Topik diikuti
Pergi ke BHkuLee sambut ujian China; Ikhsan, Ilhan tekankan standard lebih tinggi jelang Piala Asia
Lee sambut ujian China; Ikhsan, Ilhan tekankan standard lebih tinggi jelang Piala Asia
Perlawanan persahabatan juga dianggap sebahagian persiapan bagi Piala Asia
Lee sambut ujian China; Ikhsan, Ilhan tekankan standard lebih tinggi jelang Piala Asia
Bagi ketua jurulatih Singa, Gavin Lee, perlawanan persahabatan menentang China pada 5 Jun dianggap sebagai peluang penting untuk pemainnya menyesuaikan diri dengan intensiti dan mutu pihak lawan yang bakal mereka hadapi dalam kejohanan akan datang.
Perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Jalan Besar itu juga sebahagian daripada persiapan bagi cabaran besar Piala Asia, yang disifatkan sebagai matlamat utama bagi Singapura.
“Kami teruja untuk perlawanan esok (5 Jun) kerana inilah jenis lawan yang kami mahu hadapi. Mereka akan memaksa kami mencapai had kemampuan kami,” kata Lee.
Bercakap kepada media pada 4 Jun bagi sidang media praperlawanan, Lee berkata walaupun pasukannya mencatatkan kemenangan meyakinkan ke atas Mongolia pada 31 Mei, beliau menjelaskan bahawa konteks perlawanan akan datang ini adalah berbeza.
Ini memandangkan China merupakan sebuah pasukan yang berada dalam kedudukan 100 terbaik Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).
Penyerang Singa, Ilhan Fandi, juga menantikan peluang untuk berdepan dengan pasukan sehebat China.
“Mereka dikenali sebagai pasukan yang kerap layak ke Piala Asia, jadi saya rasa ini akan menjadi ujian baik buat kami, dan kami amat teruja dapat bermain menentang lawan yang kuat,” katanya.
“Apa pun, kami tetap menghormati mereka, tetapi fokus utama adalah untuk melaksanakan tugas dengan cemerlang.”
Selain aspek taktikal, Lee turut menegaskan bahawa satu lagi objektif utama pasukannya adalah dari sudut mental.
Beliau mahu melihat bagaimana para pemain bertindak balas apabila berdepan detik sukar sepanjang 90 minit permainan.
Mengimbas perlawanan terdahulu menentang pasukan lebih kuat, beliau berkata cabaran sebenar bukan sekadar bertahan daripada tekanan lawan, tetapi mengekalkan ketenangan apabila berdepan situasi yang tidak memihak kepada mereka.
“Cabarannya ialah sama ada kami boleh kekal tenang dan teruskan bermain, walau apa pun yang berlaku,” katanya.
Walaupun beberapa kejohanan seperti Piala Asean Hyundai dan Piala Asean Fifa bakal berlangsung, Lee menegaskan bahawa fokus utama pasukannya ketika ini hanyalah perlawanan menentang China.
“Kami tidak akan hilang fokus terhadap apa yang berada di hadapan kami sekarang. Dan sekarang, apa yang berada di hadapan kami ialah China,” katanya.
Seorang lagi penyerang Singa, Ikhsan Fandi, turut berkongsi pandangan sama mengenai pentingnya perlawanan ini.
Pemain yang pernah berdepan China dalam aksi kelayakan Piala Dunia pada 2024 itu menyifatkan lawan mereka sebagai pasukan yang memiliki kekuatan fizikal tinggi serta tidak mudah menyerah.
“China merupakan pasukan yang sangat kuat secara fizikal. Mereka banyak berlari dan bermain secara agresif. Kami perlu bersedia untuk itu,” kata Ikhsan.
Namun beliau percaya skuad Singapura kini berada dalam keadaan berbeza berbanding beberapa tahun lalu, terutamanya selepas berjaya mengesahkan tempat ke Piala Asia.
Menurut Ikhsan, pencapaian tersebut telah mengubah mentaliti keseluruhan pasukan itu, dengan setiap pemain kini meletakkan standard lebih tinggi terhadap diri sendiri.
“Saya rasa semua pemain yang dipanggil kini meletakkan standard lebih tinggi untuk diri mereka sendiri dan cuba menjadi lebih baik setiap hari,” katanya.
Beliau menambah bahawa pemain kini lebih profesional, lebih bertanggungjawab dan lebih memahami harapan yang datang bersama jersi kebangsaan.
“Pemain kini lebih serius dan mereka faham tanggungjawab yang berada di atas bahu mereka,” katanya.
Ikhsan juga menegaskan bahawa tiada ruang untuk mengambil mudah perlawanan persahabatan itu kerana peluang untuk skuad tersebut berkumpul semakin terhad menjelang kejohanan penting yang bakal tiba.
“Setiap perlawanan adalah penting. Kami perlu memanfaatkan masa yang ada. Jangan bazirkan sesi latihan dan jangan bazirkan perlawanan kerana semuanya penting sebagai persediaan menuju Piala Asia,” tambahnya.
