1. Ryhan Stewart (FK Riteriai, Lithuania)
Ryhan, yang baru berumah tangga bersama pempengaruh Hannah Alkaff, menyertai kelab Lithuania, FK Riteriai, pada 15 Mac, dan telah membuat 12 penampilan dan menjaringkan satu gol untuk kelab tersebut.
FK Riteriai kini berada di tangga kesembilan daripada 10 pasukan dalam liga utama Lithuania, A Lyga, dan pasukan terbawah akan disingkirkan ke liga peringkat dua Lithuania.
Namun, pemain pertahanan berusia 25 tahun itu bersemangat menghadapi cabaran tersebut dan percaya beliau akan memperoleh manfaat daripada pengalaman membantu kelab kekal di liga utama, sesuatu yang tidak dirasakan dalam Liga Perdana Singapura (SPL).
Beliau juga berkongsi bahawa Lithuania lebih mencabar daripada segi fizikal, dan beliau telah berlari jarak lebih jauh daripada semasa beraksi dalam SPL.
2. Harhys Stewart (Ferizaj, Kosovo)
Mengikuti jejak abangnya, Ryhan Stewart, bermain di Eropah, Harhys Stewart, menandatangani kontrak dua tahun bersama Ferizaj, sebuah kelab dari Kosovo, negara yang terletak di bahagian tenggara Eropah, pada 12 Jun.
Beliau merupakan warga Singapura pertama bermain untuk kelab Kosovo.
Sebelum menyertai Ferizaj, pemain tengah itu menjaringkan enam dan merintis lima gol dalam 43 penampilan bagi pasukan Liga 1 Thailand, Chiangrai United.
Ferizaj berkata melalui Instagramnya bahawa Harhys membawa ketenangan, ketajaman dan kekuatan di bahagian tengah pasukan mereka.
3. Jordan Emaviwe (BG Pathum United, Thailand)
Selepas menjaringkan enam gol dan merintis satu gol untuk kelab Thailand, Chiangrai United, yang mengakhiri musim di tangga ke-11, Jordan Emaviwe, meninggalkan kelab tersebut untuk menyertai BG Pathum United (BGPU), yang menduduki tangga ketiga liga tersebut.
Perpindahan pemain pertahanan berusia 24 tahun itu melambangkan hasratnya untuk meneruskan usaha mengembangkan kerjaya dan pembangunan dirinya sebagai pemain.
Jordan mampu bermain sebagai pemain pertahanan dan penyerang.
Beliau memulakan kerjaya bola sepaknya dengan Balestier Khalsa FC dalam SPL dan kemudian berpindah ke Liga Thai bersama Chiangrai pada separuh masa kedua musim 2024-2025.
4. Ikhsan Fandi (Ratchaburi secara pinjaman daripada BGPU, Thailand)
Ikhsan Fandi akan menghabiskan musim 2025/26 secara pinjaman di Ratchaburi FC, menandakan lembaran baru dalam perjalanan Liga Thai penyerang Singapura itu.
Penyerang berusia 26 tahun itu menyertai BGPU pada separuh kedua musim 2021/22, dan sejak itu membuat 88 penampilan dan menjaringkan 40 gol dan merintis tiga gol dalam semua pertandingan.
Kini menyarungi jersi Ratchaburi, Ikhsan menyasarkan untuk menemui semula prestasi terbaiknya serta rentak menjaringkan gol di persekitaran baru.
Perpindahan pinjaman itu menawarkan masa permainan yang berharga dan peluang baru untuk memberi impak di peringkat tinggi bola sepak Thailand.
5. Ilhan Fandi (Buriram United secara pinjaman daripada BGPU, Thailand)
Mengikuti jejak abangnya, Ikhsan Fandi, Ilhan akan menyertai Buriram United secara pinjaman daripada BGPU untuk musim 2025/26 juga.
Musim lalu bersama BGPU, Ilhan beraksi dalam 30 perlawanan, menjaringkan tujuh gol dan merintis tiga gol lain pasukannya.
Dengan perpindahan ke pasukan juara bertahan liga Thailand, Buriram, Ilhan berpeluang meningkatkan prestasinya dan terus bersaing di tahap tertinggi bola sepak Thailand.
Langkah pinjaman tersebut diharap dapat memberikan Ilhan lebih banyak masa permainan dan ruang untuk terus berkembang serta memberi impak positif dalam pasukan barunya sepanjang musim akan datang.
6. Irfan Fandi (Port FC, Thailand)
Irfan Fandi kini gembira dapat kembali bermain semula selepas dua musim bergelut dengan kecederaan.
Pada musim 2023-24, beliau hanya beraksi 19 perlawanan bersama BGPU sebelum menyertai Port FC, sekalipun masih dihambat kecederaan.
Irfan, 27 tahun, belum mewakili skuad Singapura sejak Mac 2024, namun berharap dapat kembali beraksi secara tekal di peringkat kelab dan antarabangsa.
Beliau turut berazam menampilkan prestasi terbaik dalam Liga Juara Juara-Juara (ACL) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Elite dan pulih sepenuhnya daripada masalah kecederaan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg