Topik diikuti
Pergi ke BHkuSepanyol gagal bukti reputasi sebagai antara pasukan favorit; disekat Cape Verde
Sepanyol gagal bukti reputasi sebagai antara pasukan favorit; disekat Cape Verde
Kecemerlangan penjaga gawang, benteng pertahanan bantu Cape Verde halang Sepanyol, antara kuasa besar bola sepak dunia, daripada raih mata penuh
Sepanyol gagal bukti reputasi sebagai antara pasukan favorit; disekat Cape Verde
Negara ketiga terkecil dari segi jumlah penduduk dalam sejarah Piala Dunia, Cape Verde, melakar salah satu detik bersejarah dalam arena sukan mereka selepas berjaya meraih mata pertama di pentas Piala Dunia 2026 ketika menentang pasukan gergasi bola sepak, Sepanyol.
Cape Verde bermain bermati-matian untuk menyekat juara Eropah itu dengan keputusan seri 0-0 pada 16 Jun, sekali gus menyekat impian skuad Sepanyol yang bertaburan bintang daripada memulakan kempen Piala Dunia ini dengan langkah penuh yakin, sebagaimana yang dijangkakan ramai.
Biarpun melancarkan sekitar 31 percubaan dan menguasai rentak permainan sepanjang perlawanan, Sepanyol gagal menembusi gawang lawan yang dikawal rapi oleh penjaga gol veteran berusia 40 tahun, Vozinha.
Skuad Sepanyol dengan nama julukan La Roja cuba memperhebatkan jentera serangan mereka dengan memasukkan bintang muda sensasi Lamine Yamal.
Ketibaan beliau dalam 20 minit terakhir perlawanan disambut dengan sorakan gemuruh penyokong di stadium.
Bagaimanapun, kubu pertahanan Cape Verde ternyata terlalu sukar untuk ditembusi, dan Sepanyol terpaksa berpuas hati dengan permulaan yang mengecewakan dalam kempen mereka kali ini.
Kesimpulannya, Sepanyol terkial-kial untuk meruntuhkan benteng kukuh Cape Verde secara berkesan.
Barisan pertahanan Cape Verde dibentuk sekurang-kurangnya lima pemain, malah kotak penalti mereka sering kali dipenuhi hampir kesemua pemain pasukan itu.
Mereka menerapkan strategi itu dengan penuh disiplin, sekali gus mengekang asakan bertubi-tubi dari jentera serangan Sepanyol.
Tambahan pula, Cape Verde hanya didenda satu kali dalam 90 minit itu, sekali gus menyerlahkan ketenangan mereka walaupun benteng pertahanan diuji sepanjang perlawanan.
Sekalipun jika bentengnya ditembusi, kecemerlangan Vozinha mengecewakan setiap percubaan barisan pemain berbakat Sepanyol.
Ketangkasannya menyelamatkan sekurang-kurangnya tujuh percubaan bahaya melayakkannya dinobatkan sebagai Pemain Terbaik perlawanan tersebut.
Sudah tentu, prestasi Sepanyol amat mengecewakan, terutama sekali apabila menentang lawan yang sepatutnya diatasi dengan selesa.
Sepanjang perlawanan, Sepanyol kelihatan kebuntuan idea apabila sekadar membuat banyak hantaran di luar kotak penalti lawan – dengan harapan ia dapat mengatasi benteng serta kehebatan Vozinha.
Ternyata La Roja amat terasa kehilangan sentuhan kreatif dan gerakan lincah Lamine Yamal dan Nico Williams, yang kedua-duanya merupakan watak utama di sebalik kehebatan serangan Sepanyol ketika mereka menjuarai Euro 2024.
Mereka berdua bijak dan berani mengemudi situasi satu lawan satu di bahagian sayap, dan memiliki kecekapan menggelecek bola dengan ligat yang sukar dibendung pemain lawan.
Namun, Yamal baru sahaja pulih daripada kecederaan, termasuk di bahagian paha dan kecederaan kejang otot pada April lalu.
Williams juga baru kembali cergas selepas pulih daripada kecederaan, namun prestasi beliau sepanjang musim yang lalu juga didapati kurang memberangsangkan.
Di sebalik itu, ketua jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente, mempertaruhkan Gavi dan Ferran Torres di bahagian sayap.
Rakan sepasukan di Barcelona itu berjaya menghasilkan beberapa asakan bahaya, antaranya percubaan Torres yang terkena palang gol pada minit ke-39.
Namun, gandingan itu tidak mampu memberi Sepanyol kelebihan yang diperlukan.
Percubaan Mikel Oyarzabal dan Marc Cucurella juga gagal memperdayakan Vozinha.
De la Fuente akhirnya memasukkan Yamal pada 20 minit terakhir perlawanan, dan bintang muda itu tidak menunggu lama untuk memberikan impak segera.
Yamal dengan pantas melepasi kawalan benteng Cape Verde di bahagian sayap sebelum melepaskan hantaran lintang tepat yang berjaya menemui Mikel Merino.
Meskipun asakan bahaya itu gagal membuahkan hasil, kehadiran Yamal jelas menyuntik tenaga baharu dan kreativiti ke jentera serangan Sepanyol.
Williams turut dimasukkan pada minit ke-87, namun tidak mempunyai cukup masa untuk memberikan impak yang diharap-harapkan.
Setakat ini, masih terlalu awal untuk meramalkan sama ada juara Eropah 2024 ini mampu mempamerkan aksi yang cemerlang atau tidak bagi kempen Piala Dunia ini.
Sejauh ini ada beberapa pasukan gergasi lain juga gagal menyerlah dan sekadar mampu seri dalam aksi pembukaan masing-masing, termasuk Belanda ketika menentang Jepun, serta Belgium yang disekat Mesir.
Pada masa sama, pasukan gergasi seperti Jerman pula telah menunjukkan taring apabila membelasah pasukan kerdil, Curacao, 7-1.
Lantas, persoalan lazim yang tetap bermain di fikiran – dapatkah Sepanyol bangkit daripada kekecewaan pertarungan pembukaan ini dan membuktikan reputasi mereka sebagai antara pasukan favorit Piala Dunia ini?
KEPUTUSAN PERLAWANAN PADA 16 JUN
Kumpulan H:
Sepanyol lwn Cape Verde 0-0
Arab Saudi lwn Uruguay 1-1
Kumpulan G:
Belgium lwn Mesir 1-1
Iran lwn New Zealand 2-2
