Balestier Khalsa bangkit daripada ketinggalan 3-0 dalam separuh masa pertama dan kehilangan pemain menerusi kad merah pada awal separuh masa kedua, untuk seri 4-4 dalam perlawanan menentang Geylang International yang menarik dan penuh debaran di Stadium Jalan Besar.
Geylang tampak selesa pada waktu rehat menerusi dua gol jaringan Tomoyuki Doi pada minit ke-4 dan ke-29 dan Vincent Bezecourt pada minit ke-19.
Keadaan tampak lebih memberangsangkan lagi bagi Geylang setelah pemain pertahanan Balestier, Tajeli Salamat, seolah-olah ‘hilang akal’ dan menyiku pemain midfield Geylang, Naufal Azman. Tajeli pada mulanya hanya dilayangkan kad kuning, namun selepas campur tangan VAR, pemain tersebut dilayangkan kad merah.
Bagaimanapun, insiden tersebut seolah-olah menyemarakkan semangat pemain Balestier, yang berjaya menyamakan kedudukan menerusi gol-gol Kodai Tanaka pada minit ke-60 dan ke-71, dan Ismail Sassi pada minit ke-68.
Namun, Geylang berjaya menjaringkan gol ke-4 menerusi Bezecourt pada minit ke-78. Malangnya, benteng pertahanan Geylang tidak dapat bertahan dan Balestier menjaringkan gol penyamaan Ignatius Ang empat minit kemudian.
Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan, Lion City Sailors (LCS) berpesta gol dengan kemenangan 7-1 ke atas Hougang United.
Keputusan perlawanan pada 28 Julai bermakna LCS kekal di tangga kedua, dengan 25 mata selepas 10 perlawanan, satu mata di belakang pendahulu liga, BG Tampines Rovers. Geylang kekal di tempat ketiga dengan 18 mata dan Balestier di tempat keempat dengan 15 mata.
Dalam perlawanan pada 27 Julai, Tampines mengalahkan juara bertahan, Albirex Nigata (S) 4-2, manakala Young Lions memenangi perlawanan ketiga mereka dalam musim ini, setelah mengalahkan Brunei DPMM 3-1.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg