Ikhsan Fandi bakal menjadi pemain Singa kelahiran Singapura pertama yang beraksi di liga Jepun selepas menandatangani kontrak setahun dengan pasukan divisyen tiga (J3), Thespa Gunma.

Pada 7 Julai, Ikhsan mengesahkan pemergiannya daripada pasukan Thailand, BG Pathum United, yang membantu memudahkan penghijrahannya. Beliau meluahkan rasa terima kasih kepada kelab serta peminat menerusi satu hantaran Instagram.

Pemain berusia 27 tahun itu memberitahu The Straits Times (ST): “Ini adalah masa dalam kerjaya saya di mana saya rasa perlu untuk mencabar diri saya dengan lebih jauh lagi.

“Saya mahu naik untuk bermain di peringkat lebih tinggi di J1 atau J2, jadi ini peluang untuk saya berusaha mencapainya.

“Penting untuk terus meningkatkan diri, dan bermain di luar negara dalam persekitaran yang intensif dan kompetitif seperti Jepun bersama pemain berkaliber lebih tinggi akan membantu saya mencapai matlamat itu. Ini juga akan membantu saya bersedia dengan baik untuk Piala Asia.”

Ditubuhkan pada 1995 sebagai Liaison Kusatsu Football Club, kelab itu hanya mengambil masa 10 tahun untuk dinaikkan taraf ke Liga J2.

Selepas tamat di kedudukan akhir pada 2017, mereka disingkirkan ke divisyen tiga. Namun mereka bangkit semula untuk satu lagi tempoh di J2 dari 2020 hingga 2023, sebelum jatuh ke J3 pada musim 2025 di mana mereka tamat di kedudukan ke-14 daripada 20 pasukan.

Selain pemain tempatan mereka, termasuk pemain tengah berusia 35 tahun, Koki Kazama – abang kepada pemain tengah Tampines Rovers, Koya Kazama – mereka turut mempunyai beberapa pemain Korea Selatan.

Ikhsan merupakan pemain kelahiran tempatan Singapura kedua yang menyertai J-League, mengikut jejak Anders Aplin, yang pernah bermain untuk pasukan Liga J2, Matsumoto Yamaga, secara pinjaman daripada Geylang International pada 2018, tetapi akhirnya tidak mendapat sebarang peluang bermain.

Pemain tengah Lions, Kyoga Nakamura, pernah berkhidmat dengan pelbagai kelab Jepun sebelum berpindah ke Liga Perdana Singapura pada 2019 dan menjadi warga Singapura pada 2024.

Ikhsan memberitahu ST beliau tiba pada 4 Julai di Gunma, sebuah wilayah yang terkenal dengan kolam air panas dan kawasan ski, kira-kira sejam perjalanan menaiki keretapi laju dari Tokyo, dan telah menyertai beberapa sesi latihan ringan.

“Di Jepun, sangat sedikit penggunaan bahasa Inggeris, jadi saya akan bergantung pada bantuan jurubahasa dan rakan sepasukan yang boleh bertutur dalam bahasa Inggeris buat masa ini, sementara saya mencari tutor bahasa,” katanya.

“Saya perlu keluar daripada zon selesa saya selepas lima tahun berada di Thailand, tetapi saya pernah mengharungi Sepanyol, Chile dan Norway, jadi ini terasa seperti pengalaman serupa sekali lagi. Ia akan mengambil masa untuk menyesuaikan diri, tetapi ia juga baik untuk saya benar-benar fokus dan menumpukan perhatian,” tambahnya.