Daripada menangis kerana terlepas peluang akibat kecederaan, kepada mengalirkan air mata kegembiraan apabila impian akhirnya menjadi kenyataan.

Itulah perjalanan yang dilalui penyerang muda Ayden Naim Fakhry Fazrul Nawaz sebelum akhirnya diumumkan sebagai penerima Biasiswa Bola Sepak Luar Negara Unleash The Roar! (UTR!), yang akan menyaksikannya melanjutkan pelajaran serta latihan bola sepak di King’s College, Sepanyol, selama setahun.

Dua tahun lalu (2024), impian Naim untuk meraih biasiswa berkenaan hampir berkecai apabila kecederaan serius – ibu jari kaki kirinya patah – memaksanya menarik diri daripada proses pemilihan.

Ketika itu, dia hanya mampu menerima hakikat bahawa peluang yang diidamkannya sejak di menengah satu terpaksa dilepaskan.

Namun, daripada sekadar mengenang nasib, dia memilih untuk fokus kepada pemulihan dan terus berusaha gigih hingga peluang emas itu kembali menjelma.

“Selepas pulih, saya cuma fokus pada apa yang ada di depan saya dan terus bekerja keras bersama pasukan. Alhamdulillah, satu atau dua tahun kemudian, saya akhirnya dapat peluang ini,” kata penyerang berusia 15 tahun itu.

Saat menerima berita bahawa dia terpilih, Naim mengakui dirinya seolah-olah tidak percaya.

“Minda saya kosong sekejap. Saya terus telefon ibu dan adik-beradik saya. Saya menangis sedikit sebab saya rasa segala kerja keras selama ini akhirnya berbaloi,” ceritanya.

Sokongan keluarganya menjadi antara kekuatan terbesar sepanjang perjalanan itu.

“Mereka tahu berapa banyak masa yang saya korbankan. Saya boleh sahaja duduk di rumah bermain permainan video atau ponteng latihan, tetapi saya memilih untuk terus berlatih dan memberikan 100 peratus setiap kali,” kata pemain Sekolah Sukan Singapura (SSP) dan Pusat Pembangunan Nasional (NDC) itu.

Komitmen dan etika kerja penyerang muda itu jelas terserlah di atas padang.

Pemain itu disifatkan sebagai seorang yang berdisiplin tinggi, mudah menerima teguran, serta sentiasa meletakkan standard tinggi untuk dirinya dan rakan sepasukan.

Walaupun dia menentang pemain yang setahun lebih tua daripadanya, penyerang Pusat Pembangunan Nasional (NDC), Ayden Naim Fakhry Fazrul Nawaz (tengah),  tidak gentar mengharungi cabaran tersebut bermain di Liga Belia Singapura (SYL).
Walaupun dia menentang pemain yang setahun lebih tua daripadanya, penyerang Pusat Pembangunan Nasional (NDC), Ayden Naim Fakhry Fazrul Nawaz (tengah), tidak gentar mengharungi cabaran tersebut bermain di Liga Belia Singapura (SYL). - Foto UTR!

Walaupun beraksi menentang pemain yang lebih tua setahun daripadanya, Naim muncul penjaring terbanyak Liga Belia Singapura Bawah 15 Tahun (SYL B-15) dengan 10 gol musim lalu.

Namun di Sepanyol nanti, Naim sedar dia bakal berdepan cabaran yang jauh lebih besar.

Selain perlu menyesuaikan diri dengan budaya, bahasa dan sistem baharu, dia juga bakal bersaing dengan pemain muda Eropah yang lebih besar dan lebih pantas.

“Saya mahu buktikan pemain Asia juga mampu bersaing dengan mereka.

“Mereka mungkin lebih besar dan lebih kuat, jadi saya perlu berfikir lebih pantas, membuat keputusan lebih cepat dan meningkatkan kelajuan mental saya,” katanya.

Dia juga berazam memanfaatkan sepenuhnya peluang berlatih di negara yang terkenal dengan pembangunan pemain muda bertaraf dunia.

“Sepanyol terkenal dengan pemain yang mempunyai kemahiran teknikal yang tinggi.

“Saya mahu belajar daripada pemain lebih baik daripada saya. Kalau saya nampak mereka melakukan sesuatu dengan baik, saya akan bertanya dan belajar daripada mereka.

“Harapan saya ialah membawa pulang ilmu itu ke Singapura dan memberi inspirasi kepada lebih ramai pemain muda di sini,” tambahnya.

Sebagai anak kepada bekas penyerang kebangsaan, Fazrul Nawaz, Naim mengakui dia sering dibandingkan dengan bapanya.

Malah, ada menganggap peluang diterimanya hari ini hadir kerana nama bapanya. Namun, dia menolak tanggapan tersebut.

“Semua ini hasil kerja keras saya sendiri. Kerjaya ayah saya sudah berakhir, sekarang giliran saya membina kerjaya sendiri,” tegasnya.

Ayahnya Fazrul sendiri, katanya, sentiasa mengingatkannya supaya kekal merendah hati dan menghargai peluang yang diterima.

Naim juga mempunyai impian untuk beraksi di peringkat tertinggi suatu hari nanti.

“Dalam tempoh 10 tahun lagi, saya harap dapat mewakili Singapura, bermain bola sepak di peringkat tinggi dan terus menjadi seorang yang merendah hati, bekerja keras dan menghormati orang lain.

“Saya mahu menjadi versi terbaik diri saya, dan kalau boleh menjadi pemain yang lebih baik daripada ayah saya,” katanya.