Daripada bermain untuk Tanjong Pagar, kepada menandatangani kontrak beraksi bersama pasukan pendahulu Liga Perdana Singapura (SPL), Lion City Sailors, hingga dipanggil untuk menyertai pasukan kebangsaan, Akram Azman sedang melalui tahun yang mengagumkan setakat ini.
Beliau merupakan antara yang disertakan dalam skuad 22 pemain yang diumumkan oleh Ketua Jurulatih Tsutomu Ogura, yang sedang mengadakan persiapan untuk menghadapi pertandingan kelayakan Piala Asia Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2027 di Arab Saudi.
“Saya sungguh teruja apabila dipilih dan saya tidak sabar untuk mula bermain,” jelas bek kanan berusia 24 tahun itu, yang pernah mewakili pasukan Bawah 23 Tahun Singa.
“Saya sudah lama teringin (bermain untuk pasukan senior Singapura) dan akhirnya masanya sudah tiba bagi saya.”
Selain beliau, terdapat tiga lagi pemain yang akan membuat penampilan pertama mereka untuk pasukan Singa iaitu Rudy Khairullah, Raoul Suhaimi dan Fairuz Fazli.
Skuad itu merupakan gabungan antara pemain muda dengan berpengalaman, dengan Harhys Stewart dan Ilhan Fandi dipanggil semula.
Ogura menekankan bahawa kepentingan mempunyai tenaga baru dan semangat daripada wajah baru seperti Akram, di samping kestabilan yang dibawa oleh pemain berpengalaman.
Persaingan untuk tempat dalam pasukan dijangka sengit, dan Ogura percaya ia akan meningkatkan prestasi pasukan.
“Ia adalah gabungan penting antara pemain muda dengan berpengalaman dalam skuad yang akan membantu skuad meningkat.
“Kami mempunyai wajah baru yang akan datang dengan penuh tenaga dan semangat. Begitu juga dengan pemain yang dipanggil semula, dan mereka akan menambah kestabilan dalam skuad,” kata Ogura.
Pasukan Singa akan berdepan dengan Nepal dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pada 21 Mac, sebelum menentang Hong Kong dalam perlawanan pembukaan Kumpulan C pada 25 Mac.
Kededua perlawanan akan berlangsung di Stadium Negara pada 8.30 malam.
Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mendedahkan bahawa India dan Bangladesh juga berada dalam Kumpulan C, dan hanya juara kumpulan akan layak ke Piala Asia 2027.
Ogura menyatakan keyakinan terhadap skuad, menekankan kepentingan membina prestasi lalu dan berusaha untuk mencipta sejarah dengan melayakkan diri ke Piala Asia.
Singapura berjaya mara ke peringkat separuh akhir pertandingan Piala Mitsubishi Electric Asean Disember 2024.
“Piala ini menyatukan penyokong dengan cara yang memberi inspirasi kepada pemain di atas padang dan benar-benar menyentuh hati saya.
“Pasukan mendapat suntikan semangat besar daripada sorakan penyokong, dan ia memainkan peranan besar dalam perjalanan kami ke separuh akhir... tetapi pertandingan itu sudah berlalu, dan kami mempunyai projek baru,” kata Ogura.
Menurut FAS, Perry Ng, yang beraksi bersama Cardiff City dalam Liga Kejuaraan di England, juga diundang untuk menjalani latihan bersama pasukan di Singapura, selepas sesi pengenalan beliau pada 2024.
Tiket untuk perlawanan menentang Nepal dan Hong Kong boleh dibeli melalui Ticketek dan laman web rasmi FAS.
Senarai pemain
Penjaga Gawang
– Izwan Mahbud
– Rudy Khairullah
– Syazwan Buhari
Pertahanan
– Akram Azman
– Amirul Adli
– Jordan Emaviwe
– Irfan Najeeb
– Raoul Suhaimi
– Safuwan Baharudin
– Ryhan Stewart
– Lionel Tan
– Christopher Van Huizen
Pemain Tengah
– Fairuz Fazli
– Hami Syahin
– Hariss Harun
– Glenn Kweh
– Kyoga Nakamura
– Shah Shahiran
– Harhys Stewart
Penyerang
– Abdul Rasaq Akeem
– Ilhan Fandi
– Shawal Anuar
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg