Sejak zaman remajanya di Sekolah Sukan Singapura, Harhys Stewart sudah lama menyimpan hasrat bermain bola sepak profesional di Eropah.
Selepas mencipta impak besar dalam satu musim bersama Chiangrai United di Thailand, pemain tengah Singa itu akhirnya berjaya merealisasikan impiannya pada Jun 2025 apabila menandatangani kontrak dua tahun bersama kelab Ferizaj dalam Liga Super Kosovo.
Namun, selepas hanya dua bulan di Kosovo, Harhys membuat keputusan untuk menamatkan kontraknya dan kini menyertai kelab Liga 1 Thailand, Uthai Thani.
Beliau membuat penampilan pertamanya untuk kelab barunya dalam kekalahan 4-1 kepada Ayutthaya United pada 29 Ogos.
Menurut The Straits Times, Harhys mendedahkan bahawa gabungan isu di dalam dan luar padang mendorongnya untuk menamatkan pelibatan bersama Ferizaj lebih awal, sebelum sempat bermain dalam perlawanan rasmi.
“Saya sangat teruja dengan cabaran baru itu, tetapi selepas beberapa minggu di sana, saya sedar suasananya tidak begitu profesional,” kata pemain tengah berusia 24 tahun itu.
Beliau juga menjelaskan bahawa terdapat masalah kewangan yang menyaksikan gaji bulan pertamanya dibayar lewat dan apabila dibayar beliau hanya menerima separuh daripada jumlah yang ditetapkan.
Selain itu, beliau menyatakan “kurangnya profesionalisme” dalam pendekatan latihan yang tidak sistematik.
Harhys turut berkongsi bahawa semasa sesi latihan, mereka adakan perlawanan dengan hanya satu gawang bersaiz penuh digunakan di satu bahagian padang, manakala bahagian satu lagi menggunakan gawang kecil, kerana mereka tidak mahu mengalihkan satu lagi gawang besar ke dalam padang.
“Pasukan dipilih oleh kapten yang ditetapkan, seperti perlawanan antara rakan-rakan, tanpa sebarang arahan taktikal atau struktur. Ramai pemain bermain di posisi yang bukan kepakaran mereka. Sukar untuk menyesuaikan diri tanpa bimbingan atau organisasi yang jelas,” tambahnya.
Menurut Harhys, pengalamannya di Eropah tidak seperti dijangkakan.
“Saya sangka berada di Eropah bermakna tahap kejurulatihan akan lebih tinggi, tetapi sebenarnya tiada bimbingan, tiada maklum balas, tiada analisis atau mesyuarat pasukan untuk berbincang bagaimana kami boleh perbaiki prestasi,” tambah beliau.
Masalah gaji menjadi kemuncak yang mendorongnya untuk menamatkan kontrak secara persetujuan bersama, dan Harhys meninggalkan Kosovo pada 22 Ogos.
Namun, beliau katakan beliau tidak menyesal untuk cuba bermain di Eropah.
“Memang mengecewakan, tetapi saya ke Eropah untuk mempertingkatkan diri sebagai pemain dan ingin membantu pembangunan bola sepak Singapura,” ujar beliau.
“Kadang-kadang perkara tidak berjalan seperti dirancang, tapi saya tetap anggap ia satu pengalaman yang berharga. Saya tidak menyesal dan akan terus mencuba bermain di tahap tertinggi yang saya mampu.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg