Topik diikuti
Pergi ke BHkuPengalaman, ketahanan mental Akram bakal bantu Jurong kecap kejayaan
Ketahanan mental, pengalaman luas jadi senjata Akram perkukuh FC Jurong buru tiket ACL2; tekad cipta nama di SPL
Berpindah daripada Tanjong Pagar United ke kelab gergasi Liga Perdana Singapura (SPL), Lion City Sailors (SPL), ternyata merupakan langkah yang besar bagi Akram Azman.
Mewakili Sailors di pentas Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di samping pemain handal seperti Bart Ramselaar dan Anderson Lopez, mendorong Akram untuk mengasah tahap permainannya dengan cepat.
Prestasi cemerlang itu melayakkan beliau dipanggil mewakili skuad kebangsaan pada Mac 2025, meskipun hanya menyertai Sailors pada Januari 2025.
Sepanjang tempoh setahun lalu, pemain berusia 26 tahun telah membuktikan keupayaannya beraksi di peringkat tertinggi.
Beliau bukan sekadar menjuarai SPL dan Piala Singapura sebanyak dua kali bersama Sailors, malah membantu skuad Singapura layak ke saingan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) buat julung-julung kalinya berdasarkan merit.
Kini, Akram kembali ke kawasan barat untuk menyarung jersi FC Jurong, dan bersedia memulakan misi melakar sejarah di kelab itu pula, iaitu tiket ke saingan ACL2 buat julung-julung kalinya.
Skuad wanita FC Jurong telah berjaya membuat penampilan sulung di Liga Juara-Juara Wanita Asia (AWCL) pada Ogos 2026 setelah menjuarai Liga Perdana Wanita pada 2025.
Beliau yakin pengalaman dan kecekalan yang diasah setakat ini mampu membantu kelab itu merealisasikan impian tersebut.
Bercakap kepada Berita Harian (BH), keputusan untuk berpindah ke Jurong mudah dibuat kerana beliau menganggap kelab itu sebagai salah satu pesaing utama untuk merebut tempat ke saingan ACL2.
Beliau memberi contoh jurang dua mata antara Jurong dengan Tampines pada musim SPL 2025/26.
“Pencapaian itu membuktikan mutu pasukan ini, walaupun barisan pemain import skuad ini diubah.
“Jurong kerap kali hampir mencapai kelayakan ke saingan ACL2, dan saya yakin kami akan berjuang bersungguh-sungguh demi mencapai matlamat itu seperti musim yang lalu,” kata Akram.
“Beberapa kelab juga hubungi saya, tetapi Jurong yang benar-benar mahu menandatangani saya.
Ketua jurulatih, Jaswinder Singh, memainkan peranan besar dalam membawa saya masuk,” tambahnya.
Berbekal pengalaman luas beraksi di pentas ACL2 bersama Sailors serta skuad kebangsaan, Akram bakal mengukuhkan mutu permainan dan menyuntik intensiti tinggi setiap kali menyarung jersi The Swans.
Akram berkata ketahanan mental dan keupayaannya menjadi semakin baik sewaktu berpindah ke Sailors dari Tanjong Pagar United.
“Azam, intensiti dan tahap permainan di kelab sebesar itu jauh lebih tinggi.
“Dalam persekitaran sebegitu, dengan dikelilingi pemain lebih berpengalaman, memang biasa untuk rasa ‘kerdil’ pada awalnya.
“Namun, keadaan itu menjadi dorongan buat saya untuk terus membaiki diri.
“Saya tiada pilihan melainkan menyesuaikan diri dengan tahap permainan yang lebih tinggi,” kongsinya.
Pengalaman itu, tegas Akram, menjadikannya lebih fokus, berdaya saing dan teruja belajar daripada pemain lebih berpengalaman.
Lantas, Akram tidak gentar apabila bermain di samping veteran seperti Keisuke Honda dan Hassan Sunny, malah teruja dapat belajar daripada mereka.
Beliau turut menerapkan mentaliti mendahagakan kemenangan dalam apa jua keadaan di bawah bimbingan bekas ketua jurulatih Sailors, Aleksandar Rankovic.
Justeru, Akram membuktikan bakatnya dengan beraksi dalam sekitar 40 perlawanan tempatan dan saingan di ACL2, yang menyaksikan beliau menentang kelab serantau seperti Persib Bandung, Bangkok United dan Nam Dinh FC dari Vietnam.
“Pengalaman menentang kelab dari rantau ini benar-benar meluaskan pandangan saya.
“Tahap permainan di peringkat antarabangsa jauh lebih tinggi dan sengit berbanding SPL.
“Setiap kesilapan, biarpun kecil, akan dihukum,” katanya.
Pengalamannya bersama skuad kebangsaan turut mematangkan lagi mutu permainannya di dalam dan luar padang.
Beliau amat bersyukur kerana dipanggil menyertai skuad Piala Asean Hyundai baru-baru ini, biarpun tidak berpeluang beraksi.
“Saya tidak memandang ringan peluang sebegini. Biarpun tidak menyumbang dari segi minit permainan, saya sedia melakukan apa sahaja demi membantu pasukan,” tegasnya.
Jelas sekali, Akram kini berada pada tahap tinggi dalam kerjayanya.
Malah, beliau masih dahagakan lebih banyak kejayaan.
Selain memburu lebih banyak trofi bersama Jurong, beliau turut berhasrat mengukir lebih banyak pencapaian peribadi dalam lipatan kerjayanya.
Beliau ingin cuba sekali lagi untuk menerima pengiktirafan dalam pasukan terbaik SPL, setelah dipertimbangkan untuk anugerah itu pada musim lalu.
Setelah hanya menyarung jersi Singapura sebanyak tiga kali, Akram belum berpuas hati dan ingin menjadi pemain yang selalu disenaraikan dalam skuad kebangsaan.
“Dengan masa yang saya masih ada dalam kerjaya ini, saya perlu mengumpul lebih banyak penampilan bersama skuad kebangsaan.
“Ia penting untuk saya terus beraksi di peringkat saingan sebegitu,” ujarnya.
Tidak boleh dinafikan kejayaan Akram setakat ini ialah hasil semangat juang berterusan Akram.
Di sebalik lonjakan kerjayanya ialah sokongan keluarga padu, termasuk daripada tunangnya.
Cinta terhadap bola sepak dipupuk sejak kecil lagi apabila melihat ayahnya, Azman Mohd, beraksi di kelab Sembawang Rangers di samping bintang seperti Fandi Ahmad.
Malahan, Akram menganggap abangnya Naufal Azman, serta adik kembar, Akmal Azman, sebagai antara pemangkin berusaha mati-matian sepanjang ini.
Akram mengukir senyuman mesra ketika mengenang adik-beradiknya yang rajin turun padang untuk memberi sokongan.
“Hanya saya yang masih beraksi dan saya ingin membanggakan keluarga saya. Saya ingin terus membawa nama keluarga ini dalam dunia bola sepak profesional, mahupun di SPL atau di peringkat nasional,” kata Akram.
Sekilas kerjaya Akram Azman:
- Jan 2021 - Young Lions
- Mei 2022 - Tanjong Pagar United
- Jan 2025 - Lion City Sailors
- Jul 2026 - FC Jurong
