Ratu pecut Singapura Shanti Pereira perlu berlumba dengan waktu untuk kembali cergas agar tidak terlepas peluang beraksi dalam temasya Olimpik di Paris pada Julai setelah alami kecederaan semasa menjalani kem latihan di Amerika Syarikat baru-baru ini.
Menurut laporan The Straits Times (ST), atlet berusia 27 tahun itu alami kecederaan di kaki dan ia disahkan Persatuan Atletik Singapura (SA) pada 15 April. Ia difahamkan berkenaan isu lutut.
Pemenang acara pecut 200 meter di Sukan Asia Hangzhuo pada 2023 itu telah menjalani imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) di Singapura pada 11 April.
Pereira sedang membuat persiapan menjelang sukan Olimpik yang bakal berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos dalam satu kem latihan selama dua bulan – yang bermula pada Februari – di Florida.
Beliau membuat penampilan sulung bagi Olimpik di Tokyo 2020 melalui kelayakan global dan mencatat pencapaian penting pada Ogos 2023 apabila layak bagi acara 200 meter secara merit dalam Kejohanan Olahraga Dunia di Budapest.
Jurulatih beliau, Luis Cunha, enggan mendedahkan lebih lanjut mengenai kecederaan itu tetapi meredakan kebimbangan tentang kemungkinan Pereira terlepas Olimpik di Paris, sambil menambah bahawa masih terlalu awal untuk membuat sebarang andaian mengenai penyertaannya.
Cunha berkata anak didiknya “berasa sedikit kesakitan” selepas memecahkan rekod kebangsaan 400 meter dalam kejohanan Florida Relays pada 30 Mac – perlumbaan pertama Pereira bagi 2024.
“Adalah perkara biasa dalam sukan bahawa seorang atlet mengalami kecederaan. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.
“Pada masa ini, beliau hadapi masalah dan tidak akan dapat bersaing minggu ini. Kami akan lakukan apa yang mampu bagi memastikan beliau dapat pulih dengan baik.
“Intensiti latihan akan diturunkan untuk beberapa minggu akan datang dan kami perlu lihat berapa minggu yang beliau perlukan (untuk pulih).
“Kami ada rancangan (yang telah ditetapkan), tetapi kini kami perlu mengubah rancangan dan mengambil beberapa langkah berjaga-jaga,” tambah Cunha.
Jurucakap SA berkata: “Shanti dan jurulatihnya, Luis, akan bekerjasama dengan SA dan Institut Sukan Singapura untuk memastikan beliau menerima semua sokongan yang diperlukan untuk membantu dalam pemulihannya.
“SA juga akan bekerjasama rapat dengan Luis untuk menyusun semula persiapan latihan Pereira menjelang (sukan) Paris 2024 dalam beberapa minggu akan datang.”
Pereira pulang ke tanah air pada 3 April untuk bersaing dalam Terbuka Singapura pada 18 dan 19 April.
Beliau dijangka membuat penampilan sulung dalam kejohanan berprestij Diamond League pada 20 April dan 27 April di Xiamen dan Suzhou. Antara bintang atlet yang akan turut serta termasuk juara dunia acara pecut 100 meter, Sha’Carri Richardson, dan juara dunia acara pecut 200 meter, Shericka Jackson.
Cunha mengesahkan bahawa penampilan Pereira telah dibatalkan berikutan kecederaan yang dialami.
Beliau berkongsi sebelum ini bahawa Pereira akan bersaing dalam tiga lagi kejohanan di Jepun sebelum ke Eropah untuk persiapan terakhir. Sama ada rancangan itu akan diteruskan bergantung pada tahap pemulihannya.
Kecederaan Pereira adalah satu tamparan besar selepas musim 2023 yang cemerlang, dengan beliau memecah rekod kebangsaan dalam acara 100 meter dan 200 meter sambil meraih lima pingat emas dan satu perak dalam kejohanan utama.
Pada Disember 2023, Pereira berkongsi kepada laman Olimpik bahawa beliau dan Cunha akan “lakukan segala termampu untuk cuba... mencapai peringkat akhir dalam Olimpik dengan masa yang baik”.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg