ATLANTA: Sebaik sahaja wisel terakhir ditiupkan di Stadium Atlanta, lensa kamera terus tertumpu ke arah penjaga gawang Cape Verde, Vozinha.

Air mata mula mengalir di pipi pemain veteran berusia 40 tahun itu saat beliau menyedari makna kejayaan luar biasa pasukannya, yang berjaya mengikat pasukan pilihan Piala Dunia, Sepanyol, seri 0-0.

Keputusan itu menyemarakkan ribuan penyokong Cape Verde, yang memberikan sokongan padu sepanjang 90 minit permainan.

Mereka meraikan kejayaan itu bersama-sama sambil berpelukan, menari dan menikmati keputusan bersejarah itu.

Di padang pula, pemain memeluk satu sama lain dalam kegembiraan, sehingga penyokong berkecuali turut menyertai kehangatan suasana itu.

Ketika menentang juara Eropah, Sepanyol, Vozinha mempamerkan aksi terbaik dalam kerjayanya demi memastikan gawangnya tidak dibolosi, sekali gus menghadiahkan keputusan bersejarah dalam arena sukan negara kecil kepulauan itu.

Asakan bertubi-tubi Sepanyol, termasuk menghasilkan sekitar 31 percubaan, gagal meruntuhkan benteng Cape Verde dengan Vozinha beraksi cemerlang sebagai garisan akhir pasukannya.

Malah, beliau dapat menyelamatkan sekurang-kurangnya tujuh percubaan pasti Sepanyol demi mengecewakan juara Euro 2024 itu.

Kecemerlangan serta keberanian di depan gawang itu menyaksikan Vozinha dinobat Pemain Terbaik pertarungan itu.

Penjaga gawang Cape Verde, Vozinha (kiri), menghalang percubaan bahaya penyerang Sepanyol, Ferran Torres (jersi merah) dalam aksi Kumpulan H Piala Dunia 2026 di Stadium Atlanta pada 16 Jun.
Penjaga gawang Cape Verde, Vozinha (kiri), menghalang percubaan bahaya penyerang Sepanyol, Ferran Torres (jersi merah) dalam aksi Kumpulan H Piala Dunia 2026 di Stadium Atlanta pada 16 Jun. - Foto AFP

“Saya menangis kerana terkenangkan datuk dan nenek saya... saya membesar bersama mereka,” kata Vozinha kepada BBC.

“Malangnya, mereka tiada di sini. Mereka meninggal dunia beberapa tahun lalu. Mereka adalah segala-galanya bagi saya, segala-galanya dalam hidup saya.

“Tangisan ini juga buat ibu saya. Beliau tidak dapat bersama di sini disebabkan masalah visa. Faktor kos yang tinggi untuk urusan visa menyebabkan kami tidak sempat menyelesaikannya tepat pada masanya. Saya amat berharap beliau dapat berada di sini.”

Beliau menambah bahawa perpaduan di kalangan rakan sepasukan merupakan ‘senjata terbaik’ Cape Verde.

“Tidak kira sama ada pemain itu baru menyertai pasukan atau pemain yang sudah mempunyai pengalaman selama 10 atau 15 tahun, cara layani satu sama lain seperti sebuah keluarga adalah kekuatan terbesar kami.

“Ramai menyangka kami datang ke Piala Dunia sekadar untuk berseronok, tetapi tidak.

“Kami sedar kami berdepan pasukan yang kami sentiasa perlu menghormati kerana ini adalah penampilan sulung kami. Namun, kami di sini untuk bersaing dan berjuang demi negara kami,” katanya.

Penjaga gawang Cape Verde, Vozinha (jersi kuning), meraikan kejayaan mengikat gergasi Eropah, Sepanyol, seri 0-0 dalam perlawanan Kumpulan H Piala Dunia 2026 di Stadium Atlanta pada 16 Jun.
Penjaga gawang Cape Verde, Vozinha (jersi kuning), meraikan kejayaan mengikat gergasi Eropah, Sepanyol, seri 0-0 dalam perlawanan Kumpulan H Piala Dunia 2026 di Stadium Atlanta pada 16 Jun. - Foto AFP

Vozinha telah menantikan peluang keemasan ini sejak kecil lagi. Kini, pada usia 40 tahun dan 12 hari, beliau melakar sejarah sebagai antara pemain tertua untuk tampil di pentas Piala Dunia.

Beliau memulakan kerjayanya secara profesional pada 2012, dan pernah dibelenggu rasa ragu-ragu sama ada beliau akan berpeluang beraksi di pentas tertinggi seperti Piala Dunia.

Sama seperti ramai pemain dari Cape Verde, Vozinha berhijrah ke Portugal demi memburu peluang sebelum menimba pengalaman beraksi di Slovakia, Angola, Moldova dan Cyprus.

Kini, penjaga gol veteran itu beraksi mewakili kelab divisyen dua Portugal, Chaves.

Setelah berusaha lebih sedekad, Vozinha akhirnya melakar sejarah untuk diri dan negaranya. – Agensi berita.