MADRID: Ketika majlis pengebumian pemain bola sepak, mendiang Jesus de Miguel, diadakan pada 5 November, keluarganya meluahkan bahawa de Miguel telah meninggalkan pengaruh yang besar kepada kehidupan ramai orang dan mendiang akan sentiasa dalam ingatan mereka semua.

Penyerang Tenerife berusia 30 tahun itu meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah ketika beraksi dalam perlawanan divisyen dua Sepanyol pada 2 November.

Susulan pertembungan dengan penjaga gol FC Andorra, Jesus Owono, De Miguel terbaring kaku di atas padang ketika menerima rawatan daripada pasukan perubatan sebelum dikejarkan ke hospital.

Beliau menghembuskan nafas terakhir di hospital pada 3 petang, 3 November waktu Singapura.

Owono dilayangkan kad merah atas kekasaran berkenaan dan perlawanan tersebut dihentikan.

Upacara pengebumian De Miguel diadakan di kampung halaman ibu bapanya di Navahermosa, Toledo, kira-kira 125 kilometer dari ibu negara Sepanyol, Madrid.

Rakan sepasukan Tenerife mengusung keranda beliau sebelum upacara pengebumian bermula di San Miguel Arcangel.

Jurulatih skuad kebangsaan Sepanyol, Luis de la Fuente, antara yang hadir memberi penghormatan terakhir, bersama Presiden Real Madrid, Florentino Perez; Ketua Eksekutif Atletico Madrid, Miguel Angel Gil Marin; serta bekas pengurus Real Madrid dan Sepanyol, Jose Antonio Camacho.

Ejen De Miguel, Manuel Hernandez, mengeluarkan kenyataan bagi pihak keluarga yang antaranya merakamkan penghargaan kepada orang ramai atas sokongan mereka ketika tempoh sukar ini, serta memohon agar privasi keluarga mendiang dihormati.

“Terima kasih kerana menyayanginya, mengingatinya dan berada di sisi kami.

“Tiada kata-kata yang mampu menggambarkan rasa penghargaan kami atas setiap mesej, panggilan telefon dan tanda sokongan yang kami terima.

“Rasa kasih yang mendalam ditujukan kepada Jesus (de Miguel) dan melihat kesan yang ditinggalkannya kepada begitu ramai orang adalah sesuatu yang akan sentiasa kami semat dalam ingatan.

“Pemergian Jesus meninggalkan kekosongan yang mustahil untuk diisi, namun beliau turut meninggalkan kenangan yang begitu bermakna buat kami semua yang bertuah dapat berkongsi hidup bersamanya,” kata Hernandez.

Pelbagai pihak turut melahirkan penghormatan terakhir buat De Miguel – yang menyertai Tenerife pada musim panas 2025 – termasuk bertafakur selama seminit sebelum aksi bermula pada semua perlawanan Eropah minggu ini. 

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan kelab Andorra pada 4 November, penjaga gol Owono meluahkan bahawa beliau kini melalui saat-saat paling sukar dalam hidupnya. 

Beberapa jam selepas berita kematian itu diumumkan, orang ramai meletakkan kalungan bunga dan menyalakan lilin di bawah potret hitam putih De Miguel di Stadium Heliodoro Rodriguez Lopez yang merupakan lokasi terakhir penyerang Tenerife itu beraksi.

Kesatuan Pemain Bola Sepak Sepanyol (AFE) pada 5 November mengemukakan permohonan agar semua perlawanan hujung minggu ini ditangguhkan sebagai tanda penghormatan buat De Miguel. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti