Apa yang berlaku pada malam 1 Oktober di Stadium Si Jalak Harupat di Bandung itu bukan sekadar penyingkiran daripada Piala Asean Fifa.

Singapura bukan sahaja gagal menewaskan Malaysia dan melangkah ke peringkat seterusnya, malah dibelasah 6-0, kekalahan terbesar mereka kepada pesaing utama negara ini sejak 1978.

Apa yang lebih menyakitkan ialah keputusan perlawanan tersebut tidak menggambarkan keseluruhan persembahan mereka, terutamanya pada separuh masa pertama apabila skuad Singa beraksi berani dan mencipta beberapa peluang sepanjang perlawanan itu.

Namun sekali lagi, peluang-peluang itu gagal disempurnakan, manakala persembahan Malaysia cukup klinikal untuk menghukum setiap ruang yang diberikan.

Barisan pemain Singapura tunduk hampa selepas wisel penamat ditiupkan, mengesahkan penyingkiran skuad Singa daripada Piala Asean Fifa.
Barisan pemain Singapura tunduk hampa selepas wisel penamat ditiupkan, mengesahkan penyingkiran skuad Singa daripada Piala Asean Fifa. - Foto FAS

Walau bagaimanapun, kekecewaan itu kini perlu dijadikan sebagai pembakar semangat.

Melihat keputusan 6-0, mudah untuk membuat kesimpulan bahawa Singapura tidak bersaing dalam permainan tersebut.

Tetapi jurulatih pasukan itu, Gavin Lee, sendiri tidak melihatnya begitu.

“Saya fikir kami bermula dengan baik,” katanya selepas perlawanan tersebut.

Singa memang tampil dengan keberanian untuk menyerang dan terus cuba mencari jalan kembali selepas ketinggalan.

Penalti yang dianugerahkan kepada Malaysia seawal 3 minit juga boleh dianggap sebagai nasib malang.

Namun, terutama sekali pada separuh masa pertama, Singa telah mempamerkan semangat juang yang sudah biasa dilihat dalam kalangan pemain tanah air.

Malah, Lee berkata pasukannya lebih kerap sampai ke kawasan penalti berbanding ketika perlawanan menentang Bangladesh pada 28 September di mana mereka menang 1-0.

Pemain tengah, Song Ui-young (tiga dari kanan), bersama rakan sepasukannya cuba mencipta peluang di bahagian serangan, namun ketumpulan menjaringkan gol kekal berterusan.
Pemain tengah, Song Ui-young (tiga dari kanan), bersama rakan sepasukannya cuba mencipta peluang di bahagian serangan, namun ketumpulan menjaringkan gol kekal berterusan. - Foto FAS

Namun masalah kekurangan ketajaman untuk menjaringkan gol sudah timbul sebelum perlawanan Malaysia itu, dan mereka gagal menangani masalah tersebut.

Malangnya buat Singa, Harimau Malaya mempamerkan ketajaman yang diidamkan.

“Mereka menjaringkan gol dengan hampir setiap percubaan yang mereka cipta,” kata Lee.

Walaupun barisan Singa memperlihatkan permainan bermutu pada awal permainan dengan menguasai beberapa gerakan berbahaya, disiplin dan bentuk pasukan itu mula berkecai pada separuh masa kedua.

Keletihan fizikal serta tekanan mental menjadikan barisan pertahanan Singa dalam keadaan kucar-kacir setiap kali Malaysia melakukan serangan balik pantas.

Itulah mungkin gambaran paling tepat tentang perbezaan antara kedua-dua pasukan itu pada 1 Oktober lalu.

Ketumpulan di depan gol juga menyebabkan benteng pertahanan Singa terlalu terdedah.

Apabila kekurangan jaringan, pasukan itu terpaksa mengambil lebih risiko.

Lee sendiri mengakui pasukan itu mengambil risiko kerana percaya mereka masih mempunyai peluang untuk kembali ke dalam permainan.

Malah pada kedudukan 2-0 atau 3-0, katanya, satu gol masih mampu mengubah keadaan.

Masalahnya ialah ketika Singapura mengejar gol, mereka meninggalkan terlalu banyak ruang di bahagian pertahanan.

“Sayangnya, kami membuka ruang terlalu luas di bahagian belakang, dan akhirnya kami dihukum disebabkan perkara itu,” kata Lee.

Strategi terus mendedahkan benteng pertahanan demi memburu gol dalam situasi sebegitu mungkin akan dilihat sebagai strategi yang salah.

Hakikatnya, pada kedudukan 3-0, Singapura mungkin berupaya mencatatkan keputusan yang kurang memalukan sekiranya barisan pemain mengambil pendekatan bertahan untuk menyerap tekanan, berbanding terus menyerahkan ruang seluas-luasnya untuk diratah jentera serangan Malaysia.

Bahkan, dalam perlawanan tersebut, Malaysia yang sedang memburu gol, sedangkan pasukan Singa hanya memerlukan satu gol untuk layak ke pusingan seterusnya.

Selepas wisel penamat, emosi pemain dan Lee jelas terpampang.

Mereka sedar bahawa ini bukan sekadar kekalahan besar.

Ia kekalahan kepada Malaysia – musuh ketat – dalam perlawanan yang menentukan sama ada mereka terus kekal dalam kejohanan atau tersingkir.

Lee berkata suasana dalam bilik persalinan dipenuhi pemain yang diselubungi kekecewaan.

Dan kekecewaan tersebut jelas dirasakan dalam kalangan masyarakat bola sepak Singa, kerana malam seperti itu memang menyakitkan.

Namun, rasa sakit tersebut perlu menjadi pengajaran.

Biarlah kekalahan kepada Malaysia menjadi sesuatu yang tidak mahu dirasai lagi pasukan Singa.

Dan biarkan emosi yang terasa di Bandung pada 1 Oktober itu menjadi pembakar semangat apabila mereka kembali beraksi bagi negara ini sekali lagi.