SAINT-ETIENNE: Pengurus Argentina, Javier Mascherano, menyifatkan keadaan huru-hara pada akhir perlawanan antara Argentina dengan Maghribi dalam kejohanan bola sepak Olimpik lelaki sebagai “memalukan” dan “sebuah sarkas”.
Argentina tewas 1-2 kepada Maghribi dalam perlawanan tersebut.
Kekecohan yang ditimbulkan penonton di stadium memaksa perlawanan bola sepak pertama Paris 2024 itu digantung hampir dua jam. Ia berakhir dengan stadium itu ketiadaan penonton.
Dengan Maghribi mendahului 2-1, Argentina menyangka bahawa mereka berjaya menyamakan kedudukan 16 minit dalam masa kecederaan separuh masa kedua.
Namun, gol tersebut mencetuskan balingan botol ke padang dan beberapa penyokong Maghribi menceroboh padang.
Pengadil mengetuai kededua pasukan meninggalkan padang pada 11:05 malam (waktu Singapura), dengan perlawanan disambung pada 1 pagi selepas peminat meninggalkan Stade Geoffroy-Guichard di Saint-Etienne.
Sejurus sebelum perlawanan dimulakan semula, gol penyamaan Argentina dibatalkan oleh penolong pengadil video (VAR) kerana ofsaid.
“Saya baru sahaja menjadi pengurus, tetapi dalam kerjaya saya sebagai pemain, saya tidak pernah melihat situasi seperti itu,” kata Mascherano, yang memenangi emas Olimpik bersama Argentina pada 2004 dan 2008.
“Ia bagai sarkas. Tetapi begitulah keadaannya, kami tidak boleh mengawalnya. Saya memberitahu pemain, mulai sekarang kita perlu melihat ke hadapan dan cuba mendapatkan enam mata untuk membolehkan kita melayakkan diri (ke pusingan seterusnya).”
Buat tempoh yang lama, keputusan perlawanan itu tidak jelas, dengan laman web rasmi Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menyatakan ia telah berakhir.
Mascherano berkata kapten kededua pasukan pada mulanya “memutuskan untuk tidak meneruskan permainan” dan penganjur “memanggil Fifa” (Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa) sebelum memutuskan untuk meneruskan semula perlawanan.
“Adalah memalukan ini berlaku dan ia merosakkan kejohanan ini. Ia tidak sama sekali akan berlaku dalam kejohanan kejiranan. Ia menyedihkan.
“Selain semangat kejohanan Olimpik, perancangan perlu mencapai standard... Malangnya, ia tidak memuaskan,” tambah Mascherano.
Mengulas mengenai insiden itu, penganjur kejohanan berkata: “Perlawanan bola sepak antara Argentina dengan Maghribi di Stadium Saint-Etienne digantung kerana pencerobohan padang oleh sebilangan kecil penonton.
“Perlawanan kemudian dimulakan semula dan berakhir dengan selamat. Paris 2024 sedang bekerjasama dengan pihak berkepentingan yang relevan untuk menyiasat punca dan mengenal pasti tindakan sewajarnya.”
Argentina dijadual menentang Iraq dalam perlawanan kedua mereka pada 27 Julai di Lyon, manakala Maghribi akan berdepan Ukraine di Saint-Etienne pada hari yang sama. – Agensi berita.
“
“Saya baru sahaja menjadi pengurus, tetapi dalam kerjaya saya sebagai pemain, saya tidak pernah melihat situasi seperti itu. Ia bagai sarkas... Adalah memalukan ini berlaku dan ia merosakkan kejohanan ini.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg