NOTTINGHAM: Nottingham Forest mara ke suku akhir Piala FA selepas menewaskan kelab Liga Perdana England (EPL) Ipswich Town melalui penentuan sepakan penalti.
Perlawanan di City Ground itu berakhir 1-1 selepas masa tambahan.
Selepas sembilan sepakan penalti menembusi gawang, penjaga gol Forest, Matz Sels, berjaya menepis sepakan Jack Taylor dan membawa pasukannya mara dengan kemenangan 5-4.
Forest akan menentang Brighton and Hove Albion di stadium American Express di peringkat suku akhir.
George Hirst memberi Ipswich gol pertama pada separuh masa kedua dengan menjaringkan gol melalui tandukan, tetapi Forest menyamakan kedudukan apabila Ryan Yates menanduk masuk hantaran silang Anthony Elanga.
Percubaan Callum Hudson-Odoi mengenai palang gol tidak lama selepas itu tetapi Ipswich bertahan untuk membawa perlawanan ke masa tambahan 30 minit.
“Perlawanan ini tidak begitu baik, bertarung pada masa tambahan,” kata Sels.
“Saya gembira dapat membantu pasukan (saya) ke pusingan seterusnya. Itu adalah satu-satunya penalti saya berada di sudut yang betul. Saya gembira. Tidak sabar untuk hujung minggu ini.”
Forest akan menentang Manchester City pada 8 Mac dalam Liga Perdana England dalam usaha untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan.
Bagi Ipswich, mereka kembali berdepan dengan realiti untuk mengelakkan penyingkiran. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg