LOS ANGELES: Penjaring gol Iran, Ramin Rezaeian, menegaskan isu ejekan yang berlaku ketika lagu kebangsaan negaranya dimainkan sebelum aksi pembukaan Piala Dunia menentang New Zealand adalah urusan dalaman rakyat Iran dan bukan untuk dibahaskan pihak luar.

Iran seri 2-2 dengan New Zealand dalam perlawanan yang berlangsung di Los Angeles di bawah kawalan keselamatan ketat, susulan kehadiran ramai anggota komuniti Iran-Amerika yang menyuarakan bantahan terhadap kerajaan Iran.

Ketika ditanya mengenai sorakan ejekan dan siulan yang kedengaran semasa lagu kebangsaan Iran dimainkan sebelum sepak mula, Rezaeian memberikan reaksi tegas namun sopan.

“Jika ada sebarang masalah antara kami, itu urusan kami, ia bukan urusan anda.

“Saya menghormati anda, tetapi ini adalah sesuatu antara kami dan kami akan menyelesaikannya sendiri, jangan bimbang,” kata Rezaeian.

Los Angeles, yang sering digelar “Tehrangeles”, menempatkan komuniti etnik Iran terbesar di luar Iran, termasuk mereka yang berhijrah ketika Revolusi Islam 1979 serta keturunan mereka.

Ratusan penunjuk perasaan berhimpun sebelum perlawanan dengan memukul gendang dan melaungkan slogan yang mengkritik pasukan kebangsaan Iran, yang menurut mereka digunakan sebagai alat propaganda Teheran.

Bendera yang digunakan Iran sebelum Revolusi Islam 1979, yang sering dikaitkan dengan kumpulan penunjuk perasaan, turut kelihatan dengan jelas sepanjang perlawanan.

Lagu kebangsaan Iran juga disambut dengan gabungan sorakan dan ejekan daripada penyokong yang hadir.

Bagaimanapun, sepanjang aksi berlangsung, serangan-serangan Iran mendapat sokongan padu daripada sebahagian besar penonton di stadium.

Selepas perlawanan, Rezaeian yang mencatat satu jaringan dan satu bantuan gol enggan mengulas lanjut mengenai kontroversi terbabit.

“Sebenarnya kami berada di sini untuk menjawab soalan berkaitan bola sepak... anda perlu tahu, rakyat saya di Iran sangat hebat, mereka sangat baik.

“Semua orang di dunia kini mengenali rakyat saya,” katanya. – Agensi berita.