Walaupun setelah berjaya menyelamatkan gol, Zion Suzuki tetap memikirkan apa lagi yang boleh beliau lakukan dengan lebih baik.

Pemikiran itulah yang membawa penjaga gol berusia 24 tahun itu daripada bintang yang menyerlah di Piala Dunia kepada pencipta sejarah dan pemain utama Liga Perdana England (EPL)  dalam hanya enam bulan.

Pemindahannya bernilai €30 juta ($42.8 juta) daripada Parma di Serie A ke Aston Villa pada Ogos menjadikannya penjaga gol Jepun pertama yang beraksi dalam divisyen teratas England.

Penjaga gol nombor satu Jepun itu ialah antara pemain bintang skuad Samurai Blue yang akan beraksi dalam Cabaran Mizuho Blue – Siri Bola Sepak Kallang Singapura.

Beliau percaya dirinya masih jauh daripada sempurna.

Ketika bercakap kepada media selepas sesi latihan Jepun di Stadium Bishan pada 11 November, Suzuki berkata:

“Dari luar, mungkin nampak semuanya berjalan lancar, tetapi... saya menilai semula setiap perlawanan dan mencari jalan untuk memperbaiki diri.

“Saya rasa lebih banyak perkara yang boleh saya baiki. Walaupun dalam keadaan saya berjaya menyelamatkan gol, saya sentiasa mencari apa yang boleh saya buat dengan lebih baik.”

Suzuki lahir di New Jersey kepada bapa berbangsa Ghana dan ibu berbangsa Jepun dan membesar di Urawa, Jepun.

Beliau berkata tumpuannya ialah belajar, bukan memikirkan perkara negatif atau pendapat orang lain, di samping memastikan beliau tidak terlalu keras terhadap diri sendiri. 

“Daripada menumpukan perhatian pada keputusan atau pandangan orang sekeliling, saya cuba mencari apa yang boleh saya pelajari daripada (situasi itu).

“Kadang-kadang saya rasa, kalau saya hanya melihat apa yang tidak berjalan lancar, ia boleh meletihkan dari segi mental,” katanya.

Pandangan itu sudah lama dipegangnya, malah sebelum Piala Dunia.

“Sudah tentu aksi menyelamat itu penting, tetapi yang utama, saya mahu menjadi penjaga gol yang membawa kestabilan kepada pasukan.

“Fokus saya adalah untuk konsisten melakukan perkara asas dengan baik, selain memastikan gawang sentiasa terpelihara daripada dibolosi,” katanya kepada laman web Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) pada Mei.

Berbekalkan mentaliti tersebut, Suzuki mencipta kemajuan pesat dalam kerjayanya.

Beliau memulakan perjalanan bersama Urawa Red Diamonds sebelum berpindah ke Sint-Truiden di Belgium, seterusnya menyertai Parma di Itali. 

Di sana, beliau melakar sejarah sebagai penjaga gol Jepun pertama yang beraksi dalam liga divisyen tertinggi negara itu. 

Persembahannya di Piala Dunia pada Jun dan Julai melayakkannya berpindah ke Villa.

Jepun tersingkir 2-1 di pusingan 32 terbaik oleh Brazil menerusi gol pada waktu kecederaan.

Perpindahan itu menjadikannya pemain Asia pertama di kelab tersebut.

Beliau juga mengagumkan di EPL, bukan sahaja menerusi penyelamatannya, malah jarak hantaran yang luas.

Selepas tujuh perlawanan liga, Suzuki malah mendahului rakan sepasukan dari segi hantaran ke satu pertiga akhir padang.

Bekas penolong jurulatih Jepun, Tsutomu Ogura, menyifatkan sikap Suzuki sebagai faktor besar beliau cepat menyesuaikan diri dengan bola sepak England.

“Beliau mempunyai mentaliti yang luar biasa. Selain kelebihan fizikal sebagai pemain, beliau amat komited dan sangat dipercayai rakan sepasukan dan ini mungkin sebab utama beliau berjaya di EPL,” kata Ogura.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti