Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penyerang import baru bantu Sailors bangkit dari kelesuan

Kebolehan Anderson Lopes jaringkan gol sama ada menerusi tandukan mahupun rembatan terbukti menjadi senjata berharga bagi Sailors
Oct 2, 2025 | 4:16 PM
Lion City Sailors, Anderson Lopes
Penyerang Lion City Sailors, Anderson Lopes (tengah), meraikan jaringan pertamanya menentang Selangor di perlawanan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) di Stadium Bishan pada 1 Oktober. Beliau yakin telah menyesuaikan diri dengan bola sepak di Singapura, dan berhasrat menjaringkan lebih banyak gol. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Selepas permulaan musim yang hambar dan mengecewakan, Lion City Sailors yang kita kenali akhirnya kembali menunjukkan taring mereka.

Menentang Selangor, mereka mempamerkan kehebatan dan ketajaman serangan dalam memanfaatkan peluang di depan gol.

“Sailors mempunyai penyerang yang sangat hebat, apabila kami lakukan satu kesilapan, ia membawa padah kepada kami,” kata Jurulatih Selangor, Christophe Gamel, selepas perlawanan mereka pada 1 Oktober.

Walaupun tempoh pramusim yang singkat dan skuad yang tipis pada awalnya dilihat sebagai alasan bagi kelab sebesar ini, kini semakin jelas bahawa cabaran-cabaran itu memang memberi kesan.

Namun pasukan kendalian Alexander Rankovic mula menemui rentak mereka semula.

Antara sebab kebangkitan Sailors adalah kemunculan rentak jaringan penyerang import baru mereka dari Brazil, Anderson Lopes.

Jaringan beliau menentang Selangor boleh dikatakan gol-gol ‘biasa’ tetapi ia mempamerkan naluri seorang penyerang.

Bagi gol pertamanya, beliau bertindak pantas untuk menanduk masuk hantaran Maxime Lestienne.

Lopes juga menunjukkan beliau mempunyai nasib seorang penyerang untuk gol keduanya, apabila percubaan pemain sayap Sailors Bart Ramselaar dihalang pemain pertahanan Selangor tetapi bola jatuh di bawah kawalannya.

Beliau kemudian melepasi penjaga gawang Selangor, Kalamullah Al Hafiz, sebelum menggandakan kelebihan Sailors.

Lopes melengkapkan hatriknya dengan menyambut hantaran pemain tengah Tsiy Ndenge sebelum menjaringkan gol jarak dekat.

Akhirnya, beliau menyempurnakan kemenangan Sailors dengan jaringan keempatnya, di mana Lopes temui ruang di antara barisan pertahanan Selangor semasa serangan balas Sailors.

Apabila Bart mengumpan bola kepada Lopes, penyerang berbisa itu dengan tenang mengungkit bola melepasi penjaga gawang Selangor untuk menjaringkan gol keempatnya.

Kebolehan beliau menjaringkan gol sama ada menerusi tandukan mahupun rembatan terbukti menjadi senjata berharga bagi Sailors.

Bagi Rankovic, ia hanya soal masa sebelum penyerang barunya mula meledakkan gol.

“Secara jujurnya setiap pemain asing yang datang ke Sailors sejauh ini memerlukan masa untuk sesuaikan diri, tetapi kami tahu bahawa beliau pemain yang handal,” kata jurulatih berusia 47 tahun itu.

“Sekarang kami mempunyai dua atau tiga penyerang yang bersaing dan perkara ini akan mendorong mereka untuk lakukan yang terbaik.”

Lopes pula menyatakan bahawa beliau telah menyesuaikan diri dan menantikan untuk menjaringkan lebih banyak gol bagi perlawanan-perlawanan akan datang.

Kini, beliau mempunyai enam jaringan dalam hanya dua perlawanan.

Pemain sayap Lion City Sailors, Bart Ramselaar (tengah) bergabung baik dengan bek kiri mereka, Diogo Costa (kanan) untuk kekal mengancam barisan pertahanan Selangor.
Pemain sayap Lion City Sailors, Bart Ramselaar (tengah) bergabung baik dengan bek kiri mereka, Diogo Costa (kanan) untuk kekal mengancam barisan pertahanan Selangor. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Walaupun Lopes mencuri tumpuan dengan menjaringkan gol, pemain sayap lincah Sailors, Bart tidak kurang menyerlah.

Beliau sering menjadi duri bagi pasukan kendalian Gamel dengan gerakan bijak, gabungan hebat dengan rakan sepasukannya dan juga kelincahan beliau menggelecek pemain-pemain Selangor.

Pemain sayap berusia 29 tahun itu mengancam Selangor sepanjang perlawanan dengan hantaran dan larian hebatnya.

Bart bergabung baik dengan bek kiri Sailors, Diogo Costa, untuk melepasi barisan pertahanan Selangor yang membawa kepada jaringan pertama perlawanan.

Keinginan beliau untuk menjaringkan gol sendiri juga membawa kepada gol kedua perlawanan.

Beliau juga tidak lelah melancarkan serangan balas bertubi-tubi yang akhirnya membuahkan hasil apabila Lopes berjaya menjaringkan gol keempat Sailors untuk melengkapkan kemenangan mereka.

Prestasi Sailors menentang Selangor membuktikan pemain-pemain baru mereka seperti Lopes dan Ndenge berjaya memperkukuhkan skuad Sailors yang sudah mempunyai bintang-bintang seperti Bart, Bailey Wright dan lain-lain lagi.

Jikalau mereka boleh kekalkan prestasi dan persembahan yang mereka hasilkan menentang Selangor, mereka mungkin mampu untuk mengulangi kejayaan musim lalu di mana mereka dapat melangkah ke peringkat final Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg