Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Ia hanya istimewa jika anda menang’ kata Slot lepas Liverpool mara ke final Piala Liga

‘The Reds’ belasah Tottenham 4-0 dalam dalam separuh akhir kedua, atasi kekalahan 0-1 pada perlawanan pertama
Feb 7, 2025 | 3:20 PM
Pengurus Liverpool, Arne Slot, berjaya membawa Liverpool ke final Piala Liga (Piala Carabao) pada musim pertamanya bersama mereka.
Pengurus Liverpool, Arne Slot, berjaya membawa Liverpool ke final Piala Liga (Piala Carabao) pada musim pertamanya bersama mereka. - Foto REUTERS

LIVERPOOL: Arne Slot gembira Liverpool melangkah ke final sebuah kejuaraan di England pada musim pertamanya sebagai pengurus, namun mengingatkan anak buahnya “ia hanya istimewa jika anda boleh memenangi sesuatu”.

The Reds membelasah Tottenham Hotspur 4-0 dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Liga (Piala Carabao) untuk mengatasi kekalahan 0-1 pada perlawanan pertama.

Liverpool, yang memenangi piala tersebut musim lalu di bawah Jurgen Klopp, akan berdepan Newcastle United dalam final di Wembley pada 16 Mac.

Ini adalah musim pertama Slot, 46 tahun, dalam bola sepak Inggeris selepas berpindah dari Feyenoord pada musim panas lalu, serta pertama kali beliau akan ke Wembley.

Mengimbas kembali final Piala Eropah 1992 apabila Barcelona mengalahkan Sampdoria 1-0 di Wembley, beliau memberitahu BBC Radio 5 Live:

“Kita semua tahu sebagai orang Belanda betapa pentingnya Wembley untuk Ronald Koeman dan Barcelona serta Johan Cruyff.

“Adalah istimewa untuk ke sana kerana saya tahu betapa ikoniknya stadium itu.”

Beliau menambah: “Ia hanya istimewa jika anda boleh memenangi sesuatu. Kami tahu betapa sukar perkara itu kerana Newcastle adalah pasukan hebat.”

Slot memenangi Piala Belanda bersama Feyenoord musim lalu, mengalahkan NEC 1-0 di final.

“Bermain di final sentiasa seronok. Kami berlatih setiap hari, kami berusaha memperbaiki pasukan. Pemain bekerja keras untuk memperbaiki diri mereka, tetapi pada akhirnya ia adalah tentang mencapai final dan memenangi sesuatu,” katanya.

Beliau menambah ia mungkin malam terbaiknya sebagai pengurus Liverpool – kempen kendaliannya mengagumkan dengan memenangi 29 daripada 37 perlawanan dan hanya mengalami tiga kekalahan sejauh ini.

Dengan kelebihan enam mata di puncak Liga Perdana England (EPL) dan mara ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara, Slot berharap kejayaan dalam Piala Carabao bakal menjadi permulaan cemerlang untuk pasukannya musim ini.

Beliau sudah tentu ingin mengikuti beberapa pengurus lain yang menggunakan pertandingan itu sebagai batu loncatan untuk kejayaan lebih besar.

Daripada 11 pengurus yang pernah memenangi EPL, empat menjuarai Piala Liga (sebelum dikenali sebagai Piala Carabao) terlebih dahulu – Alex Ferguson, Manuel Pellegrini, Jose Mourinho dan Pep Guardiola.

Bagi Mourinho dan Guardiola, khususnya, ia bukan sahaja trofi pertama mereka di England, bahkan permulaan era yang cemerlang.

Beberapa bulan selepas memenangi Piala Liga buat kali pertama, Mourinho – seperti Pellegrini dan Guardiola di Manchester City – meraih kejuaraan EPL.

Mengenai kemenangan Piala Liga pada 2005, kapten Chelsea ketika itu, John Terry, berkata: “Ia meletakkan kami di landasan tepat, memberi kami keinginan mencapai lebih banyak lagi.

“Ramai orang memandang rendah pertandingan ini, tetapi bagi saya ia sangat penting dan kami melihat kembali pada musim 2004/05... ia memberi impak yang besar kepada keyakinan dan momentum kami.”

Liverpool kini menjadi pilihan untuk memenangi EPL, Liga Juara-Juara dan Piala Carabao – dan juga sedang bersaing bagi Piala FA.

Musim Liverpool amat mengagumkan, memandangkan prestasi mereka dijangka merosot apabila legenda Klopp meninggalkan kelab itu.

Satu-satunya kali Klopp memenangi beberapa trofi besar dalam satu musim adalah pada 2021/22 apabila mereka memenangi Piala FA dan Piala Carabao.

“Ini boleh menjadi musim yang benar-benar istimewa untuk Liverpool,” kata bekas pemain pertahanan Liverpool, Jamie Carragher, di Sky Sports.

“Mereka pernah berada dalam situasi seperti ini, dengan mencabar empat trofi... saya rasa dua kali dalam tiga atau empat tahun lalu di bawah Klopp dan mereka membawa pulang dua Piala Carabao dan satu Piala FA. Mereka tidak mendapatkan piala yang besar.

“Perkara yang paling penting ialah memenangi trofi besar, EPL dan Liga Juara-Juara,” ujarnya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg