Topik diikuti
Pergi ke BHkuJepun yakin atasi mana-mana pasukan pun
Jepun yakin atasi mana-mana pasukan pun
‘Samurai Blue’ miliki skuad berbakat, terus tunjuk peningkatan, tampil sebagai antara pasukan yang mampu catat kejutan besar di Piala Dunia ini
Jepun yakin atasi mana-mana pasukan pun
Jepun akan sentiasa diingati kerana kemenangan sensasi mereka ke atas Jerman dan Sepanyol di Piala Dunia 2022.
Namun, keputusan tersebut sejak itu terbukti jauh lebih daripada sekadar kejutan sekali-sekala.
Di bawah bimbingan ketua jurulatih Hajime Moriyasu, pasukan bergelar Samurai Blue ini terus mencatat kemajuan mengagumkan, berkembang menjadi sebuah pasukan yang mampu bersaing secara konsisten – malah menewaskan beberapa pasukan gergasi di dunia.
Sepanjang hampir lapan tahun menerajui pasukan kebangsaan, Moriyasu telah membentuk sebuah skuad yang tidak lagi mendekati gergasi bola sepak dunia sebagai pasukan bukan pilihan.
Sebaliknya, Jepun kini telah mengukuhkan kedudukan mereka sebagai antara kuasa bola sepak yang sedang meningkat naik, sesuatu yang diperkuatkan lagi menerusi kemenangan perlawanan persahabatan ke atas Brazil pada Oktober lalu, dan England di Stadium Wembley pada Mac.
Beberapa keputusan mutakhir membuktikan bahawa Jepun bukan pasukan yang boleh dipandang ringan, dan tidaklah mengejutkan sekiranya mereka kelak mampu menewaskan Belanda, muncul sebagai juara Kumpulan F, serta mara jauh hingga ke peringkat akhir kejohanan.
Malah, Moriyasu optimis bahawa pasukannya mampu bergelar juara kejohanan tersebut.
“Jika semua warga Jepun bersatu, saya percaya harinya akan tiba untuk kita berdiri di puncak dunia,” katanya.
Di sebalik kebangkitan Jepun, watak paling penting tentunya Moriyasu sendiri.
Sejak mengambil alih Samurai Blue selepas Piala Dunia 2018, Moriyasu membina pasukannya secara berperingkat, mengekalkan keseimbangan antara pengalaman dengan tenaga muda.
Beliau memberi penghormatan kepada pemain senior sambil secara perlahan-lahan mengintegrasikan generasi baharu yang kini menjadi tunjang pasukan.
Pendekatannya yang menitikberatkan keharmonian, disiplin dan kesinambungan berbanding perubahan drastik kadangkala dianggap terlalu konservatif.
Namun, rekod yang dicatat Jepun sejak beberapa tahun kebelakangan ini membuktikan keberkesanan falsafah tersebut dalam mewujudkan sebuah pasukan yang stabil dan mampu bersaing pada tahap tertinggi.
Dengan Piala Dunia semakin hampir, Moriyasu terus memperhalusi pelan besarnya untuk membawa Jepun ke tahap yang belum pernah dicapai sebelum ini.
“Dengan memanfaatkan keupayaan Jepun untuk membina sesuatu secara berterusan serta sifat rakyat Jepun sendiri, saya mahu bola sepak kami mengubah kepercayaan bahawa Jepun tidak boleh menjadi yang terbaik di dunia dalam sukan yang fizikal,” katanya.
Di atas padang, identiti Jepun jelas kelihatan menerusi tekanan tinggi yang agresif dari kawasan serangan.
Pemain seperti Takefusa Kubo, Ritsu Doan, Keito Nakamura dan Junya Ito memainkan peranan penting dalam menekan lawan sebaik kehilangan penguasaan bola, memaksa kesilapan dan mencipta peluang bahaya.
Jentera serangan pula diterajui oleh penyerang Feyenoord, Ayase Ueda, yang muncul pemenang ‘Golden Boot’ musim 2025-26 selepas menjaringkan 25 gol dalam 31 penampilan.
Ketajamannya di depan gol memberikan Jepun ancaman yang konsisten setiap kali mereka melancarkan serangan.
Namun, nadi jentera serangan Jepun adalah Takefusa Kubo.
Beraksi di bahagian sayap kanan, beliau bijak menggelecek dan mempunyai kawalan bola yang luar biasa dan kebolehan mencari ruang yang hampir mustahil dilihat pemain lain.
Digelar sebagai ‘Messi Jepun’ sejak usia muda, Kubo menyertai Real Madrid ketika berusia 18 tahun pada 2019 sebelum mengembangkan kerjayanya bersama Real Sociedad sejak 2022.
Di peringkat antarabangsa, beliau terus menjadi senjata penting buat Samurai Blue.
Dalam perlawanan menentang Bahrain, Kubo mencipta bantuan gol pembukaan sebelum menjaringkan gol yang mengesahkan kelayakan Jepun ke Piala Dunia, sekali lagi membuktikan kemampuannya untuk menyerlah pada saat-saat paling penting.
Walaupun kehilangan Takumi Minamino dan Kaoru Mitoma akibat kecederaan merupakan satu tamparan besar, Jepun tidak lagi bergantung kepada seorang atau dua bintang semata-mata.
Malah ketiadaan pemain tersebut memberikan dorongan tambahan bagi pemain yang dipilih, seperti yang dipamerkan oleh Kubo.
“Saya mahu menggalas harapan Mitoma dan memberikan aksi terbaik dengan rasa tanggungjawab yang lebih mendalam,” kata pemain sayap berusia 25 tahun itu.
Di bahagian tengah pula, Kaishu Sano dijangka menjadi nadi utama pasukan.
Hakikat bahawa pemain berpengalaman seperti Takehiro Tomiyasu dan Wataru Endo kadangkala terpaksa memulakan perlawanan daripada bangku simpanan menjadi bukti bahawa kedalaman skuad Jepun kini berada pada tahap yang belum pernah dilihat sebelum ini.
Kekuatan mereka kini terletak pada kolektif pasukan, sesuatu yang membolehkan mereka terus kekal bersaing meskipun tanpa beberapa tonggak utama.
Dengan gabungan pemain berpengalaman, bakat muda yang semakin matang, kedalaman skuad yang mengagumkan serta seorang jurulatih yang memiliki visi jangka panjang, Jepun tiba ke kejohanan ini bukan sekadar untuk mencipta kejutan.
Mereka hadir dengan keyakinan bahawa mereka mampu bersaing dengan sesiapa sahaja.
Dan jika segala-galanya berjalan mengikut perancangan Moriyasu, dunia mungkin bakal menyaksikan satu lagi sejarah tercipta – kali ini bukan sekadar kemenangan ke atas gergasi bola sepak, tetapi kemunculan Jepun sebagai kuasa sebenar yang mampu berdiri di puncak dunia.
Namun, jika bersandarkan mutu individu, jurang antara barisan pemain Jepun dengan gergasi dunia seperti Perancis, Sepanyol, Portugal, England dan Argentina masih jelas kelihatan.
Walaupun kesatuan pasukan menjadi kekuatan utama Samurai Blue, pasukan elit ini terkenal dengan keupayaan mereka mengesan dan mengeksploitasi sebarang retakan kecil dalam benteng lawan untuk menumbangkan Jepun.
Ramalan wartawan: Jepun bakal kecundang di peringkat suku akhir.
Pasukan di Kumpulan F: Belanda, Jepun, Sweden, Tunisia
Jadual Perlawanan Jepun (waktu Singapura):
15 Jun: Belanda lawan Jepun (4 pagi)
21 Jun: Tunisia lawan Jepun (12 tengah hari )
26 Jun: Jepun lawan Sweden (7 pagi)
