sheng Da, gagal menandingi atlet Filipina, Manantan John Matthew di acara Kumite -67 Kilogram lelaki di mana beliau tewas 1-2.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg