Ketua jurulatih Balestier Khalsa, Peter de Roo, akan menerajui pasukan Pilihan Liga Perdana Singapura (SPL), yang terdiri daripada lima pasukan SPL, untuk bersaing dalam Piala Sultan Selangor (SOS) pada 17 Ogos.
Pemilihan ini termasuk empat pemain kelahiran Jepun, dua dari Balestier, Riko Fukashiro dan Kodai Tanaka; serta pasangan BG Tampines Rovers, Kyoga Nakamura dan Shuya Yamashita.
Pasukan Pilihan Singapura Veteran yang terdiri daripada Fandi Ahmad, Malek Awab dan Nazri Nasir juga akan bersaing dalam Piala Veteran.
Senarai pemain Singapura yang akan terlibat pada saingan Piala Sultan Selangor diumumkan di Facebook SPL pada 30 Julai.
Walaupun merupakan pengurus berkelahiran luar negara, Peter de Roo yang berasal dari Belanda, gembira dengan peluang yang diberikan untuk mengurus pasukan SPL bagi Piala Sultan Selangor buat kali pertama.
Beliau akan berusaha membawa pulang piala tersebut selepas pasukan Pilihan Singapura tewas di tangan Selangor di Stadium Shah Alam pada edisi 2019.
“Usaha menentang Selangor di Malaysia adalah sangat istimewa untuk saya secara peribadi.
“Saya melalui masa yang bermakna sewaktu bekerja di Malaysia dan saya sedar pentingnya Stadium Merdeka dalam sejarah bola sepak Malaysia. Kami menantikan cabarannya,” tambah pengurus berusia 54 tahun itu.
Untuk memenangi piala yang kesembilan buat Singapura, de Roo, telah menubuhkan pasukan Pilihan SPL yang mempunyai keseimbangan antara pemain muda dengan yang berpengalaman.
Pemain yang pernah beraksi di Piala Sultan Selangor seperti pasangan BG Tampines Rovers, Syazwan Buhari dan Faris Ramli, diharap dapat membimbing pemain muda yang baru seperti Farhan Zulkifli dan Jared Gallagher di samping empat pemain luar negara.
Farhan, yang juga merupakan kapten Young Lions, teruja dengan penglibatan sulungnya di SOS.
“Ia adalah satu penghormatan untuk mewakili liga dan negara kita dalam perlawanan bersejarah ini.
“Ia akan menjadi satu acara yang hebat, saya teruja melihat bagaimana situasi bola sepak kita dahulu, dengan penyokong Singapura bersorak gembira untuk pasukan Singapura di Stadium Merdeka Kuala Lumpur,” ujarnya.
Di samping itu, skuad Pilihan Singapura Veteran turut diumumkan pada 30 Julai.
Pasukan bintang itu akan menyertakan pemain yang lebih muda seperti Noor Ali dan Aliimran Lomri, serta ikon bola sepak negara dari 1980-an dan 1990-an.
Di bawah pengendalian jurulatih, Ho Kwang Hock, dan pengurus pasukan, Samad Allapitchay, pasukan itu bersedia menghidupkan kembali nostalgia persaingan sengit seberang Tambak antara Singapura dengan Selangor.
Edisi ke-20 Piala Sultan Selangor akan berlangsung pada 17 Ogos 2024 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
SKUAD PILIHAN SPL
Penjaga gol: Syazwan Buhari dan Hafiz Ahmad
Pertahanan: Jordan Emaviwe, Shuya Yamashita, Irfan Najeeb, Harith Kanadi dan Madhu Mohana
Pemain tengah: Farhan Zulkifli, Kyoga Nakamura, Joshua Pereira, Shah Shahiran, Jared Gallagher, Naqiuddin Eunos, Ho Wai Loon, Daniel Goh dan Glen Kweh
Penyerang: Faris Ramli, Taufik Suparno, Riku Fukashiro dan Kodai Tanaka
SKUAD PILIHAN SINGAPURA VETERAN
Penjaga gol: Rezal Hassan
Pertahanan: Razali Saad, Idham Riduan, Nazri Nasir, Syed Farouk, Zulkarnaen Zainal dan Tan Sio Beng
Pemain tengah: E Manimohan, Leong Kok Fann, Rafi Ali, Malek Awab, Steven Tan, Noor Ali, Dalis Supait, Aliimran Lomri, Fahmie Abdullah dan Azhar Baksin
Penyerang: Fandi Ahmad, Tay Peng Kee dan Nahar Daud


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg