UDINE (Italy): Juara Eropah Paris Saint-Germain (PSG) menjulang satu lagi piala pada 13 Ogos selepas pasukan itu menewaskan Tottenham Hotspur 4-3 menerusi sepakan penalti dalam Piala Super Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa), selepas berjaya bangkit untuk seri 2-2.
Spurs kelihatan bersedia menunjukkan daya saing mereka dalam perlawanan pertama di bawah jurulatih baru, Thomas Frank, apabila mereka pada mulanya mendahului 2-0 di Stadio Friuli, Udine, Italy.
Micky van de Ven memberikan kelebihan kepada juara Liga Europa musim lalu itu pada minit ke-39, manakala Cristian Romero menjaringkan gol kedua mereka tiga minit selepas separuh masa kedua bermula.
Bagaimanapun, PSG bangkit hasil kemasukan dua pemain gantian, dengan Lee Kang-in yang menjaringkan gol pada minit ke-85, dan Goncalo Ramos menanduk masuk gol penyamaan empat minit sebelum masa kecederaan.
Ini bermakna penentuan dibuat menerusi sepakan penalti yang akhirnya dimenangi PSG, yang merupakan juara Liga Juara-Juara Eropah.
Ini adalah kali pertama PSG menjulang Piala Super dan sekali gus menjadikan jumlah piala yang dimenangi mereka pada 2025 sebanyak lima.
“Saya bangga. Kami tidak mempunyai banyak persiapan tetapi anda boleh lihat bahawa bola sepak bukan saja mengenai aspek fizikal, ia juga mengenai aspek mental, berada di tempat yang betul dan mempunyai taktik yang betul,” kata kapten PSG, Marquinhos.
“Mereka banyak beraksi di belakang selepas mendahului 2-0 dan adalah bahaya untuk mengundang PSG untuk menyerang mereka seperti itu,” tambahnya.
Ini adalah permulaan yang baik bagi kempen baru pasukan Luis Enrique, yang telah memendekkan tempoh rehat di luar musim selepas tewas dalam perlawanan akhir Piala Dunia Kelab Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) kepada Chelsea kira-kira sebulan lalu.
PSG kini akan memulakan kempen baru, Liga 1 Perancis, pada 17 Ogos di tempat lawan di Nantes, manakala Spurs akan mengalihkan perhatian mereka kepada permulaan musim Liga Perdana England (EPL) apabila menentang Burnley di padang sendiri pada 16 Ogos.
“Saya rasa kami bermain perlawanan sangat baik menentang salah satu pasukan terbaik di dunia, mungkin yang terbaik pada masa ini.
“Saya tetap berbangga dengan pasukan, pemain, kelab dan peminat.
“Ia adalah satu pertandingan yang sangat mencabar kerana penentuan dibuat menerusi sepakan penalti,” kata jurulatih Spurs, Frank. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg