Topik diikuti
Pergi ke BHku4 maut termasuk sesak nafas ketika sambut kemenangan Mexico di Piala Dunia
4 maut termasuk sesak nafas ketika sambut kemenangan Mexico di Piala Dunia
4 maut termasuk sesak nafas ketika sambut kemenangan Mexico di Piala Dunia
MEXICO CITY: Tiga individu termasuk seorang wanita berusia 19 tahun maut akibat sesak nafas ketika sambutan besar-besaran kemenangan pasukan Mexico dalam Piala Dunia di ibu negara Mexico pada malam 30 Jun.
Pihak berkuasa kesihatan Mexico City memaklumkan mangsa lain ialah seorang wanita berusia 48 tahun dan lelaki berusia 44 tahun yang ditemui tidak sedarkan diri di beberapa lokasi berhampiran kawasan sambutan di Paseo de la Reforma.
Pemerintah bandar raya itu kemudian turut mengesahkan seorang lelaki berusia 30 tahun meninggal dunia akibat serangan sawan ketika kekecohan berlaku.
Insiden berlaku selepas lebih sejuta penyokong bola sepak membanjiri jalan raya sekitar Tugu Angel of Independence bagi meraikan kemenangan Mexico 2-0 ke atas Ecuador di Stadium Azteca yang melayakkan pasukan itu ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia.
Kemenangan itu merupakan kejayaan pertama Mexico mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia sejak 1986.
Presiden Mexico, Cik Claudia Sheinbaum, menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
“Kami menyampaikan solidariti dan sokongan kepada keluarga mangsa,” katanya.
Datuk Bandar Mexico City, Cik Clara Brugada, turut menzahirkan rasa sedih terhadap kejadian itu dan menggesa orang ramai meraikan kemenangan secara bertanggungjawab.
“Saya mengucapkan takziah paling ikhlas kepada keluarga mangsa,” katanya dalam kenyataan.
“Raikanlah dengan penuh tanggungjawab, berhati-hati dan saling menghormati,” tambah beliau.
Menurut pihak berkuasa kesihatan bandar raya, pasukan kecemasan menerima laporan mengenai tiga individu tidak sedarkan diri di lokasi berasingan berhampiran kawasan tumpuan penyokong.
“Selepas bantuan kecemasan dan teknik CPR dilakukan, mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” menurut kenyataan pihak berkuasa kesihatan.
“Bagaimanapun, tiga mangsa disahkan meninggal dunia akibat sesak nafas.”
Setiausaha Kesihatan Mexico City, Dr Nadine Gasman Zylbermann, berkata keseluruhan operasi kecemasan pada malam itu melibatkan bantuan kepada 1,615 orang di stadium dan kawasan awam lain.
Menurut beliau, mangsa menerima rawatan bagi pelbagai kecederaan termasuk patah tulang, luka, mabuk alkohol dan serangan panik.
Media tempatan melaporkan beberapa letupan bunga api selepas tamat perlawanan dipercayai mencetuskan panik dalam kalangan orang ramai, menyebabkan penyokong bertempiaran lari di lorong sempit berhampiran lokasi sambutan.
Rakaman video dan gambar dari lokasi menunjukkan ribuan penyokong berhimpun padat di sekitar Tugu Angel of Independence yang menjadi pusat sambutan utama di bandar raya itu.
Sebelum perlawanan berlangsung, pihak berkuasa telah mengingatkan penyokong supaya mencari lokasi lain untuk menonton perlawanan kerana kawasan sekitar tugu berkenaan sudah terlalu sesak.
Mexico City yang mempunyai lebih 20 juta penduduk di kawasan metropolitan sememangnya dikenali sebagai antara bandar paling padat di dunia.
Walaupun insiden tragis itu mencemarkan suasana kemenangan, sambutan penyokong tetap berterusan hingga lewat malam dengan mercun dan bunga api dinyalakan di pelbagai lokasi sekitar bandar raya.
Kemenangan Mexico ke atas Ecuador kini menyaksikan pasukan itu bakal berdepan England pada 5 Julai ini dalam perlawanan pusingan 16 terakhir yang turut akan berlangsung di Mexico City. – Agensi berita.
