Bagi seorang pemain bola sepak, tidak mudah untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh seorang legenda kelab.
Justeru, mulai minggu ini, pemain penyerang sayap asal Serbia, Luka Adzic, akan berusaha membuktikan bahawa beliau adalah pengganti yang layak bagi bintang asal Belgium, Maxime Lestienne, yang meninggalkan Lion City Sailors pada Disember.
Ini akan dapat dilihat menerusi keupayaan beliau menjaringkan gol dan memberi bantuan menjaringkan gol (assist).
Situasi itu bertambah mencabar kerana pemain berusia 27 tahun itu dijangka membuat penampilan sulungnya dalam final Piala Singapura menentang BG Tampines Rovers di Stadium Jalan Besar pada 10 Januari, lapor The Straits Times (ST).
“Saya tidak rasa kami jenis pemain yang sama, tetapi saya tidak rasa tertekan,” kata Adzic yang kekal tenang.
“Maxime (Lestienne) seorang pemain yang cemerlang. Saya kenal beliau dari Belgium, beliau telah meninggalkan kesan yang besar di kelab ini, dan saya kesal kerana tidak berpeluang bermain bersamanya.
“Ya, perlawanan pertama saya adalah di peringkat final, tetapi saya tidak rasa tertekan. Saya baru tiba, dan akan lakukan yang terbaik untuk bantu pasukan memenangi perlawanan ini kerana saya mahu penampilan sulung saya diingati dengan kejayaan merangkul piala.
“Lama-kelamaan, saya akan jadi versi terbaik diri saya,” tambahnya.
Sebagai penyerang yang cekap bermain di posisi sayap kiri mahupun sebagai pengatur serangan, Adzic sebelum ini bermain untuk Bangkok United.
Beliau membantu kelab itu menamatkan saingan Liga Thai 1 musim lalu di tempat kedua, hanya satu mata di belakang juara, Buriram United.
Dilahirkan di Belgrade, ibu kota Serbia, Adzic menyertai kelab setempat, Red Star, pada usia enam tahun dan mengharungi akademi bola sepak hingga ke pasukan utama, sebelum memenangi SuperLiga Serbia pada 2018.
Beliau kemudian beraksi di Belgium (Anderlecht), Belanda (FC Emmen dan PEC Zwolle) dan Turkey (Ankaragucu) sebelum kembali ke negara asalnya untuk bermain bagi Cukaricki dari 2022 hingga 2024, sebelum berhijrah ke Thailand.
Adzic berdepan tugas dan tekanan berat sebagai pengganti Lestienne yang mempunyai rekod mengagumkan – iaitu 70 gol dan 97 bantuan gol dalam 131 perlawanan, serta membantu Sailors memenangi satu kejuaraan Liga Perdana Singapura (SPL), dua Piala Singapura, serta mara ke final Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2 (ACL2).
Walaupun rekod Adzic sebanyak enam gol dan tiga bantuan gol dalam 43 perlawanan bersama Bangkok United jauh ketinggalan, beliau pernah meninggalkan kesan kepada Sailors dalam perlawanan kumpulan ACL2 pada November 2025.
Beliau menjaringkan gol kemenangan dalam perlawanan, 2-1, di Stadium Bishan, yang memastikan pasukan Thailand mara ke peringkat kalah mati, sekali gus menyingkirkan pasukan Singapura itu.
Jurulatih Sailors, Aleksandar Rankovic, berkata: “Luka adalah pemain yang memberikan sesuatu yang berbeza di posisi sayap – beliau sangat kuat dalam situasi satu lawan satu, tangkas dalam ruang sempit, serta mampu menjaringkan gol dan membuka peluang bagi jaringan gol.
“Gaya permainan beliau selari dengan falsafah kelab, dan saya yakin beliau akan cemerlang di sini.”
Difahamkan bahawa Sailors pernah menunjukkan minat untuk menandatangani Adzic pada 2024.
Kini, selepas berjaya mendapatkan pemain itu dengan kontrak sehingga hujung musim, mereka berharap beliau mampu mencapai kejayaan seperti rakan sepasukan lamanya di Bangkok, Richairo Zivkovic, yang menjaringkan 15 gol dan tiga bantuan gol dalam 19 perlawanan bagi Sailors pada 2023.
“Dua tahun lalu, saya tidak begitu mengenali Sailors atau bola sepak Asia. Namun, apabila saya tiba di Asia, Richairo memberitahu saya banyak perkara baik tentang kelab ini dan ia banyak membantu saya membuat keputusan dengan pantas.
“Saya telah bermain menentang Sailors dua kali musim ini dan saya kenal pemainnya, yang sangat penting buat permulaan.
“Ya, saya pernah menjaringkan gol menentang Sailors, tetapi sekarang saya sangat gembira kerana berpeluang berjuang untuk merangkul kejuaraan (bagi Sailors), kerana ini adalah kelab terbaik di Singapura.
“Saya harap kami dapat memenangi semua kejohanan pada penghujung musim,” ujar Adzic.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg