Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penyokong City ‘senyap’, Real rampas kemenangan pada minit terakhir

Juara England hadapi tugas mencabar bagi pertemuan kedua di padang Real
Feb 12, 2025 | 4:32 PM
Peminat Manchester City mengibarkan sepanduk besar untuk menyindir sikap Real Madrid dan bintangnya, Vinicius Junior, atas tindakan mereka memboikot majlis Ballon D’Or sebelum pertemuan kededua kelab dalam Liga Juara-Juara.
Peminat Manchester City mengibarkan sepanduk besar untuk menyindir sikap Real Madrid dan bintangnya, Vinicius Junior, atas tindakan mereka memboikot majlis Ballon D’Or sebelum pertemuan kededua kelab dalam Liga Juara-Juara. - Foto AFP

Penyokong Manchester City memulakan malam perlawanan mereka dengan mengibarkan sepanduk yang menyindir Real Madrid dan Vinicius Junior.

Sepanduk itu memaparkan imej bintang City, Rodri, mencium trofi Ballon D’Or yang diidam Real, bersama mesej ‘Stop Crying Your Heart Out’ (Berhenti menangis semahu hatimu).

Ini merupakan respons peminat City ke atas pasukan Real yang memboikot majlis tersebut sebagai bantahan terhadap kemenangan Rodri.

Namun, mengutuk pasukan yang paling bersejarah dalam Liga Juara-Juara adalah perkara yang terbukti berbahaya.

Pada wisel penamat, peminat City yang menangis selepas Real merampas kemenangan 3-2 dengan gol kemenangan dijaringkan pada detik akhir pertarungan.

Ini memberikan Real kelebihan untuk perlawanan kedua yang akan berlangsung di Stadium Bernabeu di Madrid.

City kelihatan layu pada separuh masa kedua dan dilanda kebimbangan apabila bekas pemain tengah mereka, Brahim Diaz, menyamakan kedudukan pada minit ke-86, lapor BBC Sports.

Pasukan kendalian Pep Guardiola itu kalah setelah mendahului untuk kali kelima dalam kempen ini dan telah melepaskan lapan gol dalam 16 minit terakhir lima perlawanan Liga Juara-Juara mereka, lebih banyak dari pasukan lain.

Pasukan Guardiola kini bergelut dengan ramai daripada pemainnya yang tidak sihat sepenuhnya, seperti Rodri yang tidak bermain kerana masalah kecederaan.

Rodri yang menonton dari tepi padang sangat diperlukan pasukannya terutama selepas menyaksikan juara England itu mengalami satu lagi kekalahan.

Sejak kehilangan pemain tengah, Rodri, Manchester City kelihatan kurang stabil pada bahagian tengah mereka, membuat mereka senang untuk diserang oleh pasukan lawan.
Sejak kehilangan pemain tengah, Rodri, Manchester City kelihatan kurang stabil pada bahagian tengah mereka, membuat mereka senang untuk diserang oleh pasukan lawan. - Foto REUTERS

Jack Grealish cedera selepas beraksi hanya 30 minit dan dari situ Real mula menguasai permainan.

Kylian Mbappe menyamakan kedudukan selepas gol awal Erling Haaland, namun Haaland mengembalikan kelebihan City.

City kemudian kelihatan kekurangan idea dalam separuh masa kedua tetapi Real mensia-siakan banyak peluang yang dirintis.

Namun, serangan lewat Real membuahkan hasil.

Gol masa kecederaan Jude Bellingham berlaku apabila Ederson, penjaga gol City, keluar dari posisi selepas Junior melepaskan bola kepadanya, sebelum Bellingham menendang bola masuk ke dalam gawang yang kosong itu.

Dengan prestasi City yang mudah runtuh, mereka kini memerlukan keajaiban di perlawanan kedua yang akan berlangsung di padang Real yang bakal mendapat sorokan padu penyokongnya.

City mungkin masih boleh mencatatkan kejutan di Madrid, tetapi kekalahan terbarunya itu terasa seperti pengakhiran era cemerlang bagi pasukan ini.

Ederson, yang dulu menjadi tonggak utama pertahanan City, kini kelihatan lebih rapuh.

Kevin De Bruyne, pada usia 33 tahun, dan Bernardo Silva, pada 30 tahun, gagal menyerlah sepanjang pertarungan.

John Stones berusaha meningkatkan prestasinya di benteng pertahanan City tetapi ancaman serangan Real yang diketuai Mbappe, Junior, Rodrygo dan Bellingham terbukti terlalu hebat untuk ditangani.

Guardiola jelas kecewa dan tertekan semasa bercakap di akhir perlawanan itu.

“Ini sudah berlaku banyak kali musim ini. Kami tahu kualiti yang dimiliki Real Madrid. Kami menguasai perlawanan pada separuh kedua dan cuba menyerang terlalu cepat,” kata Guardiola.

“Yang nyata kami tidak cukup stabil. Ia telah berlaku banyak kali termasuk pada hari ini. Apa yang sudah terjadi pada hari ini kami tidak boleh buat apa-apa. Esok kami harus teruskan dengan mental dan fizikal yang lebih segar,” tambahnya lagi. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg